Friday, July 29, 2011

Pisang Emas Bawa Belayar


Pisang emas bawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Merungkai tiap kata dalam pantun. Aku bukan orang bahasa yang pandai menafsir. Bimbang juga pandai-pandai. Tapi aku dapat dari seorang yang aku panggil cikgu, oleh kerana beliau seorang guru bahasa Melayu, maka sepatutnya aku panggil begitu. Mesra aku bahasakannya sebagai abang. Abang Hafezi.

Dari sekadar senda berpantun, aku langkah juga pentas demi pentas. Siapa sangka sampai ke medan akhir. Sayang ilmu tak penuh di dada. Pentas akhir kampus kami tumbang. Mewakili kuliah kami yang bukan langsung berkait dengan bidang bahasa. Cuma kami yang mengada-ngada.

Sampai aku dipanggil mewakili kampus ke fiesta pantun antara institut pendidikan guru peringkat kebangsaan. Cuak! Masakan tidak, aku bukan pemantun tegar. Cuma celup-celup tepung. Panas rangup. Sedap menjadi. Silap? Tawar-tawar pahit!.

Malam perasmian itulah aku kenal abang Hafezi. Bercerita tentang pantun. Aku khusyuk mendengar. Jadi takjub

Pisang emas bawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

"Kau tahu?" dia bertanya.

"Tahu apa?" memang aku tak tahu.

"Pantun Melayu itu tinggi nilainya. Orang Melayu dulu cakap berkias bukan suka-suka. Dikaitnya unsur alam jadi pembayang bukan kerana hiasan kata. Akan tetapi disitulah letaknya tinggi nilai budi, nilai bahasa. Dikaitkan tiap satu. Masing-masing punya erti. Contoh pisang emas bawa belayar, masak sebiji di atas peti", semacam menerang.

"Maksudnya?"pintasku.

Perkaitan antara pembayang dan maksud. Dari pembayang hinggalah maksud terakhir, tiap rangkap itu berkait. Pisang emas bawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi di bawa mati.

Pisang emas bawa belayar.
Kau tahu, pisang emas itu sangat bernilai. Sebab pisang emas itu berguna untuk orang yang pergi belayar jadikan makanan. Pisang emas agak tahan lama. Boleh dimakan begitu sahaja. Sesuatu yang sangat berrharga, terutama bagi musafir di pelayaran.

Masak sebiji di atas peti.
Kau tahu, masak sebiji di atas peti itu apa? Pisang yang berharga itu berguna.Boleh jadi dimakan. Ada manfaat atau kebaikan. Diletakkan di atas peti.Peti itu bukan peti biasa. Peti itu peti keranda.

Khali sejenak. Puas aku memikir. Terbayang cerita keranda terbang. Tapi kali ini keranda dalam kapal.

Hutang emas boleh dibayar.
Kau tahu, hidup di dunia, kalau meminjam mesti dipulangkan. Andai berhutang boleh dilunaskan. Baik duit, ringgit, emas, perak, pasti boleh dibayar. Oleh kerana emas itu ada nilai, mesti boleh dicari galang ganti. Emas dibayar dengan emas.

Hutang budi dibawa mati.
Kaitan dari rangkap kedua itu tadi, masak sebiji di atas peti. Sesuatu yang bernilai. Kalau diberi semasa memerlukan, pasti sesuatu yang sangat-sangat berharga. Susah untuk disandarkan nilainya. Itulah budi. Hutang budi dibawa mati. Budi tak boleh dibayar dengan wang ringgit. Meski gunung itu jadi emas, dan lautan itu permata yang berkilau, harga budi belum tentu boleh dibayar. Itulah erti menghargai. 

Pesona bahasa yang mengasyikkan.
Pantun itu bukan sekadar seni. Orang Melayu dahulu tinggi nilai bahasanya. Orang Melayu dahulu berfikir. Bukan suka-suka menjalin unsur alam dalam tiap baris rangkap. Isi tersurat punya makna tersirat. Itu baru satu pantun. Ada dua tiga lagi.

Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing belang,
Dua tiga boleh kucari,
Manakan sama cik adik seorang.

Thursday, July 28, 2011

Cincin Belah Rotan.


"Cantik cincin", seolah  bertanya.

"Pandang pada apa, kalau dinilai cantik?", bingkas soalan itu.

"Pada kilau yang mengerlip. Silau. Hahaha" seakan memerli.

" Kalau kilau itu yang silau, hanya pada zahir, belum mampu sinarnya gemerlapan", madah mengisi bicara.

Falsafah cincin itu mesti cantik. Biar pemakainya tampak seri. Ibarat bunga, serinya pada warna. Cincin pada jari pasti berseri. Cincin pada jari jadi seribu satu solan misteri. Adakah bunga itu dimiliki?

*  *  *

Mula-mula aku kenal dia. Dia pernah kata.

"Aku pandang kanan, tengok semua pakat tutup muka dengan tangan macam ni. Tutup sebelah aje, aku tahu skill dari universiti lagi. Memang diorang nak tunjuk. Masuk sini pun sama jugak". Tangan kiri menghadang muka.

"Maksudnya?" Aku bertanya.

"Mu tahu Apih, ape maksudnye kalu orang pempuan buat gitu? Die nak bagitahu yang die dah ade yang punye. Ni cincin ni. Dah ade orang dah. Jangan jeling-jeling!" Abang Mi bagi jawapan. . Ditunjuk jari manisnya yang kosong Aku senyum sinis.

Sekarang Abang Mi dah kahwin. Mungkin jari Kak Dayah(isterinya) dulu tak ada cincin. 

* * *

Cincin emas belah rotan,
Diri ini ku korbankan,
biar mati tak berkapan,
Pantang undur  anak watan.

Bila nyanyi semula lagu ni terasa sayu. Dalam sayu ada semangat. Diri layu jadi laju. Dari pudar kembali ceria. Benar-benar punya roh lagu ni. Perihal lagu yang meniup api semangat pada setiap insan yang menghayati. Biasanya, bila kita mendengar lagu, hanya seperti angin lalu. Sekadar bergema di cuping telinga. Andai gemanya bertalun masuk, pasti hanya melintasi otak. Belum tentu singgah. Andai singgah, adakah sampai ke ufuk minda atau sekadar berlabuh di tepian. Umpama angin lalu, boleh jadi lagu itu ibarat bayu yang menenangkan. Boleh jadi juga umpama taufan yang menggegarkan . Tapi ini lagu yang sampai langsung ke lubuk sanubari tiap dari kami. Dari dulu selalu terngiang. Apa corong-corong radio memutar memain irama. Tidak. Hanya gelombang-gelombang ghaib yang singgah menyapa telinga. Memaut-maut, untai kata cincin...

Apa erti cincin pada jiwa, pada cinta? 

Wednesday, July 13, 2011

biar sakit...


biar sakit,

walau pun demam sekejap,

atau batuk...

dari sihat,

 tiba-tiba jatuh

sakit tenat.

sakit teruk.

sakit sangat.

bimbang...

maaf

sakit itu peringatan. rahmat Allah...

Saturday, July 9, 2011

'Singa' yang takut bini!Aumm...miaw2..

Haiwan lain kata saya berjiwa rakyat. Memang pun…


 Pengikut saya kata, saya mewarisi kehebatan bapa saya. Memang pun…

Sesekali kalau saya mengaum, memang menggeletar lutut. Memang pun…

Saya nampak macam reserve, tapi kalau saya naik darah seekor kuda pun boleh habis saya kerjakan. Memang pun…

1hutan mengakui kewibawaan saya okay, malah seantero dunia puji saya. Memang pun…

Tapi kalau saya balik rumah, bini saya itu selalu torture saya. Manalah saya tak stress?

*oleh: Faisal Tehrani

Episod 3, Parlimen Rimba: Bisa Ulat Bulu


Dari pokok ke pokok , Monki melompat. Dengan perintah kononnya. Belang dari jauh tersenyum. Mahu menjadi ketua di rimba. Sedang dia tidak sedar, seisi rimba itu belum tentu suka padanya. Belum pasti kekuasaannya tahap mana.

Monki si monyet menjerit jerit, "wahai penghuni rimba, mahukah kamu tahu. Aku ini pembawa utusan. Aku nak bagi tahu semua, yang belang menabalkan dirinya sebagai ketua rimba.

Tupai yang tunduk mendongak hairan, kancil terkedu tak lalu makan, gajah bertempik membunyi semboyan.Berkumpul seisi rimba menghampiri Monki. Monki monyet yang kononnya pembawa utusan.

Rusa, tapir, kancil, tikus, biawak, ayam hutan, ular, dan semuanya ada. Bagai tidak percaya mendengar berita. Berita hairan.

"Apa kau ini tali barut Belang kah Monki?" tanya Filun. Filun ialah seekor gajah. Dalam kalangan gajah dialah yang paling penyabar. Apabila ada gajah naik minyak bergaduh sesama sendiri, dialah yang menenangkannya. Tapi kali ini solannya seolah-olah Filun naik minyak.

"Aku bukan tali barut. Tapi aku ni utusan. Nak bagi tahu kalian semua, yang Belang kini ketua kita".

"Apa kau gila, tiada angin ribut, taufan melayang, tiba-tiba Belang melantik diri sendiri menjadi ketua rimba", Filun membantah.

"Betul juga, tiada perjumpaan dibuat, tiba-tiba gila kuasa!"tambah Rossi sang rusa.

"Kalian mesti fikir baik-baik. Hidup di hutan ini perlu kepada satu kepimpinan. Supaya hidup kita teratur. Urusan-urusan dapat ditadbir dengan baik. Barulah hidup aman damai", Monki bermain kata.

Memang benar kata Monki. Mereka perlu ada pemimpin. Bagi memastikan kelangsungan hidup yang aman. Tidak seperti dulu gajah pernah bergaduh dengan ular sawa. Bertanding siapa lagi kuat. Tapi itu cerita dulu, hikayat binatang-binatang tua.

Dijadikan cerita masing-masing bertemu dalam gelanggang. Seisi hutan jadi penonton. Tapi masa itu, ular sawa ini punya bisa. Antara banyak-banyak ular, bisa ular sawalah yang paling bahaya. Tidak sempat mata berkedip, mati. Jadi dijadikan syarat, ular sawa mesti mengeluarkan bisa dan diletak dalam mangkuk. Maka, bergegar seiri alam rimba, menghentak, melibas, menghempas, menendang, membelit, kedua-dua ekor haiwan yang besar itu. Mereka besar badan tapi pendek akal.

Sedang bergelut terkenalah ekor ular sawa pada mangkuk yang berisi bisa. Maka tumpahlah bisa ular sawa. Bisa yang kuat lagi membunuh itu terpecik pada kala jengking,lebah, penyengat, tebuan, labah-labah, dan yang paling sikit ialah ulat bulu.  Kesan dari itu, masing-masing dapat bisa percuma. Tambah kuasa. Sebab itu siapa yang terkena ulat bulu akan rasa gatal-gatal.Akhirnya gajah menang!

Semua haiwan berfikir.

bersambung

Welcome to the club!

Friday, July 8, 2011

cuci kasi BERSIH!



Saya pelik. Kenapa orang tak mahu bersih. Ada yang kata bersih kasi susah. Susah ke?
Mereka suka duduk dengan kekotoran?

Yang di kampung-kampung, tersengguk-sengguk mengangguk mengecam bersih. Apa yang mereka cakap sama macam dalam televisyen. Apa pak menteri bilang itu yang pak cik ulang.hah
Pak cik pun tak tahu apa tu bersih.Hahaha.kelakar~
Angguk angguk geleng-geleng, tunduk-tunduk ikut telunjuk, iya-iya saya-saya, kiri kanan ikut aje.

Tabik Pak Samad(A.Samad Said)

Dulu, Pak Samad lawan pak menteri isu PPSMI. Sekarang Pak Samad lawan guna Unggun Bersih!

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu..

Nukilan - A Samad Said

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...