Sunday, December 12, 2010

Pentas Jalanan


Di atas pentas itu dia tersenyum. Bicara bertemankan bangku, dan mainan kata-kata, penuh mengasyikkan. Gayanya membuatkan ramai yang terpesona. Ramai yang tersenyum. Ramai yang hilang gusar, gundah gulana. Semuanya terhibur. Baik tua atau muda semua gembira. Hilai tawa, pinggiran jalan. 

Lawaknya penuh isi. Adakala hiburan kosong. Namun ramai tetap menerimanya. Dia penghibur. Meski pentas jalanan di pekan kecil itu, namanya tetap tersohor. Kemunculannya jadi penantian. Siapa sahaja yang ke pekan kecil itu, pasti akan singgah. Hampir semua melemparkan senyuman. Itu kepuasan baginya. Disamping mencari rezeki, kepuasan sebagai penghibur itu yang dicari. Bukan dia sahaja yang jadi penghibur jalanan. Ada juga yang memtik gitar. Sesekali kedengaran lagu keroncong yang mendamaikan. Halwa telenga. Hiburan jalanan. Tapi, personanya penuh keasyikan. Dia langsung tidak pernah menghampakan. Pastinya jiwa-jiwa hampa nan lara merupakan penontonnya. 

Badut Jalanan. Ramai yang mengggelarnya begitu. Biarlah apa yang nak dikata. Baginya tiada apa kesalahan yang dilakukan. Tidak pernah diusik harta orang, tidak pernah dirampas milik sesiapa. Cuma ditagih ihsan. Mungkin atas bakat yang ada, serta nasib yang menyebelahinya, dia terus mencuba. Usaha dan ikhtiar untuk mencuba, pulangannya agak bergaya. Dia dapat hidup sederhana. Mewah, belum rezeki buatnya.

Sebalik senyuman, penuh keriangan,  yang membuatkan ramai yang terpesona, jiwanya derita. Mengapa? Adakala dia terfikir, hidupnya cuma membuatkan orang lain bahagia. Kebahagiaan itu bukan untuknya. Hidupnya hanyalah untuk membahagiakan. Mungkin itu yang menjadikannya tertekan. Namun, kesedihan itu disorong sejau-jauhnya tatkala di atas pentas. Biar tiada siapa yang mengetahui. Cukuplah derita itu baginya.

Tiada bahagia? Dia cuba bertanya diri sendiri disamping mengenang derita. Sekian hidupnya sehingga ke saat itu tiada pernah rasa kebahgiaan sebenar yang dapat dirasa. Tiada pernah dia tersenyum seorang diri kepuasan. Beza senyum tawa atas pentas sana. Pentas itu, pentas sandiwara. Pentas hidupnya bukan begitu. Disingkap segenap ranjau hidupnya tiada pernah gembira. Malang  nasibmu Badut Jalanan.

Hidup tanpa pembelaan. Dia tak kenal kedua orang tuanya. Hidupnya terbiar. Keperluannya tiada sempurna. Usah tanya seolah mahupun madrasah. Tidak pernah kakinya ke sana. Hidup dengan datuk yang punya seribu kesusahan. Di kampung kecil yang jauh dari pekan. Nun di  hulu sana. Mujur selalu dia ke surau. Di situ dia belajar mengaji. Kenal apa itu huruf alif, ba, ta sampai huruf ya. Belajar sembahyang. Dari niat, takbir sampai salam. Rukun yang patut. Datuk juga ada memberitahunya sedikit. Cukup buat panduan hidup. Moga tidak sesat. 

Derita kian bertambah setelah orang tua itu tiada lagi. Tiada tempat bergantung. Tanah sekangkang kera. Nyiur sepohon. Itu sahaja hartanya. Harta ibu atau bapa, langsung tiada. Pusakanya, cuma derita. Hidup mengharap belas ehsan. Dari rumah ke rumah dia menjengah. Ditanya sama ada punya kerja untuk diusaha. Sanggup saha dilakukan. Biarlah mencabut rumput di halaman, mengambil air di perigi lalu dikandar langsung ke rumah, mahupun segalanya, dia tetap berusaha. Baginya rezeki yang halal itu kewajipan. Haram diambil hak orang lain. Cukup itu sahaja yang yang dipegangnya. 

Sakit demam tiada siapa yang hirau. Dia membawa diri pergi ke pekan. Di situ dia kenal pentas yang kini tempatnya dia berdiri. Syukur, kehidupannya berubah. Namun bukan segalanya. Pernah bahagia itu hampir singgah. Namun, kebahagian itu palsu sebenarnya. Terus dia melupakan segalanya.

Siapa sangka kebahagiaan yang hampir singgah itu cinta. Nama yang hampir memenangi hatinya. Tatkala dia sudah dikenali ramai. Pasti ada yang memujanya. Menjadikannya sebagai idola. Noorzubaidah namanya. Noorzubaidah yang mendekatinya. Membuatkan dia terpesona. Manakan hati tak terpaut, manakan jiwa tak sangkut. Sinar wajah yang penuh pesona, lirik mata yang memukau membuatkan dia keluh kesah. Pernah dulu, selesai sandiwara di atas pentas jalann, menghiburkan penonton yang berkunjung, Noorzubaidah datang hampir. Mengucapkan salam perkenalan, mengutuskan rasa kagum padanya.Pada mula dia sekadar senyum, mengucapkan penghargaan. Namun segalanya berubah menghadirkan cinta yang berbuah.

Tiap minggu, tatkala dia di pentas itu, pasti dicari wajah Nooraubaidah. Wajah itu seakan-akan cahaya buatnya. Tak mampu dipandang, mahu ditentang mata, hatinya gugup. Mahu saja tercabut kepala lutut. Dari situ, mereka kerap berjumpa. Membawa bibit cinta, mengalirkan rasa sayang, menzahirkan kata, melafazkan apa yang ingin diucap.

Perasaan itu lantas disentap. Noorzubaidah bukan selayaknya untuknya, dan dia bukan layak miliki Noorzubaidah. Siapa dia di mata Noorzubaidah?... Norzubaidah, dari keluarga berada, bapanya punya gedung besar, hartawan terkemuka. Ibunya juga kalangan orang berharta. Dia sekadar penghibur jalanan. Mana layak puteri bertemankan insan hina sepertinya. 

Bergenang air mata mengenangkan nasib. Bahagia? Biarlah kekal jadi sandiwara. Di atas pentas itu bahagia buatnya. Biarlah terus menangis dalam tawa. Mungkin, dia hadir untuk membahagiakan dan bukan merasa apa itu kebahagiaan. Bagi Noorzubaidah, biarlah dia kekal sebagai insan yang sekadar singgah di mata, kerdip mata, berlalu pergi. Hadir tatkala celik, mati di dalam hati.

Tuesday, December 7, 2010

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1432H

Hijrah Satu Perjuangan
Hadith : 
Dari Abdullah bin Mas’ud, katanya:”Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu’minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu’min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu’min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya.” 
  
(Muslim) 


  
  Huraian
Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad saw, seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam. Ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud :"Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 218) Sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.."(an-Nisaa:100) Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman sama sekali tidak merasa takut atau gementar apabila menghadapi musuh. Semuanya adalah kerana keyakinan pada Allah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang benar seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya, 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah: 40)

sumber http://www.islam.gov.my/portal/e-hadith.php

Friday, December 3, 2010

Kepada Anak Derhaka: Lari Dari Rumah.


Dasar tak kenang budi. Kurang ajar. Tak hormat. Pentingkan diri. Ikutkan nafsu. Jiwa muda konon…Darah muda katakan… Bukan itu caranya. Bukan itu langkahnya. Silap sendiri, protes orang tua. Orang sayangkan dia , sedangkan dia dasar tidak sedar diuntung. Pendek akal, ambil keputusan lari. Lari dari rumah.

Hoi… anak tak sedar diri! Kalau engkau yang membaca, rasakanlah! Kalau engkau jiwa yang memberontak fikirkanlah. Tak mahu berkias cakap, berlapik kata sebab, kias cakap, lapik kata untuk orang yang mahu berfikir panjang. Orang Melayu berkias kata sebab memang Melayu itu beradab lagi beradat, bertunjangkan syariat. Sedang kau… adab biadap, adat tak lekat, syariat kau sekat. Kau memang kurang ajar. Dihantar kau ke sekolah biar tahu ilmu. Tahu itu tulis baca. Tahu apa sifir kira. Tapi kau. Kecil kau ditatang, besar kau menentang. Dasar tak sedar diuntung. 

Besar kepala, kepala batu…itu buat kau anak kurang ajar! Tak tahu mengapa, semakin hari banyak cerita yang tak manis didengar. Ya, berita anak lari dari rumah. Cukup memeningkan kepala. Tidakkah kau berfikir betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu yang melahirkan engkau. Titik peluh bapa yang memberi sesuap nasi kepada engkau agar tidak terus berlapar, sedang kau derhaka. Setiap langkah meninggalkan rumah bukti nafsu amarahmu yang memuncak. 

Tepu sudah telinga mendengar alasan, bicara lari dari rumah kerana kurang kasih sayang. Kurang bimbingan agama. Masalah keluarga serta kesempitan hidup. Tapi kali ini tumpukan pada diri anak remaja itu sendiri. Waktu ini semangat yang penuh kobar diiring nafsu yang memuncak memungkinkan segalanya terjadi. Memungkinkan kebarangkalian sesuatu yang buruk terjadi. Siapa sangka. Anak muda sukar dijangka. Hati yang keras. Dibisik lagi hasutan syaitan untuk terus derhaka.

Selagi terus derhaka, takkan dihidu olehmu wangian syurga. Tiada pintu yang terbuka untukmu masuk ke dalamnya. Sebab engkau derhaka. Engkau membiarkan dirimu terus leka dengan tuntutan diri yang belum pasti. Sedang hati kedua orang tuamu memikirkan akan untung nasibmu. Punya peluang bahagia atau celaka. Egomu memuncak menggila. Mereka punya pengalaman seribu kali darimu. Sedangkan, dirimu baru sahaja mengenal dunia. Belasan tahun menjadi manusia, belum tentu berjiwa manusia.Mereka bimbang celaka menantimu di hadapan sana. Benar, malang tidak berbau. Tapi, kalau tiket malang yang kau tempah dengan langkah amarah pasti bala bencana menimpa.

Bimbang pulangmu semula ke rumah membawa celaka. Sesalmu pasti menggila. Terasa diri tiada maruah. Yang dara hilang daranya, mengusung perut membusung. Yang teruna tiada berguna, terhegeh-hegeh jadi penagih. Cukuplah…Moga kau sedar! 

Tuesday, November 30, 2010

Aku Lelaki



“Kau mesti fikir masak-masak Li, ini semua masa depan kau juga”, Ramana bersungguh-sungguh memujuk sahabatnya.
“Kalau aku tak mahu, tak mahulah”.
“Sampai bila?”
“Sampai bila-bila”.
“Gila. Masa depan sendiri, orang lain yang nak kena paksa. Ni masa depan kau juga. Orang lain sanggup, kau…”
“Kau ape?”Jerkah Li.
“Pengecut! Ha ha ha”Derai tawa Ramana menggamatkan perbualan mereka.
Li sugul. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dia asyik memikirkan nasibnya. Rakan-rakannya yang lain semuanya sudah. Sedang dia yang belum. Hari yang berlalu membuatkan dia makin terhimpit. Perasaannya bercampur baur. Benar cakap sahabatnya, Ramana. Meskipun dia tak menempuh, tapi ada benar cakapnya.
“Kau bolehlah, tak kena macam kami”, bidas Li.
“Dah memang nasib kau” Ramana membalas.
“Dah memang nasib kau, dah memang nasib kau, dah memang nasib kau…”. Terngiang-ngiang ayat tersebut sepanjang langkah disusun menuju ke rumah. 
Dalam usia yang sebegitu muda. Sanggup aku korbankan. Gila, mereka tak fikir semuanya. Aku yang menanggung semuanya.
“Orang lain boleh, kau tak boleh pula. Jangan mengada-ngada. Keputusan ayah muktamad. Cuti ni ayah nak semuanya selesai.” tegas. 
Siapa lagi kalau bukan ayah. Semua anak-anak ayah tak berani membantah. Baik Kak Long, Kak Ngah.Adik-adik apatah lagi. Semuanya menikus. Ayah memang garang. Itu tanggapan Li. Pernah dilibasnya budak Li sampai melolong-lolong. Sebab, Li buat bising dekat masjid semasa khatib membaca khutbah. Trauma, banyak lagi sebab musababnya. Tapi kalau dengan orang lain, ayah cukup baik. 
Li termenung sendirian. Berseorangan di muka pintu. Dilihatnya sekeliling. Sunyi. Ke mana yang lain?
“Li!”
Suara emak memanggilnya. “Cepat-cepat siap. Kita ke hospital.”
Kaget. Di dalam mindanya terbayang hospital yang tidak jauh di Bandar. Terbayang simpang jalan untuk masuk ke hospital. Lamunannya jadi haru bila terbayangkan wajah-wajah penuh sesak di hadapan unit kecemasan dan trauma. Sesekali terimbas, rumah mayat di bahagian belakang hospital. Igauan itu terhenti apabila beliau terbayangkan bilik bedah. Kenapa bilik bedah?
Kedengaran bunyi kereta Proton Iswara 1.35 berwarna putih. Ayah. 
“Cepat Li, mak kau mana?”
“Ke mana yah?”
Tiada jawapan sebaliknya arahan.
“Bagitahu mak, cepat sikit kita ke hospital, emergency!”
Emak lekas-lekas menutup pintu. Melangkah pergi meninggalkan rumah. Kak Long, kak Ngah dan dua adiknya semua di hospital, itu sahaja pesan ayah. Mereka tunggu di sana. Sepanjang perjalanan, semuanya diam. Li jadi bingung. Seolah-olah malang sedang berlaku atau menunggu. Apa celaka menimpanya?Apa bala pula?
 Tepat sepertimanaapa yang dibayangnya. Tapi mengapa kita di bilik bedah?
Semua menanti di sana. Raut wajah biasa-biasa sahaja. Seperti tiada apa-apa.
“Ahmad Fadli bin Abdul Rahim”, jurarawat memanggil.
Li menggigil. Namanya dipanggil. Kini dia faham. Segalanya berakhir. Ayah mengotakan janji. Manakala Li…
Skrin matanya memancar fantasi gila. Sepanjang langkah menuju masuk bilik bedah yang gelap gelita, tergambar imaginasi yang tidak munasabah. Pisau belati, gunting, segala macam alat untuk memotong. Ada yang kata guna pemotong kayu, ketam kayu pun ada. Sebab nak bagi cepat siap. Sepintas lalu Li teringat kata-kata Abang Sidi, “Li, nanti sebelum potong tu bagitahu pada doktor, yang kau nak jadi lelaki. Inilah masanya, kau akan kekal jadi lelaki atau perempuan. Kalau potong habis, tukar namalah lepas ni. Fadli jadi Fadilah. Tak pun jadi Faridah, Fa, Fa... macam-macam Fa yang boleh jadi. Hahahahaha”
Tergelak besar Abang Sidi waktu itu. Li nekad, mesti mengekalkan kelakiannya. Aku lelaki. Inilah masanya, jati diri seorang budak lelaki menuju alam dewasa. Di depannya terbayang wajah-wajah rakan yang acap kali mnegusiknya. Lebih-lebih lagi Ramana. Aku sahut cabaran kau!
“Doktor, saya nak jadi lelaki. Jangan potong habis ya”, pinta Li.
Tersenyum Dr. Zainal memandang anak kecil itu.
“Ish, tak penah orang masuk jawi jadi perempuan”, jelas Dr. Zainal.
Li merebahkan badan. Beberapa mata tertumpu ke arahnya. Li diam. Dalam dadanya penuh debar. Tiada apa mampu diucap. Sekadar mengucap, disusul Surah Al-Fatihah, tiga qul dan ayat kursiy. Debarannya membuatkan ayat yang dibaca bersimpang siur jadinya.  
 Saaaaakiiiiiittt!!!!!
Jeritan yang memecah kesunyian bilik bedah. Sayup-sayup suara Li kedengaran. Ayah menggeleng kepala. Maknya tersenyum. Anak-anak ayah yang lain cuba menahan tawa. 
Li keluar. Melangkah kengkang. Menahan pedih. Tangannya memegang hujung kain. Semua tersenyum. Li masih lagi Ahmad Fadli bin Abdul Rahim. Seorang lelaki!
 


Saturday, November 6, 2010

PERHATIAN BUAT MUSLIMAT!

Hari Ini Untuk Esok dan Seterusnya

Untuk mendambakan impian hari esok menjadi kenyataan, kita perlukan hari ini untuk merangkanya. Melihat semalam sebagai sejarah, dan melaksanakannya dengan memandang 1000 tahun ke hadapan!


Impian bukan angan-angan kosong. Impian juga cita-cita. Hal inilah yang mendorong minda bervisi dan bermisi untuk memastikan sesuatu hasrat tercapai. Mana mungkin anak muda hari ini tidak punya sebarang keinginan untuk mendapat sesuatu. Jika tiada, maka sesuatu kerugian yang teramat besar kerana gagal merancang matlamat kehidupan. Hari ini kita yang akan mencorakkan matlamat dan gagasan hari-hari yang akan mendatang. Seorang arkitek pastinya melukis sebuah pelan bangunan yang gah berdiri teguh. Jurutera adalah pelaksana dan pekerja akan saling berganding bahu menjayakannya.

Di mana posisi kita? Baik anda mahupun saya kita pasti akan memenuhi posisi-posisi tersebut. Mahu tidak mahu.Mungkin arkitek atau jurutera. Tapi yang pasti ramai akan menjadi pekerja.

Kita ke arah membina negara yang kini sedang membangun. Hasrat kita melihat negara ini akan menjadi maju bukan sahaja dari aspek fizikal iaitu pembangunan lahiriah, tetapi membangunkan mental dan pemikiran masyarakat mendatang. Pendek kata kita mendidik jiwa dan minda. Kejayaan sesutu tamadun bukan sahaja terletak pada pembangunan lahirah semata-mata. Tetapi aspek pembangunan mentaliti dan rohani perlu dijayakan bersama. Sejarawan barat pastinya mengutamakan pembangunan lahiriah sebagai matlamat ketamadunan. Meskipun ada yang bertentangan pendapat dengannya. Sebagai komuniti Islam, kita perlu mementingkan aspek pembangunan mentaliti dan rohani dalam usaha membangunkan tamadun hari ini.

Ambil pengajaran kaum terdahulu. Mereka bejaya membangunkan satu empayar hebat yang berteraskan kecanggihan teknologi. Buktinya kesan monumen dan artifak yang bisa dilihat sehingga hari ini. Akan tetapi, kegagalan membangunkan pendidikan rohani yang membentuk masyarakat yang harmoni mental dan spiritual mematikan tamadun tersebut. Mereka takjub dan ingkar. Enggan patuh dengan perintah Yang Esa balasannya binasa.

Hari ini, skripnya seolah-olah berulang kembali. Kebejatan sosial melanda umat hari ini. Tidak pasti dialognya, akan tetapi sudah dapat dilihat penceritaannya berulang kembali. Memungkinkan episod baru sebuah filem kehancuran umat. Sedangkan kita hari ini berusaha untuk membina masa depan yang baik. Tetapi usaha tersebut punyai gangguan. Membuatkan binaan kita goyah.

Apapun watak yang dimainkan, pastikan kita mampu membina kesatuan ummah sejagat untuk hari esok dan bakal berdiri kukuh selagi mana mampu bertahan. InsyaAllah, usaha murni ini akan membuahkan hasil.

Andai anda yang menjadi arkitek, pastikan pelan adalah yang terbaik. Sekiranya andalah jurutera, pastikan binaan tersebut menepati piawai dan selamat. Yang pasti, kitalah pekerja yang akan menggerakkannya. Memastikan struktur tapak berdiri kukuh. Merelakan binaan kesatuan ummah berpaksi mentauhidkan Yang Esa. Maka pastinya visi kita bakal tercapai, dengan memandang jauh, jauh ke hadapan!


Friday, November 5, 2010

Dia Memang Laju


Kami bergegas ke tempat kejadian. Ramai orang berkerumun di situ. Suasana pagi di tepi tasik itu nyata tidak seperti hari-hari yang lain. Seperti sesutu kejadian yang tidak diingini berlaku. Seorang wanita menangis. Air mata membasahi pipi. Jernih air mata itu menggambarkan ranapnya hati seorang insan bergelar wanita. Sedang mata yang lain memandang sayu. Kami saling berpandangnan bertanyakan jawapan. Sinar mata bertanyakan seribu satu persoalan. Mengungkap makna yang tersirat.

Di seberang jalan sana berlaku kemalangan. Sebuah kereta terbabas. Teruk khabarnya. Mungkin ada nyawa yang terkorban. Atau jasad yang menanggung derita kesakitan . Bisik-bisik mereka di sekitar kawasan itu seolah-olah mengiyakan. Tapi tiada mangsa. Anggota polis sudah mengawal trafik. Kenderaan mula berderet memeuhi jalan. Nyata suasan pagi tidak seperti hari sebelumnya. Taman tempat orang berehat, bersenam seperti hari yang sebelumnya berubah wajah. Laluan kian sibuk. Ramai yang insaf melihat kejadian terbabit. Raut wajah penuh keinsafan terpancar. Namun, sinar taubat sirna lantas meninggalkan tempat kejadian. Kereta dipandu laju dan terus memecut.

Wanita yang menagis itu seolah-olah hilang pertimbanagn. Persoalan-demi persoalan bertanya dalam kotak pemikiran kami. Gaya pemikiran diubah menjadi lebih kreatif dan kritis. Ada kalanya kita perlu membantu. Pasti ada penyelesaian . Perlukah Moel Polya digunakan. Ya, itulah langkahnya. Model Polya.

Model Polya bermula dengan memahami masalah yang berlaku. Lantas, kami beranikan diri. Faiz Z, Arham, Faris dan aku. 

"Kenapa kak?" Tanya Arham.

"Anak akak hilang...", sedu sedan mengiringi jawapan.

Manakan tidak berkocak hati seorang ibu, mengenangkan anak yang hilang. Sembilan bulan sepuluh hari, peitnya seorang ibu menanggung anak. Dibawa ke mana sahaja, tetapi hari ini segalanya berubah. Anak yang ditatang hilang dari pandangan mata. Bergenang air mata Faiz Z mengenangkan apa yang menimpa wanita tersebut.

Tumpuan mata tertumpu ke arah lokasi kejadian kemalangan. Masing-masing cuba mengelurakan inferens. Meramal apa yang berlaku sekaligus merangka hipotesis. Mungkin ada yang boleh dipersujukan.

Perlanggaran kereta yang terbabas itu, memungkinkan anak wanita ini tercampak jauh. Mungkin kanak-kanak tersebut tercampak melepasi tingkap kereta dan hilang. Begitulah teori Faris. Faris memang arif perkara menjangkakan teori. Namun, jarang sekali yang tepat. Aku hampir bersetuju. Tapi mustahil anaknya akan tercampak jauh sehingga hilang dari pandangan mata. 

"Eh, Apih...mana tahu betul.." Arham bersetuju dengan pendapat Faris.

Aku diam. Faiz Z masih lagi melayan perasaan. Meletakkan dirinya dalam situasi wanita itu. Mana mungkin dapat dirasai sama seperti apa yang dirasakan. Faiz Z seorang lelaki. 

Baiklah. Mungkin ada benarnya. Seperti teori Repulsion atau sentakan. Seperti selaras senapang. Letupan akan memuntahkan peluru dengan laju menyebabkan momentum yang kuat. Senapang akan tersentak ke belakang. Dalam hal ini, perlanggaran kereta akan membuatkan sentakan dan menyebakan kanak-kanak tersebut tercampak.

Macam tak logik.

"Kak, anak kak berapa umurnya?", tanyaku mencari kepastian dan cuba mencari pembolehubah yang bersesuaian. 

"8 tahun", ringkas jawapnya.

"Fizikalnya bagaimana?" soalanku seolah-olah ibarat seorang penyiasat persendirian yang dibayar mengikut tugasan.

" Badannya agak besar, lelaki, pakai cermin mata, kulitnya cerah",beritahu wanita itu. Percakapannya menggambarkan bunga-bunga harapan yang mekar. Mengaharapkan kembalinya pertemuan. 

Dari fizikalnya pasti anak tersebut cukup disayangi oleh wanita itu. Berdasarkan teori Abraham Maslow, mengikut Hieraki keperluan Maslow, mungkin anak tersebut telah dipenuhi dengan keperluan fisiologi yang cukup, seterusnya meningkat kepada kepada keselamatan dan kasih sayang. Tapi hari ini, anak tersebut hilang. Jadi tak sempurna Hieraki tersebut.

Mana mungkin badan yang agak besar boleh tercampak jauh dari kereta. Kemusykilan membelenggu fikiranku.  

"Kak memang laju ke tadi?"soal Arham.

" Ha ah, nak cepat. Banyak yang perlu diselesaikan. Biasanya ayahnya ada tapi hari ini cuma kami berdua".

"Dia ni memang laju, saya  nampak tadi", tambah seorang lelaki yang berada hampir di situ.

Kami menggeleng-gelengkan kepala. 

"Mama, boboy kat sini", Tiba-tiba terdengar suara dari belakang.

Seorang budak gemuk berlari tercungap-cungap sambil memegang botol air. Wanita tersebut lantas memeluk kanak-kanak itu lalu menciumnya. 

Kami kehairanan. 

"Dia memang laju, sampai tertinggal anaknya masa joging. Nak kejar apa ntah", lelaki itu menambah lagi.

Cepat-cepat Faiz Z mengesat air mata yang bergenang. Berubah air wajahnya, rupa-rupanya anak tersebut tertinggal. Ibunya terlalu seronok berlari.Kereta yang terbabas itu, tiada kaitan.Tiada inferens!

Dia memang laju... 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...