Thursday, March 24, 2011

Analisis Regresi



Setelah menjalankan tugasan ini, kami memperoleh satu keputusan yang memuaskan. Hal ini kerana, tanggapan kami terhadap jumlah tidak hadir ke kuliah akan mempengaruhi purata mata gred bagi seseorang individu. Nyata, tanggapan kami adalah benar.

Berdasarkan kepada tugasan yang telah dijalankan, kami dapat membuat satu kesimpulan, bahawa jumlah jam tidak hadir ke kuliah yang tinggi akanmenyebabkan purata mata gred bagi seseorang pelajar jatuh. Hubungan ini dibuktikan melalui graf-graf yang telah disediakan.  

Menggunakan jumlah jam tidak hadir sebagai pemboleh ubah yang tidak bersandar dengan menghubungkait pemboleh ubah yang bersandar iaitu purata mata gred, kami dapat membuat satu kesimpulan, sekiranya seseorang pelajar tidak hadir ke kuliah dalam tempoh masa yang panjang ataupun kerap, prestasi pencapaian akademik pelajar tersebut akan merudum.

Sememangnya kehadiran ke kuliah bagi menjalani interaksi pembelajaran dan pengajaran akan memberi kesan terhadap penguasaan dan pemahaman individu. Pelajar menggunakan masa kuliah tersebut untuk memperoleh pengetahuan baru mereka. Malah mereka boleh berinteraksi dengan pensyarah bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka berkenaan topik atau subjek yang dipelajari.

Jelas di sini, sekiranya sesorang pelajar tidak memanfaatkan waktu yang diperuntukkan bagi interaksi kuliah, maka mereka akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menyebabkan mereka cenderung untuk tidak mendapat keputusan yang baik dalam ujian. Oleh itu, setiap pelajar mesti memastikan masa yang diperuntukkan bagi interaksi kuliah dihadiri dan member fokus yang secukupnya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

*Para responden merupakan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam.



Wednesday, March 23, 2011

Bayu yang bertiup...

bayu yang bertiup,menghembus alunan sayang,menyayi lagu rindu,mengutus irama kasih,mengungkap bait cinta dan cita...


bayu yang bertiup,
kirimkan padanya khabar isi hati ini,
yang sentiasa merindui,
yang dari jauh mengagumi,
yang kini menanti.

bayu yang bertiup,
menggoncang pohonan tepian pantai,
namun tegar dalam lambaian,
utuh dan teguh,
menagih harapan Pencipta,
pada cita dan cinta...  

Tuesday, March 22, 2011

Bahasa?

Baru-baru ini saya ke Bangunan Gunasama daerah(tempat pejabat-pejabat jabatan kerajaan persukutuan), kebetulan menguruskan sesuatu urusan. Sementara menunggu giliran nama dipanggil saya tertarik mendengar seorang wanita berbangsa Cina berbual-bual dengan anak kecilnya dalam bahasa Melayu. Mungkin ini bukan sesuatu yang menarik. Ibu ini sekadar memberikan arahan yang ringkas dan berbual dengan anaknya yang pada pemerhatian saya, mungkin anak kecil itu dalam lingkungan lima dan enam tahun sahaja. Anak-anak wanita tersebut juga berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Tidak menggunakan bahasa Ibunda seperti kebiasaannya. Meskipun ada terdapat slanga bahasa Melayu-Cina dalam pertuturan mereka, namun bagi saya inilah usaha yang sangat baik bagi ibu ini. Melihat kepentingan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, wanita ini menitik beratkan komunikasi bahasa Melayu terhadap anak-anak meraka. Mungkin wanita ini seorang guru. Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris. Hanya telahan saya. 

Sebelum itu, pernah saya berbincang dengan seorang guru Bahasa Tamil, di sebuah sekolah. Beliau amat sedih mengenangkan masalah pelajarnya yang gagal menguasai bahasa Melayu yang dipelajari. Meskipun beliau guru bahasa Tamil, namun demikian penekanan terhadap bahasa Melayu juga amat penting. Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Cukuplah arahan yang ringkas dan mudah. Sedikit sebanyak membantu anak-anak ini memahami bahasa Melayu dengan mudah.
Tak kurang juga orang Melayu kita. Boleh dikatakan lemah dalam menguasai bahasa ibunda dengan betul. Bagaimana mahu mempertingkat pemahaman dan menguasai bahasa lain. Seharusnya kita berusaha berusaha menguasai bahasa lain, setidak-tidaknya mampu berbahasa Inggeris. Itulah kita, sekadar cukup apa yang ada.
Beruntung juga kawan-kawan kita dari bangsa Cina dan India. Setidak-tidaknya dapat mempelajari dan berkomunikasi dalam tiga bahasa. Bahasa ibunda mereka, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sedang kita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat berbahasa Arab. Alhamdulillah, malah ada yang mampu menguasai bahasa Tamil dan Cina dengan baik. Sebagai contoh, Dato Seri Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak. Namun boleh saya katakan, jumlah orang Melayu yang sebegitu sangat-sangat sedikit. Seperti dialog P.Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit. Ya, sedikit-sedikit!
Bahasa merupakan suatu kuasa. Menguasai bahasa memberikan suatu aura yang cukup mendalam dan terkesan. Sungguh terkesan! Kenapa?
Orang yang mampu menguasai banyak bahasa bererti berjaya menjalinkan hubungan diplomatik, membina keserasian dan persefahaman seterusnya menghubungkan rangkaian yang luas dengan orang lain. Kerana dapat berkomunikasi dengan baik. 
Pernah sekali saya ke kedai, yang mana pemiliknya berbangsa India. Sengaja saya berkata, “ye paddi yer kanggie (apa khabar)?”. Lantas lelaki itu menjawab dan tersenyum. Panjang pula jawapannya. Seolah-olah ada juga sesuatu yang ingin ditanya kepada saya. Saya menggeleng kepala dan berkata,
 “ maaf pak cik, tu je yang saya tahu”. Gelak besar lelaki separuh usia itu. 
“Boleh belajar lagi, bagus-bagus”.
Ini cerita lama, dan sayang sekali saya pun tidak mempertingkatkatkan kemahiran itu. 
Dalam konteks warga Malaysia hari ini, bertutur dalam bahasa Melayu merupakan satu kemestian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi seterusnya memudahkan pertuturan dan komunikasi masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Sejarah juga membuktikan kuasa hebat bahasa Melayu sebagai Lingua Franca yang memudahkan pertuturan pedagang luar ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Orang luar belajar bahasa kita? Dan kita?
Kita belajar bahasa mereka , Kebaikan itu adalah untuk kita juga.
Saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain sedang saya juga bukanlah arif dalam menguasai bahasa ini sendiri. Hanya segelintir orang yang diberi kelebihan mempunyai kemahiran menguasai bahasa dengan cepat dan cekap. Cuma mengingatkan sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar dan terus belajar.
-Terima kasih awak, banyak tolong saya dalam bahasa Inggeris.Thank you, Muchasgrasias!.

Thursday, February 17, 2011

Bahan Manipulatif dan Pertembungan Idea


Pengajaran Matematik Dengan Bahan Manipulatif
Bahan manipulatif merupakan bahan yang boleh di aplikasikan kepada deria manusia. Terutama kanak-kanak sangat memerlukan bahan manipulatif sebagai bahan rangsangan dalam pembelajaran. Hal ini bertepatan dengan Konsep Perancah (Scaffolding) yang diperkenalkan oleh Lev Vygotsky iaitu guru berperanan membimbing pelajar supaya dapat mencapai sesuatu tahap.Bahan manipulatif membantu guru menggalakkan perkembangan kognitif pelajar kerana pelajar dapat merasai sendiri pengalaman terhadapa apa yang dipelajari. 
Bahan manipulatif juga merupakan satu contoh yang tepat sepertimana teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu dalam proses pemeringkatan pembelajaran. Pembelajaran dari peringkat konkrit akan mengukuhkan lagi ingatan dan kefahaman pelajar. Seterusnya mereka dapat menguasai pengetahuan tersebut dan mudah memahami perkara yang abstrak. Tumpuan ini amat jelas bagi pelajar yang berada dalam lingkungan 5 hingga 11 tahun. Hal ini kerana mereka berada dalam lingkungan operasi konkrit dan memerlukan contoh yang jelas bagi mengukuhkan kefahaman mereka

Penggunaan Bahan Manipulatif-Kalkulator

Memang tidak dapat dinafikan penggunaan kalkulator amat penting dalam pembelajaran Matematik hari ini. Berbeza dengan suasana pembelajaran terdahulu, pelajar kini diberi peluang untuk menggunakan kalkulator sebagai bahan bantu dalam mempercepatkan proses pengiraan mereka. Apa yang menjadi persoalan adalah, penggunaan kalkulator bagi pelajar yang berada di sekolah rendah. 
Seperti mana yang kita sedia maklum, pada peringkat umur 5 hingga 11 tahun adalah peringkat di mana pembelajaran secara konkrit dilakukan. Penggunaan kalkulator dilihat melangkau peringkat operasi konkrit iaitu pelajar menggunakan contoh yang jelas, ini sekaligus menjadikan pelajar malas untuk mengira secara manual.
Pertembungan pendapat ini menjadi isu apabila kebanyakan negara maju lebih menekankan aspek penyelasaian masalah dalam Matematik dan bukan pengiraan semata-mata. Jika kebergantungan Matematik itu hanya pada pengiraan, maka pelajar Malaysia akan ketinggalan jauh dalam bidang pendidikan Matematik, seterusnya negara akan terus ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berbanding aplikasi pendidikan di beberapa negara maju yang menekankan konsep penyelasaian masalah, mereka dapat maju ke hadapan dalam pendidikan Matematik kerana penggunaan kalkulator membantu pelajar mereka melangkau lebih jauh.


Wednesday, January 5, 2011

nota-nota dari an-nur

Aduh…. untuk membicarakannya aku bukanlah orang yang bisa menukilkan kisah ini. Mahupun menyusun bait-bait setiap kata menjadi satu hikayat. Lantaran tinta tiada dakwat, begitu diriku tanpa ilmu.

Dahagakan akan dia. Kosong jiwa. Mati hati. Jiwa tidak berguna. Cukup sekadar satu perkara. Aku mengingati aku. Kau mengingati aku. Kerana cuping telinga yang paling hampir dekat pada kepalaku.

Ingat akan dia. Mahu menitis air mata. Mana mungkin menidakkannya. Merinduinya? Pastinya kalau mendatangkan manfaat. 

Aduh… sungguh rindu. Damai melihat angin-angin hijau melayang di taman itu.Riwayat lagi, beburung hijau berterbangan. Syahdu. 
Apa lagi yang kau mahu? 
Cukuplah pemberianMu kepadaku

Apa lagi yang kau mahu? 
Cukuplah pemberianMu kepadaku

Apa lagi yang kau mahu?
Cukuplah pemberianMu kepadaku… Namun, jika diberi lagi peluang yang datang.

Hidupkan kembali aku. Matikan dengan syahid.
Hidupkan kembali aku. Matikan dengan syahid.
Hidupkan kembali aku. Matikan dengan syahid.

Aduh…Maniskah? Mahu diulang lagi. 

~Dedikasi buat sahabat, Teman selangkah menuju jannah. 
~Buat yang kusayang, mengertilah akan erti hidup ini. Biar kasihku padamu keranaNya, sampai…
sampai ke sana.

Sunday, December 26, 2010

Senarai 10 Orang Terkaya Malaysia.


1. Tan Sri Robert Kuok Hock Nien (Kerry Group/Kuok Group) RM42.76 bilion


2. Tan Sri T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) RM27 bilion


3. Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) RM11.92 bilion


4. Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) RM10.86 bilion


5. Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) RM10.38 bilion


6. Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) RM7.09 bilion


7. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (Al-Bukhary Foundation) RM6.01 bilion


8. Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) RM4.4 bilion


9. Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau) RM3.5 bilion

10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group) RM3.2 bilion

Wah..kaya, sungguh kaya!  Tahniah! Teruskan menyumbang untuk pendapatan negara. Paparan ini sekadar 10 yang terkaya di Malaysia. Mungkin sudah berlaku perubahan pada kedudukan ini. 

Sekali pandang, di antara 10 individu terkaya ini, hanya seorang sahaja yang Islam dan berbangsa Melayu. Alhamdulillah. Hakikatnya terdapat juga, individu muslim lain yang turut tersenarai dalam 40 individu terkaya di Malaysia. 

Satu persoalan yang timbul, orang Melayu Islam ramai di Malaysia, tapi tidak dapat menguasai ekonomi di negara sendiri. Mengapa kita tewas? Atau berfikir tak perlu kaya sangat?

Saya pernah mendengar satu kuliah agama yang disampaikan oleh seorang pendakwah terkenal, Al-Fadhil Ustaz Badlishah Alauddin, (Pegawai Agama Islam Daerah Temerloh,Pahang. Beliau sering menjadi panelis untuk al-Kulliyah). Tak salah kita kaya. Tak salah orang Islam menjadi kaya. Apa yang penting kekayaan itu memberi manfaat kepada sesama muslim. Sahabat nabi ramai yang kaya. Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Talhah dan ramai lagi. Sebab itu Islam cukup disegani.

Alhamdulillah, Tan Sri Mokhtar al-Bukhari tersenarai antara 10 individu ini. Muslim yang patut dicontohi. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Cukupbercakaran sesama agama dan bangsa. Kita perlukan lebih ramai individu seperti Tan Sri Mokhtar al-Bukhari. Bukan sekadar memenuhkan kedudukan individu terkaya, tetapi membantu sesama Muslim itu sendiri. 

Pernah saya terdengar, pesan Allahyarham Tun Razak, 5 siapa yang punya, mereka yang berkuasa dalam memerintah sesebuah negara

1. Siapa yang RAMAI
2. Siapa yang PANDAI
3. Siapa yang KAYA
4. Siapa yang MENDOMINASI POLITIK
5. Siapa yang MENDOMINASI KETENTERAAN

 

Thursday, December 23, 2010

saudagar TALI unta!


Ini bukan cerita P.Ramlee...Maaf~

Ini kisah Abdul Rahman bin Auf.  Kisah penghijrahannya ke Madinah. Menarik!

Setelah dipersaudarakan oleh Rasulullah dengan Saad Al-Ansari, ditawarkan oleh Saad pelbagai macamm perkara. Sebut sahaja. Rumah, harta, sehinggalah isteri sanggup diserahkan sekiranya saudaranya dari Makkah itu berkehendakkan akan ia. Abdul Rahman menolak. Tetapi apa yang diminta adalah sedikit modal untuk berniaga. Saad memberikan modal dan mengganggapnya sebagai sedekah. Abdul Rahman menolak, sedekah sebaliknya berjanji akan menggantikan wang tersebut. Bagi Abdul Rahman, tidak sepatutnya dia menerima sedekah pemberian Saad.

Abdul Rahman memulakan perniagaan di pasar Madinah. Pasar-pasar di Madinah dikuasai oleh Yahudi. Untuk menguasai Madinah, kuasa ekonomi juga amat perlu. Abdul Rahman memulakan perniagaan di Madinah berbekalkan modal yang diberikan oleh Saad al-Ansari. Abdul Rahman membeli unta dengan modal yang diberikan. Kemudian menjualnya semula dengan harga yang sama.. Begitulah keadaannya. Beli unta dan jual semula. Kemudian beli unta lain, kemudian jual unta, beli. Jual, beli, jual, beli, jual, beli, jual  dan...

Dan akhirnya Abdul Rahman bin Auf menjadi jutawan di Madinah. Bagaimana? Sedangkan jika dilihat, beliau langsung tidak mendapat untung?

Hakikatnya, untung yang diperoleh oleh sahabat Rasululullah ini letaknya pada tali unta tersebut.

Mengapa tali?

Setelah membeli unta, Abdul Rahman mengambil tali pada unta. Tali tersebut disimpan. Kemudian dia menjual unta itu dan membeli unta lain. Setiap unta yang dibeli, diambil talinya. Sehingga banyak tali yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Auf. Malah, Madinah menghadapi masalah kekurangan bekalan tali unta! Hal ini menyebabkan saudagar-saudagar unta memerlukan tali. Tali unta amat penting, kegunaannya untuk menambat unta, seperti brek! Tali-tali unta tersebut dijual oleh Abdul Rahman bin Auf. Strategi perniagaan ini cukup bijak sehingga dapat menggugat ekonomi Yahudi ketika itu. 

Jutawan Makkah, saudagar ternama sebelumnya, Abdul Rahman bin Auf mengukuhkan ekonomi umat Islam di Madinah, hanya dengan menjual tali unta...saudagar TALI unta!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...