Tuesday, March 22, 2011

Bahasa?

Baru-baru ini saya ke Bangunan Gunasama daerah(tempat pejabat-pejabat jabatan kerajaan persukutuan), kebetulan menguruskan sesuatu urusan. Sementara menunggu giliran nama dipanggil saya tertarik mendengar seorang wanita berbangsa Cina berbual-bual dengan anak kecilnya dalam bahasa Melayu. Mungkin ini bukan sesuatu yang menarik. Ibu ini sekadar memberikan arahan yang ringkas dan berbual dengan anaknya yang pada pemerhatian saya, mungkin anak kecil itu dalam lingkungan lima dan enam tahun sahaja. Anak-anak wanita tersebut juga berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Tidak menggunakan bahasa Ibunda seperti kebiasaannya. Meskipun ada terdapat slanga bahasa Melayu-Cina dalam pertuturan mereka, namun bagi saya inilah usaha yang sangat baik bagi ibu ini. Melihat kepentingan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, wanita ini menitik beratkan komunikasi bahasa Melayu terhadap anak-anak meraka. Mungkin wanita ini seorang guru. Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris. Hanya telahan saya. 

Sebelum itu, pernah saya berbincang dengan seorang guru Bahasa Tamil, di sebuah sekolah. Beliau amat sedih mengenangkan masalah pelajarnya yang gagal menguasai bahasa Melayu yang dipelajari. Meskipun beliau guru bahasa Tamil, namun demikian penekanan terhadap bahasa Melayu juga amat penting. Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Cukuplah arahan yang ringkas dan mudah. Sedikit sebanyak membantu anak-anak ini memahami bahasa Melayu dengan mudah.
Tak kurang juga orang Melayu kita. Boleh dikatakan lemah dalam menguasai bahasa ibunda dengan betul. Bagaimana mahu mempertingkat pemahaman dan menguasai bahasa lain. Seharusnya kita berusaha berusaha menguasai bahasa lain, setidak-tidaknya mampu berbahasa Inggeris. Itulah kita, sekadar cukup apa yang ada.
Beruntung juga kawan-kawan kita dari bangsa Cina dan India. Setidak-tidaknya dapat mempelajari dan berkomunikasi dalam tiga bahasa. Bahasa ibunda mereka, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sedang kita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat berbahasa Arab. Alhamdulillah, malah ada yang mampu menguasai bahasa Tamil dan Cina dengan baik. Sebagai contoh, Dato Seri Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak. Namun boleh saya katakan, jumlah orang Melayu yang sebegitu sangat-sangat sedikit. Seperti dialog P.Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit. Ya, sedikit-sedikit!
Bahasa merupakan suatu kuasa. Menguasai bahasa memberikan suatu aura yang cukup mendalam dan terkesan. Sungguh terkesan! Kenapa?
Orang yang mampu menguasai banyak bahasa bererti berjaya menjalinkan hubungan diplomatik, membina keserasian dan persefahaman seterusnya menghubungkan rangkaian yang luas dengan orang lain. Kerana dapat berkomunikasi dengan baik. 
Pernah sekali saya ke kedai, yang mana pemiliknya berbangsa India. Sengaja saya berkata, “ye paddi yer kanggie (apa khabar)?”. Lantas lelaki itu menjawab dan tersenyum. Panjang pula jawapannya. Seolah-olah ada juga sesuatu yang ingin ditanya kepada saya. Saya menggeleng kepala dan berkata,
 “ maaf pak cik, tu je yang saya tahu”. Gelak besar lelaki separuh usia itu. 
“Boleh belajar lagi, bagus-bagus”.
Ini cerita lama, dan sayang sekali saya pun tidak mempertingkatkatkan kemahiran itu. 
Dalam konteks warga Malaysia hari ini, bertutur dalam bahasa Melayu merupakan satu kemestian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi seterusnya memudahkan pertuturan dan komunikasi masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Sejarah juga membuktikan kuasa hebat bahasa Melayu sebagai Lingua Franca yang memudahkan pertuturan pedagang luar ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Orang luar belajar bahasa kita? Dan kita?
Kita belajar bahasa mereka , Kebaikan itu adalah untuk kita juga.
Saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain sedang saya juga bukanlah arif dalam menguasai bahasa ini sendiri. Hanya segelintir orang yang diberi kelebihan mempunyai kemahiran menguasai bahasa dengan cepat dan cekap. Cuma mengingatkan sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar dan terus belajar.
-Terima kasih awak, banyak tolong saya dalam bahasa Inggeris.Thank you, Muchasgrasias!.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...