Monday, November 25, 2013

Musim Yang Berlalu

Lama saya tak menulis di laman ini. Terasa seperti tak bertanggungjawab. Sejujurnya akan saya manfaatkan masa yang diamanahkan untuk menjad seorang penulis yang baik. Selama masa berlalu, selama itu musim berubah. Dari bujang menyinsing zaman baru yang berlalu. Hadiah dari Yang Esa.

Allah menciptakan makhluknya dengan pelbagai keistimewaan. Antaranya, makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Sebagaimana nabi Adam setelah diciptakan di syurga. Baginda melihat burung-burung punyai pasangan mereka. Saat itu baginda sunyi. Allah maha mengetahui. Maka Hawa diciptakan.

Dirinya amanah buat hamba,
Dirinya hadiah dari Yang Esa,
Moga jadi peneman di dunia,
Moga kekal hingga ke syurga.

Mohd Khairul Afif b Abdul Majid
Kuala Terengganu, Malaysia

Wednesday, June 12, 2013

Dari Tanah Suci 1

Umrah? Sememangnya lebih ramai orang yang lebih arif, lebh pakar tentang dua kota suci, apatah lagi ibadah ini. Malah pengalaman serta selok belok suasana di sana. Bila ada yang bertanya, "kali pertama umrah? " Aku segera mengangguk. Tanda setuju.
Banyak mahu ditulis. Barangkali akan datang. Sedikit-sedikit.
Balik dari sana. Rindu itu susah hilang. Kadang rasa syahdu dan sedu. Cukuplah ayat 1 surah al- Isra, tergambar hebatnya rumah Allah itu. Bumi yang penuh dengan keberkatan. Di situ ada aku jadi kaku malah terkedu. Saat mula menatap Kiblat sekalian muslim, aku tersentap. Aku hambaMu, Engkaulah Tuhanku!
Terima kasih ayahanda, bawa kami ke sana.


Di Masjid Quba. Aku dan Along

Sunday, May 19, 2013

Kad 16 Mei

"Cikgu, esok hari guru. Kami ada hadiah untuk cikgu. Cikgu datang ye!" pinta Maisarah.
"InsyaAllah, cikgu datang." balas Intan
"Tahun lepas cikgu tak datang mengapa?"
"Ermm. Cikgu ada hal"
"Cikgu datang ye... Kami dah siap hadiah untuk cikgu." Sambung Hidayah.
Intan membalas senyuman anak muridnya. 16 Mei. Esok aku mesti kena datang.
"Cikgu nak tanya sesuatu boleh."
"Boleh, Apa dia dia Hidayah?"
"Erm.. Cikgu dulu memang cita-cita cikgu pilih nak jadi cikgu ye?"
Sekejap, Intan mengerutkan dahi. Kemudian tersenyum. Allah yang yang pilikan untuk cikgu. Cikgu terima.
"Oh... Erm...ok cikgu." 
Intan berlalu meninggalkan kelas 6 Wawasan. Mereka murid-murid kelas sederhana. Pernah mereka cakap, " cikgu, kami tak pandai, tapi kami ada wawasan!"
Intan cuma tersenyum bila mengenangkan kata-kata anak muridnya itu.

Pagi 16 Mei. Murid-murid 6 Wawasan menanti gurunya, cikgu Intan.
" Cikgu Intan tak datang", kata Maisarah.
" Dah agak", sampuk Hidayah. Dalam kalangan mereka tertanya-tanya ke mana perginya cikgu Intan. Mereka nak bagi hadiah istimewa.
" Eh, itu ustazah Laili. Jom tanya dia", kata Hidayah.
Ustazah Laili semacam kalut. Mahu cepat pergi ke tapak perhimpunan. Pantas saja, Hidayah memintas. 
"Ustazah, cikgu Intan tak datang ke?" 
" Datang kot...ustazah tak perasan pula." 

" Intan melangkah  masuk. Melepasi pagar sekolah. Dari jauh anak-anak muridnya memerhati. Mereka semacam mahu mengejar cikgu Intan. Sayangnya, loceng lebih pantas berdering.
"Alamak... tak dan laa.." rungut Maisarah. Arah larian mereka beralih ke tapak perhimpunan.
Intan sedar, dia terlewat sedikit hari ini. Hari ini murid-murid gembira. Para guru dirai. Pasti seronok. Intan segera mendapatkan tempat. Sebelah ustazah Laili.


Sewaktu seolah menenagh dulu. Intan tinggal di asrama. Teman baiknya Athirah. Di asrama mereka bagaikan adik beradik. Susah senang bersama. Ada kala Intan sedih, Athirahlah yang memujuk. Antara mereka, Intan yang lebih pandai. Bila menjelang ujian, Intanlah tempat Athirah bertanya. Athirah pernah cakap, "nanti kau boleh jadi cikgu. Baguslah kau mengajar. Senang faham".
" Tak minatlah aku", kata Intan.

" Kau nak jadi apa?", tanya Athirah.
" Nak jadi doktor." Kata-kata Intan buat Athirah terdiam.
" Kau pandai, cerdik. Bagus jadi doktor. Aku nak jadi cikgu. Kalau engkau jadi cikgu juga, boleh kita kerja sama-sama. Tak pelah. Nanti kalau aku sakit, kau boleh tolong aku kan?"
Intan mencubit pipi Athirah. Mereka ketawa bersama.
Selesai SPM, mereka pulang ke kampung halaman. Rumah Athirah dan Intan dekat sahaja. Tak pernah berenggang. Rumah Athirah ibarat rumah kedua untuk Intan. Hingga tiba keputusan SPM diumumkan. Intan jadi pelajar terbaik sekolah. Intan dapat semua A.
Athirah pula, keputusannya boleh tahan. Tapi tak sehebat Intan. Tapi Athirah yakin dengan keputusan yang diperoleh, cita-citanya bakal dicapai.
Intan seronok, impiannya untuk bakal menjadi seorang doktor bakal tercapai. Tawaran ke India, dalam bidang perubatan. Athirahlah orang yang paling seronok.
Rupanya dalam diam Anthirah sembunyikan sesuatu. Athirah tak mahu sesiapa tahu. Athirah tak akan hidup lama. Cuma keluarganya yang terdekat sahaja yang tahu perihal itu. Sehingga saat Athirah tenat. Permintaannya hanya untuk bertemu Intan. 
Waktu itu Intan baru bersiap sedia mahu melanjutkan pengajian ke program persediaan. Intan gembira. Namun, panggilan dari ibu Athirah buat Intan kaget.  Intan segera ke hospital. 
" Aku minta maaf. Simpan kad ini ye Intan". Athirah bercakap dalam nafas tercungap-cungap.
Saat maut menemput. Dua sahabat itu teus bergenggam tangan. Intan hanya mampu memesan kalimah tauhid di pinggir telinga Athirah.
Dua kelopak mata tertutup rapat. Hari itu, 16 Mei.

Terima kasih teman. Kau sahabat setia. Kau guru saatku lupa. Terima kasih atas tunjuk ajar.Kau guru terbaik dalam hidupku yang sebentar. Maakan aku, bukan mahu menipu, tapi... Pilihlah yang terbaik untukmu. 

Air mata mengalir, usai kad ditutup rapat. Intan hanya mampu menatap kad itu. Saat menjelang tarikh yang sama. 

" Intan menangis?" sapa ustazah Laili.
Cikgu Intan mengesat air mata. Dari jauh Hidayah memerhati. Hidayah mengerti, dia tahu siapa Athirah. 

Thursday, December 27, 2012

Banyak Tanya?

Menjadi kebiasaan bila tiba musim peperiksaan, pelajar-pelajar mengulangkaji di perpustakaan. 

Bukan jauh mana
dari sini cuma ke situ
bukan kata apa
hanya ingin ambil tahu

Bukan untuk siapa
sebab cermin diri sendiri
bukan tanya mengapa
sebab cincin tersarung di jari

Bukan fikir bagaimana
Mahu soal atau membisu
bukan harapkan bila
sebab dia ada 'penunggu'!

Dedikasi untuk rakan-rakan IPT yang sedang mengulangkaji pelajaran. Semoga berjaya!

Sunday, December 23, 2012

Catatan dari Masjid Bandar:Mendidik Jiwa Mencintai Ilmu



Bila diberi sekali lagi kesempatan, saya cuba buat semampu mungkin. 


Saya suka ayat rakan panel saya, saya bukanlah orang yang tebaik untuk duduk di sini
(sebagai panelis). 

Benar, sepertinya saya bukan orang yang selayaknya bercakap, tapi kami gagahkan juga. Terima kasih atas amanah dan kepercayaan ini. 
Kita merancang, tapi perancangan Allah lebih baik. Forum kali ini sangat bermakna, malah menjadikan kami lebih mengenali sesama kami. Bila berbual-bual, bercerita tentang asal-usul, waris, siapa ayah, siapa emak, keluarga terdekat, maka terkeluarlah loghat... Yaaiiiih, gitu ye..

Ahlul Panel
Bertindak menggantikan panel, kerusi moderator saya diisi oleh seorang yang cukup hebat. Nyata saya kagum dengan beliau. Rakan-rakan panel yang diimport khas juga nyata memberikan satu percambahan minda yang cukup bernas. Rasa kerdil sebagai panel pertama tetap ada. Berbicara tentang Mendidik Jiwa Mencintai Ilmu. Meskipun berada dalam laluan sebagai pendidik, mauduk perbincangan ini seakan berat buat saya. Masih lagi bertatih, setelah melalu fasa merangakak dalam menuntut ilmu pendidikan dan kemahiran keguruan, langkah-langkah bertatih ini sebenarnya satu latihan bagi langkah yang sebenar bergelar pendidik. Langkahnya masih jauh. Ribuan langkah yang harus diturut terlebih dahulu. 


Sengaja saya sorot kembali perbincangan pada malam ini, di Masjid Tengku Abu Bakar, Raub (masjid bandar). Mengupas pendifinisian tajuk perbincangan, suka untuk bawa kembali pandangan peribadi dengan menyatakan bahawa, mendidik merupakan satu proses pembentukan sama ada dalam bentuk latihan, pengajaran dan pembelajaran. Tentang jiwa, sengaja saya menyatakan, jiwa merujuk kepada manusia. Hal ini bagi memudahkan pemahaman pendengar dengan membuat hubungkait yang jelas terhadap mendidik jiwa itu bererti membentuk manusia. Seterusnya mencintai ilmu, saya definisikan sebagai satu tindak balas dalam bentuk perasaan terhadap pengetahuan. Justeru itu, perasaan cinta terhadap ilmu ini merupakan satu perasaan yang cukup tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Orang yang punyai rasa cinta, pasti sanggup berbuat apa sahaja bagi memastikan matlamatnya tercapai. Maka bermacam-macam ayat-ayat hiperbola tentang kesanggupan bagi membuktikan cinta sejati tersebut.

Salahkah mencintai ilmu?
Ada pelajar yang belajar kerana mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sebab dengan keputusan yang cemerlang tersebut, 'panjanglah langkah' mereka selepas itu. Mana tahu dapat sambung pelajaran ke luar negara. Setidak-tidaknya dapat masuk universiti. Kalau dah keluar universiti boleh dapat kerja bagus-bagus. Kerja yang baik-baik. Malah bermacam lagi tujuan mendapatkakn ilmu dan belajar yang dapat kita dengar. Bimbang juga kalau ada yang cakap, belajar sebab terpaksa atau dipaksa. Aduh, tolong sangat ubah pemikiran seperti itu. 
Anak-anak, adik-adik. Jangan tunggu kena paksa baru mahu belajar!
Kepada abang dan kakak kepada adik pula, jangan rasa mahu goyang kaki pula. Sebaliknya dan sebaiknya lebih menunjukkan contoh yang terbaik. Bagaimana?
Sabda baginda Rasulullah S.A.W, Jadilah orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengarkan ilmu, atau orang mencintai ilmu. Jangan jadi golongan kelima, maka nescaya engkau binasa!
Yang dituntut adalah mencintai ilmu. 
Golongan yang kelima adalah yang
TAK(berilmu/ menuntut ilmu/mendengar ilmu/mencintai ilmu)

Tolong sangat!!!
Bila ada ambulan lalu bawa pesakit, pasti sahaja kenderaan lain akan bagi laluan. Sebab itu peraturan jalan raya. Ambulan membawa pesakit. Mereka berusaha untuk menyelamatkan pesakit.

Bila ada orang yang mahu mencari ilmu, tolong bagi laluan dan jangan halang. Atau kita sendiri yang turut sama pergi menuntut ilmu. Sebab belum tentu jiwa kita betul-betul sihat. Kita juga perlu rawatan kecemasan!
Cuba tanya diri sendiri,
 " Sudah cukupkah ilmu aku?"
Campurkan semua sekali ilmu dunia yang kita tahu. Ditambah dengan ilmu agama. Kali dengan berapa kali sudah kita amalkan sebagai pengukuhan dan praktikkan.


Menurut rakan panel saya, ada dua perkara yang manusia takkan puas. Pertama ilmu. Kedua, harta. Orang yang mencari harta setiap hari akan mengira-ngira adakah hartanya makin bertambah atau berkurang. Sebagai orang yang berilmu, mencintai ilmu rasakanlah kehangatan dan penangan hebatnya cinta ilmu itu. Cari, sampaikan dan sebarkan. Menuntut ilmu kerana Allah! 
Ayuh!

-Terima kasih kepada penganjur, juga sahabat-sahabat penggerak ICoRe

Wednesday, December 12, 2012

Durian Dan Erti Sebuah Keberanian

Iyuuu...bedebuk!
Bunyi durian gugur. Jatuh tak jauh di belakang. Kalau jatuh tepat atas kepala? Boleh berlubang rasanya. 
Persoalan bila pagi-pagi makan durian di rumah bersama-sama teman serumah pagi tadi. Mengapa durian ada duri? Saya bagi jawapan yang tak seberapa logik. Supaya bila jatuh terus melekat di atas tanah. Sebenarnya tak tahu. Hakikatnya tak juga. Sebab kalau durian yang di tanam di lereng bukit, mesti akan bergolek. Tunggu di bawah bukit saja kemudian kutip. 


Antara durian yang jatuh ke tanah dengan letupan senapang yang menggegarkan,mana satu yang lebih mengejutkan? Realitinya, bila berada dalam keadaan tak berjaga-jaga dan kemudiannya tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat begitu mesti terkejut. Bohonglah kalau tak terkejut! Sambil buat muka tak kisah tanpa sebarang reaksi. Hanya orang yang pekak sahaja  yang tahan bunyi letup. Betul kata bidalan, yang buta datang bertongkat, yang capek datang berensot, yang kurap membawa buluh,yang pekak membakar meriam. 



Bagi yang sempurna, patutnya bersyukur. Sebab yang normal, bila terdengar begitu, sudah pasti terkejut. Tandanya alat pendengaran  masih sempurna. Dapat dengar ayat-ayat Allah. Dapat dengar nasihat dan teguran. Dapat hayati keindahan kicauan unggas dan hidupan ciptaan Allah. Tapi yang biasanya, bila terkejut, pastinya melatah tak tentu hal. Hilang kiblat bicara, hilang sopan bahasa. Habis dicarutnya. Yang tak patut disebut, lancar dicakap, yang tak patut diucap, terus diluah. Bila terkejut ada yang cakap "terkejut beruk". Bayangkan, beruk yang terkejut! Bagaimana rupanya ya? 



Entah-entah, boleh jadi, beruk tak terkejut, tapi kesan sampingan orang yang mendengar lebih teruk daripada beruk. Beruk juga yang jadi mangsa! Mana tidaknya, bunyi yang berdentum menyebabkan perasaan bagai dihentak, jantung bergegar, dan nafas bagai terhenti. Melampaunya!



Hakikatnya bila mendengar durian yang jatuh ke tanah, ertinya, satu rezeki kurniaan Allah sudah sampai. Segera dapatkannya. Memandangkan kini musim durian, pasaran durian yang dilihat sepi dan diniagakan sedikit lembab akibat lebihan pengeluaran durian, telah menyebabkan harga durian jatuh mendadak. Membuatkan para pemilik durian berasa semangat untuk mengutip durian itu jadi pudar. 



Beza bukan? Dentuman yang kuat dan mengejutkan itu rezeki di sini. Kalau letupan senapang di kebun-kebun itu tak lain tujuannya adalah untuk mengahalau musuh. Tapi lain ertinya di Gaza sana. Bunyi letup senapang, ledakan meriam itu ertinya berhadapan dengan musuh. Yang diperangi adalah musuh-musuh Tuhan. Bagi mereka, barangkali sudah masak benar.  Barangkali mereka sudah bersedia mengahadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Merelakan setiap nyawa yang lahir dan tumbuh membesar di tanah itu akan membesar kemudiannya mengangkat panji-panji mempertahankan tanah air, mempertahankan kesucian Islam. 



Refleksi: Beranikah kita? Kalau durian yang jatuh pun dah sibuk terkejut. Dengar bunyi senapang terus melatah. Mampu jadi seperti mereka? Ya Allah kurniakan kekuatan kepada saudara-saudara kami di Palestine. 

Saturday, October 6, 2012

UNTUK TERUS BERKUASA!

Kalau baca Kisah Auj bin Unuq, manusia yang hidup sampai 4500 tahun. Manusia yang besar. Dikurniakan kekuatan. Dikatakan Auj bin Unuq memiliki ketinggia tubuh badan ketika berdiri sama seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan negeri pada zaman nabi Nuh a.s. MasyaAllah!
Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya.
Kisah Auj bin Unuq, yang mahu memebinasakan tentera nabi Musa. Caranya dengan menghempaskan gunung ke atas mereka. Datanglah bantuan Allah, terbangnya burung hud-hud yang membawa berlian. Dengan izin Allah, berlian yang diletakkan pada gunung,kemudian menembusi gunung lalu sampai ke tengkuknya. Akhirnya, Auj bin Unuq mati.
Ini cerita yang saya dengar dalam slot Alam Ria Si Kecil dalam radio Ikim.fm tengah hari tadi. Slot cerita-cerita yang sarat dengan pengajaran.
Mesej yang disampaikan adalah, mati datang tak kira siapa. Meskipun kuat, gagah, kaya. Mati tetap akan datang. Waktu itu barulah sedar hakikat yang sebenarnya!

Orang yang berkuasa?
Orang yang berkuasa, sampai bila kekuasaannya akan berterusan dan berkekalan?. Mampukah penguasa menjamin kedudukannya akan terus selamat, terus memerintah? Menggunakan segenap kuasa yang dimiliki dengan melaburkan wang ringgit serta harta yang dijadikan modal menarik perhatian. Sedarlah, segalanya akan menikam kembali. Sama seperti kisah Auj bin Unuq, kekuasaan, kekuatan yang dimiki adalah pinjaman. Sifat samseng dan mahu menghancurkan orang lain akhirnya dibalas oleh Allah. Bagaimana? Melalui perantaranya, burung hud-hud yang kecil.

Kalau dibandingkan saiz burung hud-hud dengan saiz Auj bin Unuq yang sukar digambarkan, kerana melalui analogi yang dinyatakan, lututnya tidak tenggelam sewaktu bah besar zaman Nabi Nuh. Kita sendiri tidak berpeluang melihat keadaan tersebut, cuma tahu Auj bin Unuq makhluk yang sangat besar!
Tetapi Allah mengutuskan tenteranNya, burung hud-hud untuk membinasakan Auj. Hebatnya Allah. Sama seperti kisah Namrud yang dibinasakan Allah, hanya dengan nyamuk!

Hari ini kita berhadapan dengan yang orang 'kuat'. Bila ringgit digunakan sebagai senjata  dalam merealisasikan impian dan cita-cita iaitu UNTUK TERUS BERKUASA!

Ambil ibrah kisah ini, kerana tentera kecil lagi kerdil ini akan menyusun langkah, memacu tenaga. Dengan izin Allah, tentera kecil hari ini akan bangkit! Ayuh orang muda!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...