Sunday, December 12, 2010

Pentas Jalanan


Di atas pentas itu dia tersenyum. Bicara bertemankan bangku, dan mainan kata-kata, penuh mengasyikkan. Gayanya membuatkan ramai yang terpesona. Ramai yang tersenyum. Ramai yang hilang gusar, gundah gulana. Semuanya terhibur. Baik tua atau muda semua gembira. Hilai tawa, pinggiran jalan. 

Lawaknya penuh isi. Adakala hiburan kosong. Namun ramai tetap menerimanya. Dia penghibur. Meski pentas jalanan di pekan kecil itu, namanya tetap tersohor. Kemunculannya jadi penantian. Siapa sahaja yang ke pekan kecil itu, pasti akan singgah. Hampir semua melemparkan senyuman. Itu kepuasan baginya. Disamping mencari rezeki, kepuasan sebagai penghibur itu yang dicari. Bukan dia sahaja yang jadi penghibur jalanan. Ada juga yang memtik gitar. Sesekali kedengaran lagu keroncong yang mendamaikan. Halwa telenga. Hiburan jalanan. Tapi, personanya penuh keasyikan. Dia langsung tidak pernah menghampakan. Pastinya jiwa-jiwa hampa nan lara merupakan penontonnya. 

Badut Jalanan. Ramai yang mengggelarnya begitu. Biarlah apa yang nak dikata. Baginya tiada apa kesalahan yang dilakukan. Tidak pernah diusik harta orang, tidak pernah dirampas milik sesiapa. Cuma ditagih ihsan. Mungkin atas bakat yang ada, serta nasib yang menyebelahinya, dia terus mencuba. Usaha dan ikhtiar untuk mencuba, pulangannya agak bergaya. Dia dapat hidup sederhana. Mewah, belum rezeki buatnya.

Sebalik senyuman, penuh keriangan,  yang membuatkan ramai yang terpesona, jiwanya derita. Mengapa? Adakala dia terfikir, hidupnya cuma membuatkan orang lain bahagia. Kebahagiaan itu bukan untuknya. Hidupnya hanyalah untuk membahagiakan. Mungkin itu yang menjadikannya tertekan. Namun, kesedihan itu disorong sejau-jauhnya tatkala di atas pentas. Biar tiada siapa yang mengetahui. Cukuplah derita itu baginya.

Tiada bahagia? Dia cuba bertanya diri sendiri disamping mengenang derita. Sekian hidupnya sehingga ke saat itu tiada pernah rasa kebahgiaan sebenar yang dapat dirasa. Tiada pernah dia tersenyum seorang diri kepuasan. Beza senyum tawa atas pentas sana. Pentas itu, pentas sandiwara. Pentas hidupnya bukan begitu. Disingkap segenap ranjau hidupnya tiada pernah gembira. Malang  nasibmu Badut Jalanan.

Hidup tanpa pembelaan. Dia tak kenal kedua orang tuanya. Hidupnya terbiar. Keperluannya tiada sempurna. Usah tanya seolah mahupun madrasah. Tidak pernah kakinya ke sana. Hidup dengan datuk yang punya seribu kesusahan. Di kampung kecil yang jauh dari pekan. Nun di  hulu sana. Mujur selalu dia ke surau. Di situ dia belajar mengaji. Kenal apa itu huruf alif, ba, ta sampai huruf ya. Belajar sembahyang. Dari niat, takbir sampai salam. Rukun yang patut. Datuk juga ada memberitahunya sedikit. Cukup buat panduan hidup. Moga tidak sesat. 

Derita kian bertambah setelah orang tua itu tiada lagi. Tiada tempat bergantung. Tanah sekangkang kera. Nyiur sepohon. Itu sahaja hartanya. Harta ibu atau bapa, langsung tiada. Pusakanya, cuma derita. Hidup mengharap belas ehsan. Dari rumah ke rumah dia menjengah. Ditanya sama ada punya kerja untuk diusaha. Sanggup saha dilakukan. Biarlah mencabut rumput di halaman, mengambil air di perigi lalu dikandar langsung ke rumah, mahupun segalanya, dia tetap berusaha. Baginya rezeki yang halal itu kewajipan. Haram diambil hak orang lain. Cukup itu sahaja yang yang dipegangnya. 

Sakit demam tiada siapa yang hirau. Dia membawa diri pergi ke pekan. Di situ dia kenal pentas yang kini tempatnya dia berdiri. Syukur, kehidupannya berubah. Namun bukan segalanya. Pernah bahagia itu hampir singgah. Namun, kebahagian itu palsu sebenarnya. Terus dia melupakan segalanya.

Siapa sangka kebahagiaan yang hampir singgah itu cinta. Nama yang hampir memenangi hatinya. Tatkala dia sudah dikenali ramai. Pasti ada yang memujanya. Menjadikannya sebagai idola. Noorzubaidah namanya. Noorzubaidah yang mendekatinya. Membuatkan dia terpesona. Manakan hati tak terpaut, manakan jiwa tak sangkut. Sinar wajah yang penuh pesona, lirik mata yang memukau membuatkan dia keluh kesah. Pernah dulu, selesai sandiwara di atas pentas jalann, menghiburkan penonton yang berkunjung, Noorzubaidah datang hampir. Mengucapkan salam perkenalan, mengutuskan rasa kagum padanya.Pada mula dia sekadar senyum, mengucapkan penghargaan. Namun segalanya berubah menghadirkan cinta yang berbuah.

Tiap minggu, tatkala dia di pentas itu, pasti dicari wajah Nooraubaidah. Wajah itu seakan-akan cahaya buatnya. Tak mampu dipandang, mahu ditentang mata, hatinya gugup. Mahu saja tercabut kepala lutut. Dari situ, mereka kerap berjumpa. Membawa bibit cinta, mengalirkan rasa sayang, menzahirkan kata, melafazkan apa yang ingin diucap.

Perasaan itu lantas disentap. Noorzubaidah bukan selayaknya untuknya, dan dia bukan layak miliki Noorzubaidah. Siapa dia di mata Noorzubaidah?... Norzubaidah, dari keluarga berada, bapanya punya gedung besar, hartawan terkemuka. Ibunya juga kalangan orang berharta. Dia sekadar penghibur jalanan. Mana layak puteri bertemankan insan hina sepertinya. 

Bergenang air mata mengenangkan nasib. Bahagia? Biarlah kekal jadi sandiwara. Di atas pentas itu bahagia buatnya. Biarlah terus menangis dalam tawa. Mungkin, dia hadir untuk membahagiakan dan bukan merasa apa itu kebahagiaan. Bagi Noorzubaidah, biarlah dia kekal sebagai insan yang sekadar singgah di mata, kerdip mata, berlalu pergi. Hadir tatkala celik, mati di dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...