Thursday, May 31, 2012

Ada Kambing Nak Jaga

Bila YB turun ke kampung nak beri sumbangan. Maka melompat-lompatlah pimpinan akar umbi bersiap siaga. Itu tak siap, ini tak cukup. Kudrat dikerah memastikan YB yang turun akan berasa senang hati.


"Ni YB nak turun ni...Semua kena get ready", suara ketua kaum ibu, kak Jah. Sepatah dua bercakap London. Sebab anak ralit nyanyi lagu orang putih. Kata anak baru style! Di sekolah belajar orang putih. Tapi tak faham, belajar bahasa orang putih. Terbeliak mata. Kebas lidah menyebut. Mak ayah tak kata anak yang tak pandai. Cikgu tak pandai mengajar. Mujur cikgu-cikgu penyabar.


"YB yang datang nak pastikan kawasan kampung kita ni maju, membangun, rakyat tiada yang miskin, orang-orang muda boleh bersial.. Eh, ber..so..sial. ", tersilap cakap ketua kaum ibu, kak Jah.


" Kak Jah, YB ni datang nanti kita dapat apa?Kain batik dengan duit 10 ringgit dapat tak?", Saenah bertanya.



" YB kita ni bagus, nanti dia bagi. Dia tahu sumbangan kita, dia mesti balas balik. Sebab itu mesti bagi sokongan. Apa yang dia janji mesti dapat. Engkau tengok Saenah, longkang dia buat, jalan kampung dah berturap, balairaya dapat yang baru. Dia tak pernah janji bulan bintang. Eh, eh. Kamu semua ingat, tunggu sampai majlis habis, baru balik ya!" tegas kak Jah.

Saenah mengangguk, dua tiga orang lagi mengangguk sama. Saenah tahu yang sebenarnya bukan YB yang buat jalan, buat longkang tapi pekerja jabatan kerja raya. YB yang ditunggu tak kunjung tiba. Resah gelisah membadai. Ketua kampung mundar mandir. Peluh, mula memercik. Persediaan yang cukup rapi sebelum sudah dibuat. Dalam sibuk orang ramai, ada suara-suara sumbang menghembus angin khabar pak menteri tak jadi datang.

"Sebab apa tak datang?" Saenah bertanya kak Jah.
" YB, banyak urusan", jawapan bertahan.

Kak Jah sebagai ketua kaum ibu cuma mampu tersengih. Dipanjangkan leher mencari ketua kampung yang tenggelam dalam ramai orang.

Bunyi sekumpulan motosikal memecah suara orang ramai yang menanti. Kumpulan anak muda penunggang motosikal. Dibelakangnya diikat tiang bendera parti kebanggaan. Rasa megah memuncak. Hero-hero dah samapai. YB pun menyusul. Dengan kereta mewah. Turun bersalaman. Gaya pemimpin politik. Orang ramai berkerumun mahu bersalam.

Saenah menunggu saat YB memberi kain batik
dengan duit 10 ringgit. Selesai makan, duit dan kain batik tetap tak sampai. Begitu juga dengan rakan-rakannya.

"Saenah, kalau aku tahu, baik tak payah datang", rungut Liza.
" Tahu tak pe, kak Jah suruh orang ramai datang, dia pula entah ke mana", Hamidah menambah.
Saenah mempertahankan kak Jah. "Tapi kata kak Jah, YB nak bagi kain batik dengan duit 10 ringgit".
"Kak Jah mana?" pintas Hamidah.

Mereka berpandangan.

"Kak Jah dah balik. Kain batik sahaja yang dapat." Suara Kak Nani, timbalan ketua kaum ibu tiba-tiba hadir.


"La.. pulak. Kak Jah mana?"

Kak Nani bersahaja, " Kak Jah balik, tolong laki bagi makan kambing".



Tuesday, May 29, 2012

Melayu Jangan 'melayu'

Saya bukan profesor, bukan juga kalangan pemegang doktor falsafah juga sarjana. Bukan tokoh pemikir dan penulis agung. Mungkin ini pandangan sempit, seorang budak.

Seingat saya, ini nukilan guru saya sewaktu di bangku sekolah dahulu.Melayu jangan 'melayu'. Susunan kata yang ringkas tapi pada hemat saya dalam maksudnya.

Dari bangku sekolah rendah, melangkah ke alam sekolah menengah, majoriti di sekeliling saya merupakan masyarakat sebangsa, bumiputera yang berbangsa Melayu. Cuma waktu di sekolah menengah interaksi dengan rakan dari bangsa India dan Cina bermula. Di situ kumpulan mereka hanya minoriti. Seingat saya dalam ambilan yang sama dengan saya kurang daripada 10 orang.Minoriti. Tiada apa masalah bagi kami, cuma yang agak memberikan impak adalah apabila melihat keputusan peperiksaan. Rasa malu jika bukan budak Melayu yang mendapat nombor satu dalam 'batch' ketika itu. Tapi kami terima hakikat bahawasanya kita bersaing secara sihat. Mujurlah ada beberapa nama rakan yang lebih cerdik dan terkehadapan jika dibandingkan dengan kami yang duduk di kelas pertengahan ini. Selesa dengan apa yang ada. Bukan mahu menghidupkan sentimen perkauman di sini. Mungkin ini satu sergahan minda. Balik semula pada apa yang ternukil tadi. Melayu.

Persembahan pesanan ini memberi satu tekaan yang memusatkan kepada satu jawapan yang tetap. Bangsa Melayu jangan melayu. Layu dalam erti kata hilang segar, tiada bermaya dan lemah. Kalau kering menanti jatuh ke tanah. Tuan, kalau daun itu layu, kering dan gugur ke tanah baktinya tetap ada. Daun yang kering jatuh ke tanah dan mampu jadi baja pada pokok. Lihat baktinya berterusan meskipun buruk zahir yang terlihat. Layu dalam konteks kumpulan masyarakat ini saya kira luas pandangannya. Maafkan saya jika pandangan ini dilihat tempang dan pincang.  

Benarkah Melayu hari ini 'melayu'? Realitinya kita dapat melihat beberapa contoh nama tokoh orang Melayu yang maju dan terkehadapan. Berjaya dalam bidang yang diceburi. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita punya orang yang mampu memimpin anak bangsa dari segi ekonomi dan pendidikan. Melayu juga cenderung tentang politik. Kerana bumiputera masih majoriti di sini.Sayangnya kita juga jaguh kalau dihitung dari perkiraan negatifnya. Kita jaguh masalah sosial, kemiskinan tegar, kemunduran pendidikan dan banyak. Tak perlu saya hitung dan nyatakan, kecaman yang menyusul pasti hadir. 

Kekecewaan mengenangkan bangsa Melayu yang 'melayu' ini dapat dilihat dengan situasi anak Melayu hari ini yang pelik dan jelik. Jarang yang kita jumpa, tapi kalau sekali kita jumpa pasti ini merupakan sesuatu yang pelik. Jalan-jalan di pekan kecil jika terserampak dengan kumpulan anak muda Melayu tak ubah gaya mereka seperti berada di bandar metropolitan Kuala Lumpur. Sama dan serupa. Sepatutnya di pekan-pekan kecil sebegini, pastinya tatasulila dan cara pakai adalah lebih hormat dengan sentuhan busana  molek mata memandang, beradab dan berbudaya kemelayuannya. Tapi congak kira, tambah tolak dari segi jarak dan jurang masa, sama sahaja. Malah lebih KL dari KL. Itu telahan saya. Saya cenderung untuk mengatakan anak Melayu kini 'melayu'. Layu nilai budi dan apresiasi budaya. Taksub dan takjub dengan budaya kain singkat dan baju sendat atau topi senget serta rambut belang. Dari mana budaya ini datang.?Masihkah penjajah menawan Tanah Melayu ini dari Perlis sampai ke Sabah? Kehadiran budaya nyanyi tari, joget henjut ini tak perlu kepada satu kuasa undang-undang yang mengarahkannya. Mudah saja tersebar kerana bagi anak Melayu yang 'layu' ini  pada mereka ini adalah 'trend' semasa.

Lebih malang jika kehadiran pembudayaan ini ditaja. Dalam erti kata, kebenaran dan kebebasan yang dilakukan adalah dihalalkan. Secara tidak langsung, ini dijadikan sebagai satu budaya yang biasa kerana kehadiran pembawa 'revolusi' budaya ini mendapat sokongan yang cukup kuat. Inilah yang menjadikan Melayu ' melayu'. Timbul satu persoalan, adakah ini generasi Melayu yang mahu ditinggalkan dan mewarisi tanah pusaka ini. Yang dibimbangi adalah tanah ini menjadi puaka dek ketaksuban semaian fikrah yang taksub pada budaya hantu dan jembalang. Inilah yang menjadikan Melayu 'melayu'! Bila cerita yang menjadi tontonan yang menhgitung minggu adalah cerita hantu berkapan, polong dan pocong. Realitinya minda siapa yang berhantu? 

Ini baru sekelumit. Belum lagi bicara masalah sosial lain. Yang lain panjang lagi bicaranya. Sampai bila kita mahu duduk dalam kepompong yang layu ini? Tanpa mahu tuding-tuding jari menyalahkan siapa. Ayuh kira-kira rumus memulihkannya!
                                                                                                                                            Bersambung... 

Monday, May 28, 2012

Jumaat Generasiku

Dalam riuh rendah kenderaan meluncur, hadir jasad ke situ. Berduyun yang datang. Sesak ibu kota, bukan sesak dalam jiwa. Melangkah masuk ke pintu gerbang, deret peniaga yang mencari rezeki. Untung-untung orang membeli. Peniaga kopiah, minyak atar. Begitu juga akak penjual nasi lemak, serta abang jual air kelapa laut. Di bahu jalan, ada peniaga nasi beriani. Sebelah penjual cakera padat, peniaga apam balik.

Belum waktu zuhur lagi. Masuk waktu Zuhur nanti, pasti lagi ramai yang datang. Masakan tidak. Hari ini Jumaat. Lelaki yang Islam, berakal, akil baligh tentu ada. Yang peliknya yang tiada mahu niat dalam hati mahu ke masjid. Sekali dua ponteng. Kali ketiga baru datang. Mazhab mana yang diturut?

Dalam kota agam ini, ribuan ragam manusia dapat dilihat. Sama ada memang wataknya sesuci embun, suci dalam debu, atau debu-debu itulah yang membezakan. Yang ada disekiling ini juga ada yang tersirat dalam diri masing-masing. Tapi yakin dengan satu niat, kehadiran ke sini adalah atas perintah yang Esa.

Baju Melayu putih dengan sampin. Jalannya henjut-henjut. Sambil menggalas beg. Duduk berkumpul dalam kalangan mereka. Ada yang bersongkong, sebaliknya juga. Sekolah sesi pagi atau petang? Abaikan sahaja persoalan itu. Budak-budak ini mahu dilihat bagaimana esok hari? Itu yang jadi tanda tanya. Bukan bermakna yang mahu dilihat itu pada hari berikutnya sahaja. Sabtu, Ahad, Isnin Selasa, dan seterusnya, tapi hari mendatang. Jauh 10 atau lebih tahun lagi. 

Akan datang, tanah ini penghuninya adalah mereka. Juga waris darah daging kita. bersediakah mereka berbekalkan formula dan rumus yang diuji di makmal alam pembelajaran, seterusnya digunapakai dalam medan pasaran semasa sedangkan laluan ujiannya ditokok dengan rencam yang mengerikan. 

Henjut-henjut, goyang-goyang, lompat-lompat. Tidak tahu gerak apa yang mengiring tempo. Baju kurang kain? Sama ada dijemput, diimport dari barat atau timur itu yang merisaukan. Budaya pandang ke luar, menjengah timur, mengintai barat sebenarnya menjemput kekusutan nilai budaya generasi hari ini. Kalau dasarnya ilmu yang bermanfaat pasti nilainya dapat diteladani sebaik mungkin. Sayangnya, bukan itu lagi!

Di Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur. 

Dapat dikira waktu ini kita berada dalam saat genting. Sama ada merelakan pasukan muda terus tewas atau kembali bangkit untuk berjuang sebenarnya jadi tanggungjawab semua. Mahu lihat generasi ini kekal bangga dengan dunia dan alam fantasi suka ria yang akan mengheret kepada kehancuran menara minda atau membina semula asas jati diri dunia realiti. Singkap tabir sejarah, hakikatnya Melaka runtuh kerana leka!

Sunday, May 27, 2012

Segelas 'Fresh Orange'


Tulisan saya ini tiada kepentingan peribadi tapi saya mahu yang seakidah dengan saya berfikir tentangnya. Saya mahu anda fikir dan renungkan.

Saya pinjam satu analogi, seorang Melayu mengajak rakannya (juga Melayu) pergi ke bar, minum, berbual-bual. Katanya, "di sana tak perlu minum wain seperti aku. Minum fresh orange". Maka rakannya turut sama ke sana, minta segelas fresh orange. Cuma minum saja.

Minum, berbual bual. Ya, sambil membasahkan tekak dan mengisi masa. Salahkah?

Jika anda yang menghadapi situasi seperti ini, bagaimana mahu anda mengadilinya? Meletakkan iman sebagai perisai utama dalam mempertahankan diri anda atau mempertahankan 'persahabatan'?

Banyak persoalan yang perlu dirungkaikan.  Apa yang perlu kita sedari adalah matlamat tidak sama sekali menghalalkan cara. Meskipun niat mahu ke bar dan membasahkan tekak, itu perlu. Tapi kenapa bar?
Mengapa bukan ke warung tepi jalan sahaja?

Sebab kawan yang ajak. Dia mahu pergi juga ke sana. Ringan langkah, tanpa bantah. Mengiyakan kerana yakin bahawa, takkan sekali-kali meneguk air haram itu, sebaliknya meneguk segelas fresh orange bervitamin C!

Carilah tempat lain. Baik memilih santapan, tempat perbelanjaan, hiburan. Titis hitam pada baldu putih, meski di penjuru, harganya tidak sama. Buangkan dahulu, baru ya dan aku tahu, sucinya baldu itu.

Maaf tuan, puan, kawan, sahabat, aku menulis bukan kerna nama.
 Tak mengapa andai tuan tidak mengerti. wallahualam.



Thursday, May 24, 2012

Soldadu Senja


“Ramai orang mahu Haji Rahim yang bertanding dalam pilihanraya kali

ini. Mereka mahu Haji Rahim jadi wakil rakyat. Haji Rahim calon
utama!”, pinta Dr. Yusri.



“Aku dah tua. Tak mampu dah aku nak bekerja untuk itu ini semua. Bukan
tahap aku lagi.”



“Khidmat Haji Rahim kami perlukan lagi. Masyarakat di sini semua kenal
dengan Haji.    Kami nak cadang nama Haji nanti.” Sidek menambah.



Lelaki itu sekadar berdiam diri. Dalam umur selewat itu, mampukah dia
menjalankan amanah yang bukan taranya sebebabn guni. Malah lebih berat
dari sebuah bukit.Medan ini bukan mainan. Pertandingan ini adalah
harapan. Kemenangan itu satu impian. Tapi amanah yang menanti bukan
bandingan.



“Boleh pilih calon lain? Orang yang lebih layak tiadakah?”, Haji Rahim
cuba menarik diri. Cara terhormat. Nadanya bagai memujuk. Matanya
merayu. Namun mata yang menyambut riak itu jelas kehampaan.
Mereka saling berpandangan. Sidek dan Dr. Yusri. Hela nafas bagai
mengucap kata-kata hampa. Tapi jauh di lubuk sanubari ada suara kecil
yang berteriak mendamba harapan.  Bagaimana mahu diteruskan langkah
ini?



“Haji, bukan kita tiada pilihan lain, tapi ramai yang mahukan Haji
Rahim juga. Baik dari kalangan pemuda ataupun yang sudah tua..err..
maksud saya orang lama”, Sidek bersuara.



“Bukan tua…remaja purba.. hehe., harapan mereka pada Haji Rahim. Haji
Rahim tempat rujukan di sini. Baik dari manapun tahu siapa Haji
Rahim”. Dalam serius Dr. Yusri sengaja mengusik.



“Biar aku fikirkan dulu. Bagi aku ruang. Moga ada petunjuk dari Allah.”



Bangkit harapan bagi mereka berdua. Dari tadi bagai hilang kosa kata
dalam kamus pemikiran mereka. Cuma lafaz tanpa dirancang terucap.



“Terima kasih Haji Rahim”. Sidek dan Dr. Yusri berpandangan. Termenung
sebentar,tersenyum. Lalu beredar mereka, meninggalkan tubuh tua, usal
salam terurai mesra.



Aku sudah tak mampu lagi nak berkejar-kejar. Bukan senang nak jadi YB.
YB memang Yang Berhormat. Tapi lagi tepat Yang Bekerja. Bekerja demi
Allah untuk rakyat. Menjadi wakil rakyat mesti punya kekuatan mental.
Fizikal itu sudah pasti. Mesti kuat! Adak ala musuh mengancam dari
segi psikologi. Rohani perlu kukuh! Jadi perlu tegar hadapi semuanya.
Sedangkan waktu tua ini waktu untuk berehat. Hidup tenang bersama
keluarga. Bersantai tanpa gangguan yang memeningkan. Hidup di
penghujung senja ini dengan menghambakan diri kepada yang Esa. Sebelum
menjelma kelam malam. Mahu dibawa nur menerangi barzakh. Tapi andai
dipilih laluan yang satu lagi ini mampukah aku mendapatkannya? Gelora
kebimbangan membuai minda, sesekali membuat diri bagai dilambung. Jiwa
berkocak!



Dalam diam minda berfikir. Hati kecil berzikir. Mohon ketenangan.
       Mata dipejam rapat. Hati dibiar kosong.
Abu Ayub Al-Ansari. Namanya terlintas dalam kelam mata yang terkatup
itu. Mendengar sabda baginda, bila mana Kota Konstatinople bakal
dibuka oleh raja dan tentera terbaik, bingkas jiwanya bangkit
mempamerkan kesungguhan. Sedang dalam usia sebegitu lewat, jiwanya
tetap tegar mahu melangkah seperti tentera-tentera muda yang lain.
Menuju medan tempur, mengangkat senjata. Berjuang. Mahu jadi tentera
terbaik. Semangatnya tak pernah luntur. Jadi api yang marak. Itu Abu
Ayub Al- Ansari. Sayang bukan beliau yang ke sana. Tapi, nyala
semangatnya yang menghidupkan iltizam tentera Muhammad al Fatih. Maju
dan mara! Jasad yang tertanam di luar tembok, jadi saksi derapan kuda
yang melangkah. Jadi saksi tumbangnya Kota Konstatinople dari musuh
Allah. Tegaklah kalimah tauhid di bumi itu. Berkibarlah panji
kebenaran. Kebenaran yang pernah diucap oleh utusan Tuhan. Sayang
seribu kali sayang, bukan Abu Ayub yang mengibar dan menjulang panji
kemenangan. Oh Abu Ayub!



Ya Rabb. Haji Rahim membuka mata. Jiwanya bakai terpukul. Dari dulu
lagi dia bersama gerakan ini. Atas perjuangan Islam. Atas nama
kebenaran.  Mahu ditegakkan syariat Allah bersama. Baik dari setiap
peringkat. Menyemai dan menyuburkan fikrah Islami baik di segenap
peringkat. Dan bersama-samanya masyarakat luar bandar yang perlu
dididik dengan ilmu. Sungguh negeri ini masih dijajah penjajah minda.
Jiwa warganya bukan jiwa merdeka. Islam belum didahulukan.Sungguh
tanah ini belum merdeka. Impian mahu melihat tertegaknya syariat
Allah. Impian orang yang beriman. Medannya di hadapan. Majukan
langkahmu Abdul Rahim. Pentas siasah di hadapan memerlukan para
tentera yang rela bergalang jiwa demi melihat bumi ini diberkati.  Dan
kamu perlu jadi orang yang mendahului dan memimpin mereka.



Terbayang akan wajah-wajah pimpinan. Dalam kalangan mereka juga
berusia. Lebih berusia daripadanya. Namun semangat dan iltizam mereka
tak pernah kelam. Malah merekalah inspirasi anak muda. Di peringkat
nasional. Apa salahnya menabur bakti di wilayah kecil ini.



Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Haji Rahim termenung lagi. Dadanya
berombak. Apa sudahnya? Mahu tetap mengundurkan diri. Menghampakan
harapan rakan-rakan perjuangan.



Perjuangan ini takkan terhenti selama mana cita-cita tidak tercapai.
Bukan untuk kepentingan diri tapi untuk masyarakat seluruhnya.
Kerana Islam itu cita-cita kami, biar usia dimamah, semangat takkan
terpadam. Legasi ini tetap akan diteruskan, pejuang muda akan bersama.
Terima kasih Abu Ayub. Bakarkan semangat untuk tentera al Fatih.
                        * disiar dalam Sastera dan Budaya Harakah, 22-25 Jamadil akhir 1433 h/14-17 Mei 2012

Saturday, May 5, 2012

JIKA AKU SEORANG PERDANA MENTERI


 Berdebar rasa dalam diri Ajib. Sebentar lagi namanya akan dipanggil.
" Seterusnya, bagi meneruskan pertandingan Pidato Kanak-kanak Peringkat Zon,, dijemput adik Muhammad Ajib bin Abdul Raziq  dari Sekolah Kebangsaan Kampung Pekan untuk mencabut undi bagi kategori pidato spontan". Juruacara bersuara.
Ketar lutut Ajib. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke atas pentas. Mencabut undi. Dalam bekas yang berisi tajuk-tajuk pilihan. Ajib menghela nafas. Mulutnya kumat kamit. Mohon doa dari yang Esa. Entah apa yang disebut, Ajib tak tahu.Cikgu Rosnahmula memanjangkan leher."Apa budak ni buat? Lama sungguh" rungutnya dalam hati.
Ajib membuka gulungan kertas dalam debar berisi titis keyakinan. Ajib mahu buktikan dia boleh menang.

JIKA AKU SEORANG PERDANA MENTERI.

Terbeliak mata Ajib. Mulutnya terlopong. Diserahkan kertas itu kepada juruacara.

"Baiklah, tua-tuan dan puan-puan sekaliah, peserta terakhir ini akan menyampaikan pidato spontan yang bertajuk JIKA AKU SEORANG PERDANA MENTERI. Masa yang diperuntukkan untuk bersedia  ialah 2 minit dari sekarang.

Ajib terpana. Dalam mindanya, terpampang wajah-wajah perdana menteri tanah airku Malaysia. Aduh apa ni? Ajib kebingungan. Sekejap dia tunduk. Membaca tulisan di lantai yang tiada aksara. Mendongak, mungkin ada ilham yang turun. Cikgu Rosnah, mula gelabah. Membela sanggul. Terasa kerusinya hangat.

Loceng dibunyikan. Masa dua minit telah berlalu dan Ajib memulakan bicara. Masa yang diperuntukkan untuknya ialah 90 saat.

"Terima kasih juruacara majlis, saf para hakim yang menjujung keadilan dan kebenaran, penjaga masa yang wibawa penuh setia,para pendidik pembina aspirasi negara, rakan-rakan seperjuangan,

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.
Dalam arena ini zinkan saya mengungkai kata, memanjang bicara,  JIKA AKU SEORANG PERDANA MENTERI!
Menongkah arus globalisasi, memacu era pembangunan negara, pastinya saya sebagai perdana menteri punyai visi dan misi bagi memimpin negara.

Pertama, bagi meningkatkan kualiti dan integriti, saya akan memastikan setiap kalangan menteri saya bebas daripada sebarang isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Saya akan memastikan tiada berlaku ketirisan dan salah guna wang rakyat. Maka negara kita dapat menikmati pembangunan secara telus dan terus. Tiada yang teraniaya dan dipinggirkan.

Kedua, saya aka memastikan pendidikan percuma. Tiada bebanan untuk mahasiswa. Maka mereka dapat meningkatkan lagi penguasaan ilmu ke tahap yang lebih tiggi. Dengan memiliki ilmu yang tinggi, mereka dapat membantu negara mencapai cita-cita dan seterusnya menjadikan negara kita maju. Siapa lagi kalau bukan mereka yang akan mewarisi negara ini. Ruang untuk ahasiswa bersuara juga akan dibuka.

Ketiga, jika saya sebagai perdana menteri. Saya akan memastikan, demokrasi yang dijalankan adalah telus. Ruang bersuara adalah berlandaskan demokrasi. Pilihanraya pula adalah...errr... dijamin tiada penyelewengan. Badan pilihanraya adalah bersih, Ya bersih satu, dua dan tiga!


Dan yang pasti Islam sebagai ad-din. Cara hidup kita. Bagi yang bukan Islam, segala kepentingan mereka akan dipelihara.

Pastikan anda bersama saya, Muhammad Ajib bin bin Abdul Raziq. Bila? Bila anda memilih saya!"

Ting, ting. Loceng dibunyikan.
Tepukan gemuruh diberikan. Cikgu Rosnah ternganga.



























Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...