Tuesday, December 27, 2011

Menghitung hari


Menghitung hari.

Membilang hari-hari penghujung tahun 2011, pasti kita punyai kerangka berbeza dalam mengisi tahun mendatang. Disebalik pelan yang mahu dilakar, pastinya hamparan pelan 2011 akan disemak terlebih dahulu. Apa yang belum, apa yang sudah?

Hendak tidak hendak, perlu kita akui, bahawasanya ada matlamat yang tidak tercapai sepanjang tahun 2011. Pastinya 2012 menjanjikan satu momentum yang menolak kita untuk berusaha seberapa daya mencapainya. Terlebih dahulu syabas dan tahniah kepada sesiapa yang berjaya mencapai target sepanjang 2011!

Dalam meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini, kita mengakui bahawasanya segala perancangan hidup ini telahpun ditentukan oleh yang Esa. Dan kita sebagai hamba menurutinya.

Laksana sebuah pentas teater. Pengarahnya adalah Tuhan. Skripnya telah tersedia. Jurukamera yang memerhati, krew produksi yang bertugas mengikut aahan. Pelakon tak lain tak bukan adalah kita. Samada pelakon yang berdisiplin atau tidak. Ingkar atau patuh. Ganjarannya setelah teater dipentaskan. Diadili dari segi kualiti.

Siapa pelakon untuk menidakkan skrip atau jalan cerita. Membantah pengarah sebab, pelakon bukan bos! Sama seperti kita, siapa kita untuk menidakkan apa yang telah ditentukan oleh Tuhan. Sebab kita hamba.

Hamba?

Ya, kita adalah hamba. Baik tinggi mana jawatan, pangkat, kedudukan, darjat, ras, keturunan, bangsa, kita adalah hamba. Hamba akan menurut kepada apa yang telah ditentukan oleh tuannya. Dan tuan bagi kita sebagai hamba ini adalah Tuhan yang Esa itu.
Hidup perlu diteruskan, dengan memegang pasport sebagai hamba, teruskan tanggungjwab. Menempuh hari yang mendatang. Muhasabah diri, apa yang belum terlaksana, azam pada hari yang akan mendatang untuk menjayakannya.




Monday, December 26, 2011

Sebuah Erti



Telah dijadikan Adam a.s dengan temannya Hawa. Begitu juga fitrahnya yang lain. Tiap apa yang diciptakan olehNya pasti ada pasangan. Pasangan yang menjadi peneman.
Bagaimana terpisahnya Adam dengan Hawa. Begitu setia antara mereka. Dalam kesah kasih tetap terpahat kukuh. Itulah setianya cinta. Biar susah atau senang, mereka saling beruaha. Hingga sampai masa ketemu jua. Ketemu di suatu tempat. Hingga hari ini jadi bukti. Luhurnya cinta.

Sungguh rasa cinta itu datang dari Tuhan. Cinta itulah yang akan menjadi saksi. Kukuhnya tembok kasih yang dibina, hangatnya bahang perasaan sayang yang sentiasa membara. Mekarnya kuntum rindu yang mempersona. Sukar diungkap, tapi dapat dirasa. Segalanya letak pada dua hati.

Dua hati yang menjadi satu itu, bukan hanya pada zahir. Mengungkap tafsir hati antara dua kamus kehidupan. Masing-masing saling menterjemah. Padanya letak kekuatan untuk saling memahami. Ditulah tertulis seribu satu kalimah yang perlu ada. Perlu sama. Perlu mengerti. Perlu difahami...PENGORBANAN...

Benar, cinta itu ertinya berkorban dan terkorban. Cinta pada yang Esa. Sehingga titisan darah yang terakhir. Melangkah gagah, jatuh bangun, bangkit rebah, terus melangkah, dipapah. Dan terkoban. Itulah erti cinta agung. Biar jasad bercerai roh. Pasti terangkat tinggi. Tinggi disisi Tuhan. Erti cinta agung. Juga pada jiwa sesama jiwa. Hangatnya roh cinta antara dua jasad insani. Saling berkorban atau rela terkorban. Kasih bonda, kasih ayahanda, kasih saudara. Kasih pada kekasih. Lantaran hidup ini perlu berteman. Hidup ini saling memerlukan. Hidup ini ada pasangan. Itulah hikmah hadirnya Hawa disisi Adam. Dari situlah hadirnya pengorbanan. Antara dua jiwa yang terpisah. Namun, kerana dititipkan oleh Yang Esa akan erti satu kalimah yang perlu difahami dan diertikan. Terlunas segalanya oleh perlakuan. Akhirnya mereka bertemu. Bertemu di Jabal Rahmah.

Ujian yang melanda perlu dikongsi bersama. Bukan sekadar berkongsi suka. Duka yang melanda, perlu sama-sama ditempuhi. Saling membantu. Saling membakar semangat. Moga gagah melangkah.

Harungi hari yang mendatang dengan jiwa yang bisa tegar bersama. Susah senang teguh dihadapi. Tak lapuk dek teriknya bahang mentari, tak lekang dek basahnya hujan. Mudah melafazkan tiap kata, bukan senang untuk ditunai. Segalanya pada jiwa yang mentafsir kalimah itu. Pengorbanan. Rela berkongsi hidup bersama.

Buatmu,
Andai dirimu pedih, sandarkannya padaku. Biar aku yang menanggung.
Andai dirmu dibeban, letakkan dibahuku. Moga dapat aku memikul.
Takkan ku biar dirimu kesepian dengan derita. Takkan, takkan, takkan.
Ya Allah berikan kekuatan padanya...

Saturday, December 17, 2011

Izinkan Rembulan Berbicara


Kalau rembulan mampu berbicara, pasti pungguk tidak bersendirian. Menatap bulan dengan lagu-lagu sepi. Bagi pungguk rindunya hanya pada bulan. Menatap sinar yang mengisi kegelapan malam. Rindunya tetap tidak terubat. Kerana rembulan membisu. Tanpa sepatah bicara.
Bagi punggguk biarlah dia derita. Kesetiaanya tetap takan berubah. Kerana itu rela dia bersengkang mata. Pungguk tetap menjadi perindu~

Untuk terus merinduimu, aku perhambakan diri ini selama-lamaya.
Dengan cinta yang seadanya ini aku tetap tidak akan menyerah.
Rinduku hanya padamu.

Oh Tuhan, pintaku hanya satu, inginku lafaz rinduku...

Mustahil bulan bisa membalasnya. Batas jarak yang memisahkan. Jasadmu pungguk tetap di bumi. Sedang rembulan yang menyinar, letaknya nun di angkasa. Sinarnya tetap gemerlapan, bintang yang memagarnya, menghidupkan pesona malam.Dari kelam yang mengerikan pada untaian cahaya yang mengasyikkan.

Sekiranya aku bisa bersamamu, pastiku balas akan salam rindumu, akan kusapa bait-bait cinta yang menggoda, dan aku murnikan cinta itu agar jiwa tidak terseksa.
Untuk selamanya.

Dalam lamunan, pungguk tersedar.

Apa benar rembulan berbicara atau?

Sungguh igauan punggunk hanya mimpi. Mimpi yang mustahil.

Biarkan aku merindu, rindu pada rembulan, rindu kepada Tuhan.

Hujan...



Titis rahmat yang membasahi bumi, sememangnya menyegarkan. Dari dahaganya tumbuhan, kini segar menghijau. Dan atas segala rahmatNya, tiap makhluk yang bernyawa merasa akan nikmat yang tidak terhingga. Tumbuhan hijau dapat terus berbakti pada bumi, demi keseimbangan alam. Juga haiwan yang dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Sedang manusia perlu meneruskan penghidupan. Mencari rezeki di bumi sendiri. Mengapa bukan hujan emas yang mencurah, membasahi segenap negeri? Biarkan negeri ini banjir dengan lautan emas yang mengkayakan umat seisi negeri. Tapi yang turun hujan. Yang turun dengan kadar tiada kira banyaknya menyebabkan bumi enggan mampu menelan sebanyak-banyaknya diluahkan paa dasar bumi. Titis rahmat itu bergenang jadi air yang mengalir. Membasahi bumi. Segenap umat mengeluh. Habis musnah segenap harta. Kediaman pula rosak binasa. Apa ini fenomena atau bala?

Baik para petani yang membanting tulang empat kerat. Nelayan yang gagah memukat hasil. Timbul juga rasa resah. Bagaiman mahu mengisi masa ini untuk mencari sesuap nasi. Bergantung harap akan penghidupan dengan tulang empat kerat, mengharap ehsan Ilahi, mencari rezeki. Bergantung pada alam. Molek hari boleh ke sawah padi, ke ladang mahupun kebun, turun ke laut. Itu golongan marhean. Baik yang berada turut mengeluh. Mana mungkin projek berjuta dapat dibereskan. Kontraktor mega turut terkesan. Urusan korprat sedikit terganggu.

Titis rahmat tetap turun. Turun dan turun. Apa pernah kita fikir?

Hebatnya Yang Esa dengan kuasa Maha Pencipta menurunkan hujan tanpa ditimpa mencurah sebanyak-banyaknya. Mencurah seperti air terjun yang menjunam. Nescaya punahlah umat manusia yang menanti dibawahnya. Diturunkan titis rahmat itu pada kadar tertentu, pada kawasan yang tertentu, kerana pada kuasa Yang Maha Esa, segala penguasaan dan pengetahuannya, tiap makhluk memerlukannya. Sukatan yang ditetapkan. Maka benarlah akan turunnya titis rahmat itu adalah bagi nikmat bagi tiap hambanya. Sungguh Maha Bijaksana Yang Maha Esa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...