Thursday, December 16, 2010

Main dan ...

Sinar Harian Edisi Pahang, 15 Disember 2010

Main adalah sesuatu yang menyeronokkan. Main adalah simbolik, sukarela dan bermotivasi intrinsik, berperaturan dan berbentuk episodik.(Fromberg)

Main dapat digolongkan mengikut fungsinya, iaitu main sebagai satu kemajuan, main sebagai kuas, main sebagi fantasi dan main sebagai main.(Brian Sutton-Smith dalam Pellegrini 1995).

Bermain merupakan proses kanak-kanak belajar. Kaedah bagaimana kanak-kanak menerima satu pengetahuan dan menjadikannya sebagai pengalaman. Bermain membolehkan kebolehan kanak-kanak diperkembangkan.

Integrasi antara pembelajaran bilik darjah dengan aktiviti luar juga amat baik. Membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh di dalam kelas. Adakah dalam pada masa yang sama, ambil kesempatan?
Mungkin remaja ini mengaplikasikan pengetahuannya. Cuba memahami topik Reproduction dalam Subjek Sains PMR. Mungkin juga ulangkaji?

Episod 2 Parlimen Rimba, Pantun si monyet



Terkejut monyet tidak terkira,
Disangka guruh langit nak runtuh,
Rupanya Belang mengaum bersuara,
Wahai kawan mengapa riuh?

Belang, tersenyum sinis. Membeli pantun.

Pohon tualang pohon bidara,
Ditengah-tengah pohon pulasan,
Sekali sekali aku bersuara,
Bukan salah hilangkan bosan.

Monki menyusun kata.

Ayam serama terkejut melatah,
Disakat itik ditepi pagar.
Bukan hamba mengata salah,
Terkejut seisi rimba mendengar.

Belang termenung, lalu tersenyum.

Sudah mahu katakan mahu,
Jangan sekali dibuat lupa,
Biar seisi alam yang tahu,
Akulah Belang si raja rimba

Monki terkedu. 

Kembang melati hinggapnya lebah,
Melati putih dicelah seroja,
Tiada siapa mengangkat sembah,
Takhta yang mana tuanku beraja?

Tercabar. Cukup tercabar. Berdesing telinga mendengar, balas Monki itu. Tajam pandangan Belang memandang Monki. Tak senang Monki dipandang begitu, bimbang putus nyawanya. Mahu diterkam monyet itu. Monyet itu cukup pandai berkata-kata. Suka berhujah. Suka berdalih. Dasar binatang pemalas. Antara kaum kerabatnya, monyetlah yang paling pemalas. Monki juga begitu. Beruk, kera , monyet. Mereka semua satu keluarga. Ada juga bezanya. Beruk badannya besar, kera dan monyet kecil. Ekornya juga pendek. Bulu beruk jarang-jarang. Bulu monyet macam bulu kucing. Halus. Monyet dan kera lebih kurang sahaja. Bezanya pada ekor, ekor kera panjang dan lurus. Sama lurus dari hujung sampailah ke pangkal. Tapi, ekor monyet penjang mengecil macam ekor cicak. Kera boleh diajar. Begitu juga beruk. Tapi monyet pemalas. Langsung tidak boleh disuruh. Beruk jika digunakan oleh manusia untuk memetik kelapa. Kera memetik petai. Monyet? Memetik bintang.Bukan bintang, tapi tahi bintang. Sebab itulah monyet pemalas.Mungkin kelebihan untuknya.Kelebihan untuk mereka yang abanyak berdalih.Begitulah kata pepatah, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Belang juga bijak berhujah. Berkias membalas pantun.

Bisa bukan sebarang bisa,
Bisa membunuh si ular senduk,
Sungguh aku paling berkuasa,
Semuanya takut rimba ku takluk.


Agak gentar Monki. Manakan tidak berbisa kata Belangg. Benar banyak haiwan yang takut. Bimbang dibaham, kalau-kalau Belang mengamuk. Pendek usianya. Monki memujuk.

Jangan tedung bermain bisa,
Kelak nanti membawa padah,
Sungguh tuan gagah perkasa,
hamba nan hina menjunjung titah. 

"Ha ha ha," Belang tergelak puas.

"Khabarkan Monki, ke seluruh isi rimba ini akulah ketua kepada mereka semua. Kiranya akulah raja. Barang siapa yang ingkar akan aku musnahkan habis-habisan. Engakau akan menjadi orang kanan aku." Titah Belang.

Monki tersenyum. Jawatan untuknya. Dia bakal berpengaruh. Biarlah Belang menabalkan dirinya sebagai raja. Dia tidak peduli. Mudahnya Belang mengangkat diri. Monki menurut perintah. Dipanjatnya dahan pohon cengal. Melompat dari dahan ke dahan. Membawa perintah ketua. Membawa titah belang si raja rimba.

bersambung...

Wednesday, December 15, 2010

Makna tersirat, fikirkan~ P.Ramlee.Mengagumkan!


Pernah saya menghadirkan diri ke satu seminar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada Ogos 2009. Bertempat di Dewan Besar IKIM ketika itu, Forum Genarasi Y Ke Arah Kejayaan. Generasi Y, adalah generasi mutakhir kini. Generasi milenium!

Antara slot yang paling menarik pada hemat saya ialah ketika pembentangan yang disampaikan oleh Datuk Aziz Sattar. Seniman yang cukup terkenal hari ini. Kenapa P.Ramlee Berjaya? Itulah persoalan yang dirungkaikan oleh beliau. Dan audiens yang menjadi tumpuan adalah kami, Generasi Y.

Sebut sahaja namanya, agak sukar rakyat Malaysia untuk mengatakan,"eh, siapa?", ataupun "tak kenal la". Namanya tersohor. Cukup terkenal. Hatta, seisi rantau nusantara ini mengenalinya. Namanya cukup terkenal di Singapura. Brunei juga, tak lupa Indonesia. Oleh sebab itu, Pertandingan Bintang P.Ramlee 2010, turut disertai oleh peserta dari rantau nusantara ini.

Kembali semula, Kenapa P.Ramlee berjaya? Menurut Pak Aziz Sattar, P.Ramlee orangnya cukup hebat. Kata-kata orang tuanya dijadikan panduan.Meskipun mereka tidak berpelajaran tinggi, itulah kata-kata hikmah yang menjadikan beliau orang yang hebat, berguna sehingga beliau berjaya dalam karier seninya.

Seni sebati dengannya. Meskipun hidup keluarganya susah, juga kekurangan , bapanya sedaya upaya mendapatkan sebuah biola( masih disimpan di Pustaka Peringatan P.Ramlee).Biola hadiah dari bapanya dijadikan inspirasi untuk menterjemah bakat yang dimilikinya. Ilmu muzik dipelajari oleh P.Ramlee dari seorang tokoh muzik dari Pancaragam Polis Pulau Pinang. Dari situ, muncul lagu bertajuk "Azizah".Kemudian, beliau mendapat tawaran di Studio Malay Film Production, Jalan Ampas. Ke pentas Bangsawan kemudian kembali semula ke Jalan Ampas. Filem dan lagu-lagunya bertambah maju. 

Perjalanan seninya, menghasilkan sesuatu yang amat bermakna. Setiap apa yang disampaikan ada kesan dan mesej yang tersendiri. Sekadar contoh yang ingin saya ambil, dari filem Seniman Bujang Lapok. Ketika Ramlee, Ajis dan Sudin mula-mula pergi ke Studio Jalan Ampas. Waktu itu Sudin bertanya kepada jaga(pengawal keselamatan berbangsa Sikh).

"Oii, sini wayang gmabar pusing ka?Ooo...lu pon tersampuk ka?"...Berjalan meninggalkan jaga.

"Eh, sudahlah, mari kita baliklah. Ini diorang semua banyak anginlah."

"Nama saja orang Melayu, sikit adab pon tak tau. Orang ada ka panggil, hoi, hoi,hoi. Saya ni apa ka? Batu ka? Kayu ka?" 

"Alamak, benggali tu bahasakan kite la!"Tersentak Sudin.

"Memang betul dia cakap. Engkau tu mana ada bahasa. Panggil orang hoi, hoi, hoi... Bahasa menunjukkan bangsa tau!" Pintas Ramlee.

Nampak bersahaja bukan? Tapi disitulah letaknya pengajaran. Bukan sahaja erti sopan santun kemelayuan itu sendiri, tapi adab Islam yang saling menghormati. 

Begitulah P.Ramlee. Bukan seni semata-mata yang dipandang. Malah mendidik bangsa sendiri menjadi tanggungjawab. Cuma diterjemahkan dalam seni. Begitu juga, apa yang ingin disampaikan melalui Filem Semerah Padi. Tanggungjawab mengangkat hukum Islam itu sendiri. P.Ramlee mahu kita berfikir. Lagi? banyak lagi. Pelbagai mesej yang ingin disampaikan.

Lagu-lagunya bukan hiburan kosong. Lagu-lagunya memartabatkan bahasa Melayu sendiri. Lagu disusun melodi yang medamaikan. Penuh erti dan cukup bermakna. Rangkap pantun yang tersusun, sehingga hari ini jadi hiburan dan nyanyian. Terutama tatkala menjelang kenduri kendara, meraikan majlis perkahwinan. Lagu gubahannya, Selamat Pengantin Baru, dan Pukul lah tabuh. 

Sekadar meminjam kata P.Ramlee, dalam Filem Semerah Padi.

"Biar busuk daging ku mamah, asal kau terhidar cemar"

Makna tersirat, fikirkan~ P.Ramlee.Mengagumkan!

Tuesday, December 14, 2010

Buah perah, Mitos dan Asam Rong!


Ini cerita dongeng. Mitos semata-mata. Belum tahu betul atau tidak. Dari cerita mulut ke mulut. Cerita sampai menyampai. Cerita di suatu tempat. Kenapa di Ulu Dong, Raub, Pahang tiada pokok perah. 

Tatang, orang asli. Ada seorang isteri, namanya Tating. Mereka punya seorang anak. Di situ, di Bukit Raya, anak Si Tatang dan Tating ini termakan buah perah tersebut. Buah perah jika tersalah caranya beracun. Akhirnya membawa maut. Anak Si Tatang dan Tating mati.

Tatang marah. Dia mengamuk. Habis dicabut semua pokok perah di bukit Raya. Tiada satu yang tinggal. Ditemukan penawar racun itu. Bunga Kantan. Sebab itulah susah untuk ditemukan pokok perah sepanjang hutan bukit Raya dekat Ulu Dong ini. Namun pokok kantan mudah sahaja tumbuh. Sekadar mitos.

-Buah perah gunanya untuk dibuat asam rong. Bukan asam pedas. Berbeza. Sajian tradisi di Pahang. Terkenal sungguh di Raub.

Episod 1: Parlimen Rimba


Apabila semuanya akur pada perintah, tiap-tiap hukum dan ketetapan, itulah kehidupan buat mereka. Kehidupan yang memenuhi suratan alam. Segala yang ditetapkan oleh pencipta, segalanya berlaku mengikut peraturan. Tiada satu yang tidak terkecuali. Dari sekecil-kecil pasir hinggalah sebesar-besar pohon tualang yang tinggi. Pencipta tidak pernah lupa dan lalai mengaturkannya. Rimba yang luas itu, jadi tempat bergantungnya harapan. Hidupan yang bernawa untuk terus hidup. Begitulah kejadian alam. Hambanya sekadar melihat dengan mata, tetapi bukan dengan mata hati. Yang kuat akan terus bertahan. Sedang yang lemah akan punah, menjadi mangsa. Menjadi santapan dan habuan. Itulah hakikat hidupan bagi mereka. Itulah kehidupan disebalik undang-undang rimba.

Undang-undang diwujudkan untuk dipatuhi. Harapannya tidak berlaku sebarang kekacauan. Undang-undang rimba bukan untuk kroni. Tapi bukti kekuatan mereka yang berkuasa. Merekalah pemangsa. Merekalah yang memegang kuasa. Di rimba itu karnivor dan omnivor mencari kuasa. Mengangkat diri menjadi raja. Menjadi pemimpin rimba. Menguasai seisi rimba bererti, lurah dan bukit, sehinggalah pinggir pantai nun

di sana adalah miliknya. Mungkin juga seisi pulau itu ditadbir dengan gah. Mewujudkan satu kerajaan yang berupaya memerintah. Segala hidupan pasti akan akur terhadap setiap perintah. Melahirkan ketaatan yang tak berbelah bahagi. Itu impian mereka. Kuasa-kuasa pemangsa rimba. Sedang yang menjadi mangsa, akan selama-lamanya menjadi mangsa. Terus akur dengan kehidupan. Puak-puak herbivor ini redha dengan suratan alam. Meski pernah mencemuh diri mereka, bahawasanya celaka menjadi makhluk lemah. Namun mereka tahu, Tuhan itu berkuasa ke atas setiap makhluk. Mereka meneruskan kehidupan. Tidak berdaya juga menentang mereka yang punya kuasa itu.

Inilah masa membuktikan dia berkuasa. Belang mahu kaumnya diangkat menjadi terhormat. Menjadi penguasa penuh berkuasa. Bukan sekadar pemangsa. Mahu segala titahnya menjadi ketetapan. Segala arahannya dipatuhi. Membina empayar tersendiri. Pesan orang tuanya tak pernah dilupa. Mesti bangga dengan kekuatan. Jangan undur sedikitpun menentang musuh. Pada mereka ciri pahlawan! Mereka bangga dengan kekuatan yang ada. Di pulau itu, kerabatnya tidak ramai. Itu hakikat pahlawan. Pasti ramai yang tumbang. Khabarnya kerabatnya kian pupus. Diburu manusia. Diri mereka sangat berguna. Mereka juga mangsa meskipun mereka pemangsa di situ. Belang mengeluh sendirian. Mengenangkan nasib. Tapi, obor cita-citanya tak pernah padam Dia yakin dapat berkuasa. Pengaruh dan kekuatannya mampu membentuk pemerintahan yang tersendiri. Belang yakin dengan tiap apa yang dimilikinya. Tubuhnya yang degap. Lagaknya penuh keyakina. Renungan mata yang tajam membuatkan tiada haiwan yang mahu bertentang mata dengannya. Auuuummmm! Belang memecah kebuntuan.

Semacam dirasuk hantu monyet-monyet mendengar ngauman Belang. Terjerit-jerit, menyelamatkan diri. Bimbang dibaham harimau itu. Semacam suatu bencana mendengar ngauman Belang. Dari dahan ke dahan Monki bergayut. Rakan-rakannya ketakutan. Dengar ngauman belang semuanya kecut perut. Monki beranikan diri. Monyet muda yang baru hendak matang. Dari atas pokok Monki bersuara.
 Bersambung...


Monday, December 13, 2010

Gemakan Takbir Seisi Alam,Pasti Bangkit Jiwa Menggegar Suram!



1511 H[KOMBAT]-Faisal Tehrani 

Belajar dari situ anak muda! Pasti dihembus buatmu roh jihad. Juang menentang. Kita tak pasti masa depan. Kisahnya bukan kisah biasa. Antara cinta manusiawi semata. Tapi cinta kepada pemilik langit dan bumi. Emrullah dan Zinnera, cinta suami dan isteri yang mendambakan syurga. Harapan Hajah Nusaybah, Bilal Kaya, Salim Badar, Syed Habib dan Muhammad Ameen. Kembalikan kekuatan itu supaya takbir menggegarkan alam. Wallahualam~


Antara cinta insan dan cinta Rabbnya, mereka sanggup syahid untuk menegakkan kalimah tauhid. Kematian mereka bukan sia-sia. Sebaliknya mereka hidup aman damai disana. Impian syahid. Mungkin akan terjadi dalam kalangan kita. Itu buat yang memahami erti sebenar kehidupan. Sebagaimana Khalid al-Walid yang sentiasa mendambakan syahid, namun sayang rohnya diangkat bukan di medan perang. 

Meniupkan semangat jihad hari ini, amat perlu. Isy azizan, aumut syahidan. Hidup mulia, mati syahid. Itu sahaja pilihan. Buat yang berjuang untuk al-Aqsa, doa kami utuskan! Sebagai ingatan buat di sini, di tanah air penuh keaman, supaya jangan mudah terleka.Ingatan buat diri juga untuk semua.

Gemakan takbir seisi alam,pasti bangkit jiwa menggegar suram!

Bukan pinjaman kata pujangga. Sebaliknya ini hakikat yang nyata. Laung azan saling menyahut, memenuhi seisi alam. Dari Timur langsung kebarat, melangkau tembok sempadan negara, melangkah batas seluruh benua. Itulah panggilan memecah suram. Panggilan menuju kejayaan. Panggilan mengagungkan Tuhan. Yang pasti, sejarah telah membuktikannya! Sebagaimana Muhammad al-Fatih dan tenteranya. Raja yang terbaik dan tentera yang terbaik! menyahut tuntan panggilan menggegar suram itulah kunci kejayaannya. 

Mengisi harapan masa depan dengan kemenangan!Cukuplah penghinaan. Bumi Al-Quds dirobek Israel kejam. Bumi penuh sejarah. Menguasainya bererti menguasai dunia. Lantang Amerika berhati kejam! Zalim Israel berjiwa binatang! Bangsat mereka. Laungkan Takbir...Allahuakbar!

ILMU AMAL BUDI~


Saat itu masih dibangku sekolah menengah, di bumi SEMESTA (Sek. Men. Sains Tg. Abdullah) . Terlupa, sama ada Tingkatan Empat atau Lima. Petang, dalam perpustakaan seperti biasa, menjalankan rutin tugasan. Masih ingat cikgu itu! Ya, beliau mengajar Sains tika menengah rendah. Mungkin waktu itu agak mentah. Tatkala itu dia menyambung pengajiannya di IAB(Institut Aminudin Baki), khabarnya bakal menjadi pengetua.

Pesan cikgu, hidup ini kita perlu memberi sedaya yang mungkin. Hakikat seorang guru begitu. Tidak boleh berkira. Berkorban dan terus berkorban. Tak guna berpangkat tinggi tapi tiada bakti. Biar kita tampak rendah, tapi kita hidup berbudi. Berbudi?

Berbudi kepada masyarakat. Berbudi kepada ummah. Tak perlu berbangga-bangga dengan jawatan. Tak guna jadi itu ini kalau tiada sumbangan. Apa yang pasti hidup ini mesti terus berbakti!

Begitu juga pesan Presiden ALBADAR,(Alumni BADAIS/PPI SEMESTA) , bila hidup kita berilmu, pastikan diamal, seterusnya berbudi!

Sekadar meminjam kata Pak Harfan dalam Filem Laskar Pelangi, 

“Hidup itu memberi sebanyak-banyaknya, bukan meminta sebanyak-banyaknya“.

Sekadar renung, bimbang termenung. Pesan warisan warga SEMESTA, ILMU AMAL BUDI~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...