Thursday, December 27, 2012
Banyak Tanya?
Sunday, December 23, 2012
Catatan dari Masjid Bandar:Mendidik Jiwa Mencintai Ilmu
TAK(berilmu/ menuntut ilmu/mendengar ilmu/mencintai ilmu)
-Terima kasih kepada penganjur, juga sahabat-sahabat penggerak ICoRe
Wednesday, December 12, 2012
Durian Dan Erti Sebuah Keberanian
Saturday, October 6, 2012
UNTUK TERUS BERKUASA!
Tuesday, August 14, 2012
Detektif Ramadhan
Jufri bersuara, “siapa yang tak puasa ni? Tak tahu dosa..”
“Jom kita bagi tahu ustaz Ramli. Dia guru disiplin.” Cadang Fadhli.
“Jangan. Aku rasa lebih baik kita siasat”, Izham pintas memotong kata.
“Kita?” Serentak nada hairan terpacul dari mulut Fadli dan Jufri.
“Siapa?”. Serentak lagi mereka bersuara.
“Engkau aku, dan Fadhli” , terang Izham.
“Tak kuasa aku. Buat letih saja.Aku malas. Kalau kamu mahu pergi, pergilah. Aku tak kisah”, Jufri member alas an.
“Kalau kita tak siasat tak tahu siapa yang tak puasa. Ini tanggungjawab kita.”. kata Izham.
Fadhli hanya mengangguk. Izham betul-betul bersemangat kali ini.
“Pengawas sekolah sahaja. Bukan jabatan hal ehwal agama. Kenapa kita pula yang mesti beriya-iya.” Jufri sekali lagi member alas an. Jufr yakin alasannya kali ini lebih kukuh dan munasabah.
“Engkau mahu ikut atau tidak?” Pertanyaan Fadli buat Jufri tersentak.
“Baiklah aku ikut. Jawapan Jufri seperti terdesak. Memaksa diri mengikut kehendak rakannya. Merelakan sahaja kehendak dua rakan baiknya. “Apa kita perlu buat?”
“Jom pergi semula ke tempat sana”. Izham mengajak kedua-dua orang rakannya itu. Izham sekali lagi menunjukkan jari telunjuknya ke arah belakang bengkel kemahiran hidup. Mereka melangkah pergi menuju belakang bengkel sana. Dalam hati mereka terbit rasa debar dan sangsi. Misteri yang perlu dirungkai. Jalan penyiasatan terbentang. Perlu dipacu langkah segera.
Tiada apa yang pelik. Semuanya seperti biasa. Bengkel kemahiran hidup yang terletak di bahagian belakang sekolah kampung itu. Berhampiran dengannya ada pohon rambutan.
“Kau tengok, tiada apa-apa. Kau syak wasangka sahaja. Mahu tuduh sesiapa?” Jufri bersuara.
“Sekarang ini tiada sesiapa. Hanya kita saja. Aku bukan menuduh kawan. Tapi ada yang tak puasa. Bayangkan kalau ada orang lain yang tahu. Malu sekolah kita.” Izham mempertahankan tindakannya.
“Siapa lagi yang tahu?” Jufri kembali bertanya. Izham menggaru-garu kepala.” Ah, sesiapa saja.”
Dibiarkan Fadhli terpusing-pusing di situ berseorangan. Jufri duduk. Merungut seorang diri. “Tak jumpa apa-apa kan? “Kita tengok esok sahajalah. Mana tahu ada jumpa sebarang bukti.
“Aku tak puas hati. Kita mesti selesaikan kes ini. Lebih baik kita cegah sebelum lebih parah.”
“Wah, bersemangat kamu Izham! Kalau kes ini selesai aku bayar dua puluh sen.” Jufri berseloroh.
“Dua puluh sen sahaja?”
“Eh, dua puluh percent!” Jufri membetulkan kata. Dua jari dianggkat. Tersengih-sengih Jufri, macam kerang busuk.
Selesai solat tarawih. Mereka berjumpa. Merancang strategi. Memasang perangkap. Dengan harapan serta matlamat. Mereka yakin benar usaha mereka ini akan membuahkan hasil. Jika berjaya, mereka dapat mengharumkan nama badan pengawas.
“Ingat, esok kita bersedia.”
“Kalau kita jumpa, mahu kita tangkap terus?”
“Tak perlu. Kita akan pastikan dulu suspek in betul-betul bersalah. Untuk tangkap suspek kita akan ajak Ustaz Ramli!” Tegas Izham memberi penerangan.
“Wah makin menarik aktiviti kita ni. Macam cerita detektif pula. Ada siasatan, ada suspek ada tangkap-tangkap! Cuma tiada pistol. Kalau ada kan seronok. Boleh tembak macam ni.” Jari Jufri di acu ke arah Fadhli seperti mahu menembak.
“Beng, beng!” Jufri meniup hujung jari. Meskipun tiada asap. Pistol alam ria kanak-kanak.
“Kau jangan nak berangan. Nanti aku beng engkau baru tahu,” Fadhli menarik muka.
“Kita nak selesaikan masalah, sekrang nak buat masalah lagi. Ingat, esok seperti yang dirancang!”. Izham meninggikan suara.
“Baik bos!” Fadhli dan Jufri lekas memberi tabik hormat. Tabik ahli pengakap kanak-kanak. Hari esok seperti satu debaran. Dalam masa yang sama satu penantian. Mereka seperti tidak sabar-sabar lagi.
Seperti yang dirancang. Mereka menanti waktu rehat. Loceng yang berdering. Isyarat penting bagi mereka. Jufri, Izham dan Fadhli. Mereka bertiga sekelas. Memang mereka sekepala dari dahulu. Di sekolah itu mereka cukup popular. Ke mana sahaja, mereka bertiga mesti bersama. Tak lengkap kalau salah seorang yang terpisah.
“Cepat Jufri! Kau selalu lambat. Badan besar sangat. Sebab itu pemalas.” Fadhli mengusik.
“Perlahan sikit sebut besar. Aku bukan besar. Aku comel. Habis puasa tahun ni kuruslah aku.” Jufri termengah-mengah mengejar Fadhli dan Izham. Izham di depan sekali. Mereka seperti mahu mengejar sesuatu. Mengejar orang yang tak berpuasa. Bagi mereka, kejahatan perlu dibendung segera! Ayuh pasukan penyiasat!
Izham sampai dahulu. Sedikit kecewa. Disangkanya dia yang lebih pantas, rupanya tidak sama sekali. Suspek jauh lebih licik. Yang tinggal cuma bungkusan makan. Sisa makanan bersepah. Tulang-tulang ikan seperti bertaburan.
“Aduh, lepas pula.” Rungut Izham.
Fadhli sampai kemudian. Jufri yang tercicir tadi baru nampak batang hidungnya.
Ini semua salah kau. Lambat sangat. Fadli memandang Jufri.
Budak berbadan gempal tunduk. Mengah.
“Aku pula yang salah!”. Jufri mahu duduk. Dalam mindanya terbayang air sirap limau dengan ais. Pasti dapat meneygarkan tekak yang kering. Silap besar baginya. Merelakan tubuh gempalnya berlari mengejar jaguh pecut yang lain. Akibatnya dia yang merana. Sekali lagi mindanya terarah pada segelas air sirap limau atau air tebu sejuk seperti yang diperolehnya semalam. Aduh keringnya tekak!hilang bayangan air tebu serta air sirap limau ais, bila terpandang seseorang. Jabir! Budak yang lebih besar daripadanya. Lebih besar dan lebih berat daripadanya. Keluar daripada tandas berhampiran bengkel kemahiran hidup. Tangannya basah. Sangka Jufri, mungkin dia orangnya. Jabir sedikit terkejut melihat Jufri. Jabir mengatur langkah, segera melepaskan pandangan.
Fadhli juga Nampak jabir. Izham mendapatkan teman-temannya. Aku nampak apa yang kamu berdua nampak. Suspek dikenali!
“Apa patut kita buat?”
Loceng sekali lagi berdering. Berakhir waktu rehat. Selepas ini waktu kelas pendidikan Islam. Kelas Ustaz Ramli. Ustaz yang tegas. Memang layak menjadi guru disiplin.
“Baiklah, ustaz nak tanya, siapa yang puasa hari ini, angkat tangan.”
Semua ahli kelas Lima Anggerik angkat tangan. Izham, Fadhli angkat tangan. Jufri yang tadi penat bercampur mengah pantas juga angkat tangan. Penatnya kini sedikit hilang. Bayu kipas yang bertiup sangat menyegarkan.
Mata mereka terarah kepada Jabir yang turut mengangkat tangan. Tinggi. Semacam satu persoalan yang mahu menikam. Nyata pandangan enam mata seakan mahu menikam terus tubuh gempal Jabir. Kaget Jabir bila dipandang sebegitu. Apa dosa yang dibikinnya hingga dipandang sebegitu rupa. Apa dia sudah buat silap besar. Semangatnya mengangkat tangan jadi pudar. Jabir segera jatuhkan tangan. Tundukkan muka. Rahayu yang duduk di sebelahnya seakan sedar. Tapi Rahayu tak kisah.
Seakan geram dan mahu menjerit sekuat hati, Izham, ketua pasukan penyiasat mahu sahaja menjerit, bagi tahu seisi kelas, Jabir tak puasa. Namun jeritan itu hanya bergema dalam dirinya sahaja.
Usai kelas pendidikan Islam. Usai salam, Ustaz Ramli melangkah keluar. Tujuh langkah meninggalkan kelas, terus hingar binger. Bagai pasar riuh rendahnya. Tiga sahabat, laju meluru. Mengejar dan mendapatkan Ustaz Ramli.
Paduan tiga suara, “ustaz, tunggu kami!”
Bahang panas yang memeritkan.
Ustaz Ramli menoleh ke belakang. Tiga budak mengekorinya.
“Ustaz ada orang tak puasa!” Izham bersuara.
“Maksud kamu?”
“ Ada orang makan”, bersahaja jawapan Fadhli. Jufri, mempula membetulkan seluar yang terlondeh.
“ Kamu nampak sendiri yang orang tu tak puasa, atau kamu main tuduh sahaja?” soal Ustaz Ramli bersahaja.
Masing-masIng tunduk, menggoyangkan kaki. Jufri masih membetulkan seluarnya. Ditarik tali pinggang supaya betul pada tempatnya. Baru segak, puji dirinya sendiri. Tapi persoalan Ustaz Ramli juga buat Jufri sedikit tersentak.
“Kami tak nampak, tapi kami tahu siapa, kami jumpa”, jelas Izham.
“Tak nampak, tapi tahu siapa,. Pelik sungguh. Apa yang kamu jumpa?” soal Ustaz Ramli lagi, mahu cari kepastian
“ Bungkusan makanan. Kami nampak... Jabir. Jabir makan belakang bengkel sana”, hanya Izham yang bersuara.
“Saya bukan tak percaya kamu, tapi... beginilah, lebih baik kamu buktikan terlebih dahulu. Baru jumpa saya”, tenang sahaja Ustaz Ramli.
Tiga sahabat berpandangan. Terbit rasa hampa.
“Esok ada lagi, kita tangkap Jabir!” perintah Izham.
“Baik tuan!”
Kali ini mereka keluar lebih awal. Mereka mahu tangkap Jabir. Mereka mahu Ustaz Ramli benar-benar percaya. Mahu buktikan kebenaran berada mereka. Mahu bagitahu mereka penyiasat. Ya, persis detektif.
Mereka berselindung di sebalik kerusi dan meja lama yang tersusun berhampiran bengkel. Tiba saat yang ditunggu. Benar Jabir datang ke situ. Jabir bawa bungkusan. Izham tak mahu terus terburu-buru. Izham mahu Jabir menyuap makanan ke dalam mulu. Dan mereka akan terus bertindak.
“ kau tengok, Jabir tertunduk-tunduk. Dia nakpastikan tiada orang. Kemudia dia ngapla...”, Fadhli berkata kepada Jufri.
“ Hish, diamlah”, sambil jari telunjuk diletakkan di mulut. Jufri membantah.
Izham memandang rakannya. Tajam. Dahinya berkerut.Jufri dan Fadhli, terkedu.
Kali ini Jabir membuka bungkusan makanan. Sekali lagi matanya meliar. Jabi seperti mencari sesuatu. Dan akhirnnya, seekor kucing menghampiri Jabir. Kucing kudung. Tompok-tompok badannya. Bungkusan itu untuk makanan. Untuk kucing cacat itu.
Masing-masung berpandangan sesama sendiri. Jufri bersuara, “entah-entah Jabir makan sama-sama dengan kucing tu”.
Izham tunduk malu. Timbul sesal dalam dirinya. Menuduh jabir tanpa usul periksa. Malu mahu berhadapan dengan Ustaz Ramli lagi. Mereka hanya memerhati Jabir. Kucing kudung itu diusapnya. Kucing kudung yang tiada siapa peduli. Kehadirannya di sekolah itu hanya penghinaan untuknya. Mujur ada Jabir. Ramadhan ini belas untuk kucing kudung. Terima kasih Jabir.
“Apa lagi tuan? Apa tindakan kita?” Fadhli bertanya.
“Siasatan berakhir. Kes ditutup!”
Saturday, July 21, 2012
Ramadhan: Istirehat atau isteri rehat?

Friday, July 13, 2012
Keusahawanan dan kaitannya dengan Islam (Untuk Remaja)

1. Definisi
a. Konsep keusahawanan Muslim
Keusahawanan merupakan satu kegiatan dan kemahiran dalam mengusahakan sesuatu peusahaan. Bidang ini pastinya melibatkan proses interaksi antara dua pihak dan lebih yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Sejarah islam membuktikan penglibatan para nabi dalam menjayakan bidang keusahawanan ini. Nabi Idris a.s terlibat dalam bidang jahitan, Nabi Nuh a.s terlibat dalam bidang perkayuan. Begitu juga Nabi Daud a.s yang telah menceburkan diri dalam bidang membuat perisai besi. Begitu juga dengan Nabi Muhammad S.A.W yang terlibat dalam bidang perdagangan. Bidang keusahawanan ini nyata dituntut di dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud:
“ Dan Dihalalkan jual beli dan diharamkan riba”.
Surah al-Baqarah(2): 275
Menceburkan diri dalam bidang perniagaan dapat memberikan keuntungan yang cukup besar sekiranya dapat diuriskan dan ditadbir mengikut kaedah dan syariat yang telah ditetapkan.
b. Budaya keusahawanan
Seperti para anbia, para sahabat yang sezaman dengan Nabi Muhammad S.A.W juga terlibat dalam bidang keusahawanan ini. Nama-nama tokoh besar seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair ibnu al-awwam, Talhah bin Ubaidillah dan Shuaib bin Sinnan. Kehebatan dan kemampuan para sahabat dalam menceburkan diri dalam bidang keusahawanan memberikan impak yang besar dalam perjuangan Islam. Mereka berperanan dalam memberikan sumbangan yang banyak dalam menggerakkan misi dakwah. Kehebatan dan ketokohan sahabat dapat dilihat melalui contoh Abdul Rahman bin Auf. Contohnya, Menurut buku Adnan Alias et al.(2002: 33) mengatakan Abdul Rahman merupakan seorang usahawan bersentuhan emas A man with a touch of gold sehingga beliau sendiri berkata, ”Sungguh kulihat diriku seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak”.
2. Tujuan
a. membangunkan ummat dari segi ekonomi
Bidang keusahawanan amat memberikan impak yang cukup besar dalam membangunkan ekonomi sesuatu masyarakat. Sejarah membuktikan interaksi antara kerjaan maritim dalam aktiviti perdagangan membawa kepada hubungan secara langsung dalam meningkatkan kelas ekonomi serta sosiologi masyarakat. Aktiviti perniagaaan mampu mewujudkan kerjasama di anatara banyak pihak. Pengeluar, peniaga dan pembeli. Kebergantungan dia anatar ketiga-tiga pihak yang melibatkan wang sebagai transaksi akan mewujudkan satu hubungan ekonomi secara langsung.
b. tolong menolong sesama umat islam
Keusahawanan dalam Islam merupakan satu titik tolak kepada membina hubungan yang harmaoni dalam masyarakat. Melalui bidang ini, kita dapat melahirkan para usahawan dan ahli perniagaan yang mempunyai sifat dermawan dan ikhlas dalam membantu golongan yang lemah. Zakat harta amnya, berperanan sebagai satu sistem yang dapat membantu dalam menjamin keadilan social dan ekonomi. Firman Allah.
Maksudnya: ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan dan mensucikan mereka...
Surah At-taubah (9):103
Hal ini dapat dimurnikan melalui penghayatan konsep perniagaan yang bukan sahaja bersifat mengejar keuntungan malah cendrung kepada menjadikan peniagaan sebagai satu cabang ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis berikut:
“Abi Sa’id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w berkata: “Seorang peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para syuhada’
c. memecahkan monopoli yahudi dan nasrani di peringkat global
Pada hari ini, ekonomi dunia nyata dikuasai oleh barat yang nyata sekali dipelopori oleh Yahudi. Hakikatnya Yahudi Berjaya memonopoli dan mendominasi ekonomi dengan menguasai institusi kewangan serta menguasai perniagaan di dunia. Beberapa syarikat besar di dunia merupakan hak milik kepada individu dari kalangan Yahudi sendiri malah menyumbang kepada menjana usaha yang dilakukan mereka. Selain itu, sistem kapitalis yang diperkenalkan amat menekan masyrakat di dunia. Kesannya hari ini kita terhimpit dengan bebanan dan masalah inflasi. Bagi mengembalikan semula kegemilangan ekonomi Islam, perlunya satu usaha yang dilakukan secara kolektif bagi mencapai matlamat tersebut. Asas keusahawanan dan perniagaan Islam dapat membantu ke arah menaikkan martabat kuasa ekonomi Islam sekaligus memecahkan monopoli yahudi dalam ekonomi.
3. Kebaikan
a. Sebagai satu nilai tambah bagi individu muslim
Keusahawanan bukan sahaja bertujuan melahirkan lebih ramai manusia yang kaya harta dunia, malah memiliki kekayaan jiwa. Individu muslim yang mempunyai kemampuan dari segi harta, dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan bersedekah. Kekayaan jiwa inilah yang menjadi pendorong kepada para sahabat dalam memperjuangkan agama Islam. Dengan memahami konsep sedekah secara mendalam, seseorang muslim akan berusaha mempertingkatkan lagi keupayaan mereka dan menggunakan hasil yang diperoleh untuk bersedekah. Hal ini memberikan kebaikan kepada pihak yang member dan pihak yang menerima.
b. Mengaplikasikan sistem perniagaan dan ekonomi islam secara keseluruhannya
Kekuatan ekonomi dalam bidang perniagaan dapat membantu kita melahirkan lebih ramai usahawan Islam yang lebih cenderung untung memilih sistem ekonomi dan kewangan Islam. Dunia hari ini menyaksikan kejatuhan sistem ekonomi kapitalis sekaligus memerlukan kepada satu penyelesaian yang lebih baik. Nyata sistem ekonomi Islam dipilih sebagai langkah penyelesaian dan dilihat sebagai penyelamat kepada masalah ini. Oleh hal demikian, satu kumpulan usahawan Islam perlu dibina sebagai perintis kepada membangunkan model contoh keusahawanan yang menjadikan ekonomi Islam sebagai panduan dan perlaksanaannya.
c. Mewujudkan jaringan penguasaan ekonomi dan misi dakwah
Bidang keusahawanan nyata sekali melibatkan jaringan perhubungan antara individu hatta kumpulan masyarakat. Jaringan yang luas dapat diwujudkan sekiranya para usahawan Islam dapat menampilkan satu contoh yang terbaik dalam komunikasi serta menjalankan urusan perniagaan. Menjadi satu kemestian kepada para usahawan Islam untuk menerapkan akhlak dan cirri-ciri keperibadian Islam dalam diri mereka. Contohnya, penglibatan para pedagang Arab yang berdagang ke Melaka dapat memikat hati penduduk tempatan terhadap Islam. Hal ini disebabkan akhlak dan sifat mahmudah yang diamalkan oleh para pedagang.
4. Masalah yang dihadapi hari ini
a. Peluang pekerjaan yang terhad
Kecenderungan untuk bekerja dengan syarikat-syarikat besar ataupun berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan dilihat merupakan antara sebab siswazah tidak menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.Oleh itu, hari ini kebanyakan siswazah berhadapan dengan masalah pengangguran. Hal ini berpunca daripada peluang pekerjaan yang terhad sekaligus bidang yang dipilih sewaktu menuntut di universiti tidak mempunyai nilai pasaran untuk ditampung bagi syarikat swasta mahupun kerajaan. Hanya bidang-bidang seperti perubatan, perakaunan serta kejuruteraan dapat menampung keperluan tenaga kerja sekaligus menyebabkan siswazah daripada bidang lain beralih kepada bidang lain.
b. Kecenderungan dan minat individu yang berbeza
Kurangnya galakan menyebabkan bidang keusahawanan ini tidak diceburi. Sesetengah pandangan yang meletakkan penglibatan dalam bidang keusahawanan sebagai satu langkah akhir merupakan satu tanggapan yang kurang tepat. Malah, pandangan yang meletakkan golongan bumiputera atau Muslim hari ini sukar untuk bersaing dalam bidang perniagaan trut membelunggu pemikiran.
5. Penyelesaian masalah
a. Penerapan asas dan kemahiran keusahawanan
Bagi merintis kembali kegemilangan usahawan Islam ini, perlu kepada satu usaha dari peringkat awal lagi. Remaja merupakan satu kumpulan sasaran yang layak dipilih sebagai permulaan bagi membentuk asas keusahawanan. Hal ini kerana, dalam usia remaja, kumpulan ini gemar kepada sesuatu yang mencabar. Jelas sekali bidang keusahawanan merupakan bidang yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Oleh itu, dengan penerapan dan teknik serta amali dalam bidang keusahawanan, remaja boleh mencuba sendiri pengalaman sebagai usahawan serta merancang strategi perniagaan. Remaja hari ini mempunyai pandangan yang tersendiri dalam mengenengahkan sesuatu idea. Sehubungan itu, idea yang baik dapat dijalinkan dengan berkesan sekiranya bimbingan dan galakan dalam bidang keusahwanan ini disalurkan kepada mereka.
Bagi memastikan, kumpulan remaja ini dapat berkembang dalam bidang keusahawanan sejajar dengan tuntutan dan syariat Islam, penekanan dan konsep perniagaan berteraskan Islam mestilah diberi keutamaan. Contohnya, mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan seperti nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik, berani mengambil risiko, amanah, sabar dan bersedekah. Penekanan konsep ubudiyah iaitudengan menjadikan perniagaan sebagai satu ibadat dapat memotivasikan remaja untuk lebih menceburi bidang ini.
Kesannya, remaja yang diberi peluang dan galakan dalam bidang keusahawanan dengan panduan Islam ini dapat membentuk satu jaringan perniagaan yang luas sekaligus melahirkan individu yang kreatif dalam menyelesaikan masalah ummat. Malah, usaha ini dapat dijadikan sebagai batu loncatan ke arah memakmurkan ekonomi Islam di peringkat global.
Wednesday, July 11, 2012
Bahagian 1: Berlari Dan Terus Berlari
Antara maruah dan pengorbanan. Mungkin tak sesuai dijadikkan matlamat. Suram-suram hatinya kelam, diam-diam menjengah malam. Bukan mimpi indah diminta singgah, jauh lagi yang buruk-buruk. Hai nasib badan. Malang nasib, harap sabut timbul, tenggelam batu sampai dasar. Harap mengilir sampai ke kuala, rupanya sudah ke situ juga. Tak boleh jadi.
Tuesday, July 10, 2012
Belajar Sejarah
Monday, July 9, 2012
Kreatif?

Friday, July 6, 2012
tujuan dan keperluan
Wednesday, July 4, 2012
Bahagian 1: Teropong Alam?
Wednesday, June 20, 2012
Rendah Hati, Terima Teguran

Saturday, June 9, 2012
Ajal dan Maut

Sejuk dan nyaman. Mentari yang mendaki langit memancarkan sinarnya. Dicelah-celah naungan pohonan, cahaya itu sampai ke lantai hutan. Tujahan sinar mentari menghentam mata. Perit dan pedih. Hukum alam yang tidak dapat ditolak. Alam saling memerlukan. Kebergantungan tumbuhan hijau pada mentari. Juga isi rimba yang lain. Pepohon hijau perlu pada sinar mentari untuk menjalankan proses fotosintesis. Tanpanya, tumbuhan tidak boleh mendapatkan makanan. Tumbuhan hijau yang membebaskan oksigen memberi kesegaran kepada penghuni rimba. Bakti penghuni rimba kepada tumbuhan sekitar juga, membebaskan karbon dioksida. Sungguh mereka saling memerlukan.
Kebergantungan penghuni rimba sesama mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup juga jangan disangkal. Ada yang jadi mangsa, ada yang jadi mangsa. Adat kuat untuk hidup, dan yang lemah menjadi lauk. Yang makan rumput dimakan yang dimakan daging. Iyulah karnivor. Hidangannya herbivor. Dan sang kancil dalam golongan yang menjadi mangsa. Herbivor. Puak-puak lemah, kecil dan kurang berdaya. Adat menjadi lauk pada si gagah dan kuat. Sesekali jadi buruan manusia. Senjata api yang berbunyi bingit. Senjata panjang yang mengeluarkan butir yang membunuh. Haiwan hutan menjadi buruan. Namun segalanya sudah ditetapkan. Mana mungkin untuk diingkari. Sejak dari zaman terciptanya alam, hidupan saling bergantungan.
“Untuk apa terus hidup kalau ditekan dan menjadi mangsa. Hidup dalam buruan dan tanpa keadilan. Sedangkan kita juga perlukan kepada perlindungan.” Si Tupai haiwan kecil yang merintih.
Mereka saling berpandangan. Mereka? Ayam Hutan, Si Tupai, Sang Kancil juga Pak Landak.
Pintas Ayam Hutan berkata, “Sang Kancil bijak, panjang akal dan banyak muslihat. Mudah untuk menyelamatkan diri. Pak Landak juga kebal, duri-duri dapat jadi benteng pertahanan. Tupai juga pandai lompat-lompat.”.
Jeling kancil, “Aku bukan seperti hikayat nenek moyang. Masa sudah berlalu. Aku bukan mereka.”
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”, cepat sahaja Si Tupai menidakkan pujian Ayam Hutan.
Pak Landak bersuara, “sungguh aku katakan kehidupan kita makin terancam. Sampai bila mahu kekal begini kawan-kawan”.
“Sampai kiamat.”Serentak bersuara.
“Membiarkan diri kita terus terhukum dan dicengkam oleh binatang buas yang bernafsu ganas. Cukuplah hidup ini menderita. Pupus puak dan keturunan aku. Dan aku bimbang tiada lagi keturunan ayam hutan di muka bumi ini.” Si Tupai mencelah.
“Mana kamu tahu. Pasti ada. Kalau bukan di sini, mungkin ada di tempat lain.” Sangkal Pak Landak. Lalu menambah,“Mujur kalau ada, jika tidak?”
Ranting patah. Bunyinya semacam. Bunyinya sekali sahaja. Pantas mereka diam. Bimbang-bimbang pergerakan dan perjumpaan mereka diintip. Saling memerhatikan sekeliling. Suasana yang tadi penuh dengan bicara kini diam seribu bahasa. Ayam Hutan terus duduk. Sang Kancil membongkok., Pak Landak juga bagai mahu menyorok. Semuanya diserang penyakit berjangkit. Trauma yang hadir menikam naluri tubuh kecil. Siri pertumpahan darah yang menyayat hati atas nama hukum hutan kini sedang bermain dalam pentas teater jiwa mereka. Mungkin ini penghujung hayat.
“Hah!”
Suara yang menyergah. Kera Muda. Gelak besar. Terus haiwan-haiwan ini mencuka. Menarik muka masam. Penuh bengang dan geram.
“Apa kau ingat main-main Kera Muda?” Pak Landak diicucuh api kemarahan.
Kera Muda mengelak tuduh, “aku bergurau. Salahkah. Tak gurau tak ceria. Bukan begitu?”
“Begitu salah, begini baru betul”. Si tupai pantas mencubit Kera Muda.
Kera Muda menahan derita. Terpacul soalan darinya “Perbincangan apa kalian di sini? Mesyuarat tergempar atau ada majlis makan-makan?”
“Ya, ada majlis korban. Korban seekor kera yang kurang siuman kepada Pak Belang lapar.” bingkas Ayam Hutan bersuara.
“Bila?” Kera seakan-akan mencabar.
Bagai disentap kesabaran mereka. Cuma Sang Kancil yang mampu bersabar.Kumat kamit Si Tupai menyumpah. Ayam Hutan juga begitu. Pak Landak landak hendak bertindak. Cucuk saja dengan duri..
Persoalan dari Sang Kancil, “Bukankah hari ini ada pesta makan-makan puak engkau kera.? Beruk dan monyet semua ke seberang sungai. Kaata mereka, kalau terus kea rah barat ada kebun manusia di sana. Pisang-pisang bermacam jenis. Buah yangsegar sedang masak ranum. Apa kamu tidak mendapat khabar?”
Tanya Kera Muda, “Bagaimana kamu tahu kancil? Tahu sahaja aku sedang lapar.”
“Firasatku tinggi Kera Muda. Aku dapat melihat sebalik hutan ini. Jangan ditanya ilmu apa.. Untuk ke seberang sungai kamu mesti berjumpa dengan Sang Bedal. Dia akan membawamu ke seberang sungai di sana kamu akan bertemu ajal. Kemudian maut akan menjemput.”
“Menarik!Bagaimana rupa ajal.”, bersemangat Kera Muda bertanya.
“Oh, sukar untuk aku ceritakan. Sang bedal akan ceritakan segalanya. Dia lebih pakar tentang ajal dan maut. Molek engkau bertanya padanya. Engkau masih muda, belum pernah berjumpa ajal. Selepas jumpa ajal baru engkau akan berjumpa dengan maut. Itu yang aku tahu. Kemudian terbanglah kamu ke dunia penuh keindahan.maksudku pesta itu. Hebat bukan?” Kancil menambah.
“Katamu maut akan menjemput. Bagaimana?” bertanya lagi.
“Engkau jangat bimbang. Sebaik maut menjemput engaku akan merasa bahagia. Kehidupanmu akan berubah dan pastinya engkau akan merasakan dirimu seperti di awang-awangan.”Sang Kancil menambah lagi.
Masing-masing berpandangan. Sukar untuk mereka mengerti falsafah tinggi sang kancil. Falsafah haiwan bijak pandai. Falsafah tipu helah penuh muslihat. Falsafah membunuh dalam diam. Falsafah ajal dan maut yang menjemput.
Kera muda disampuk syaitan lapar. Syaitan yang meniupkan nafsu binatangnya untuk memenuhkan perut dengan santapan yang enak. Kera terus berlalu pergi meninggalkan kancil dan haiwan lain. Melompat-lompat riang. Sambil bernyanyi. Dan bertempik
Hoorey!, hoorey!
“Aku mahu bertemu ajal! Maut akan datang jemput. Aku mahu ke pesta, berpesta!. Hoorey!”, mahu seisi hutan mendengar.Lagu ria yang didendangkan kera, nyata mengejutkan penghuni rimba. Pak Belang yang mundar mandir, menahan derita pedih dan lapar tersentak mendengar jerit Kera.
“Haiwan gila. Bimbang berjangkit nanti. Tapi kalau lapar semuanya enak.” Pak belang ketawa sendiri. Hilang selera Pak Belang mahu membaham kera. Riang di hati kera tiada terkira, akhinya sampai juga ke tepi sungai. Tempat yang ingin dituju berada di seberang sana. Kera menjengah, sambil bertenggek di dahan pohon ara. Dia meninjau sekitar sungai. Pantas berfikir, bagaimana mahu ke sana?
Dilihat sekitar sungai. Mahu turun se sungai, Kera tidak pandai berenang. Bimbang lemas di tengah. Pesan Sang Kancil tentang Sang Bedal membuatkan Kera tersenyum. Pasti ajal menunggu. Kera beranikan diri turun ke tepi sungai, sengaja kakinya dihulur menyentuh air.
Tenang air jangan disangka tiada buaya.
Timbul sepasang mata dengan muncung panjang. Memandang tepat ke arah Kera. Tersentak dengan pandangan. Mahu sahaja kera menjerit. Sang Bedal.
Dengan rendah hati dan penuh hormat Kera menyapa.” Wahai tuan yang budiman, bolehkah hamba bertanya?”
Entah mengapa ,Sang Bedal seperti tidak bersedia membaham kera muda. Dibiarkan sahaja kera itu berkata-kata.
“Untuk apa kamu ke mari?”
Dalam gentar ditimpa cuak, soalan membunuh diri yang diajukan.
Bersuara Kera Muda, “Tuan, dalam khabar yang hamba terima, diseberang sungai sana beruk dan monyet berpesta. Makan buah-buah enak. Manis dan ranum. Sungguh hajat hamba mahu juga ke sana. Bersama saudara. Oleh itu besarlah hajat hamba kiranya tuan membawa hamaba ke sana. Bolehlah hamba bertemu ajal. Moga-moga juga maut akan menjemput dan membawa hamba ke sana pula”
Bingung Sang Bedal mendengar. Diam sejenak. Setelah ditafsir sedalam-dalam, akhirnya Sang Bedal mengerti, hidangannya kini berada di hadapan.
Tak pernah haiwan pemangsa sepertinya berbahasa sopan dan tertib. Menyambut permintaan Kera dengan penuh horamt, serta cuba memenuhi permintaannya.
Tanya Sang Bedal, “Mahu hamba bawa tuan ke sana?
“Ya, jika tuan tidak keberatan. Besarlah hajar hamba untuk ke sana. Seandainya maut sudah menunggu pasti itu lebih baik,” menjawab.
“Benar, maut pasti sedang menunggu kamu. Maut itu cepat sifatnya. Jarang mengambil masa yang lama. Tambahan pula tidak mahu maut mengambil masa yang panjang dalam berurusan. Molek benar andai kamu dapat ke sana. Lekas, lekas aku bawakan kamu ke sana.” Pesan Sang Bedal.
Pantas kera melompat ke belakang Ajal. Gembira dalam hatitidak terkira. Mahu menjamu rezeki di seberang. Jangan dilengahkan lagi. Nyata dalam benak Kera tebayang buah psang yang sedang enak dimakan. Buah ceri. Mungkin juga betik yang masak ranum atau tembikal yang sedang bergolek di atas tanah.
Sang Bedal juga apa kurangnya. Dalam pengiraannya Kera Muda ini pasti sahaja manis dagingnya. Sedap dimakan begitu saha, atau boleh disimpan untuk bekal makan malam. Namun sekarang yang perlu difikirkan pula, bagaimana mahu disuakan daging kera ini ke dalam mulutnya. Itu lebih mustahak.
Kera masih lagi dalam mimpi. Meski jasadnya kini benar-benar akan berpisah dengan nyawa. Namun segalanya tetap tidak dapat disedari. Baginya, biarkan mimpi menjadi satu kenyataan, dengan perut diisi dengan buah-buahan yang enak. Berterima kasihlah kepada Sang Kancil. Dari gurau senda, dan hampir dimaki Ayam Hutan, Si Tupai dan Pak Landak, hari ini, Kera Muda akan berpesta.
“Sudah mahu sampai. Naiklah ke tebing sungai,” sopan Sang Bedal di luar kebiasaan.
Lalu bertanya Kera Muda, “Terima kasih tuan. Beruntung hamba dapat bertemu dengan tuan. Tapi di mana maut? Bukankah maut itu sifatnya cepat dan tidak lama menunggu. Ajal juga?”
Sang Bedal memerhati sekeliling. Dibuka mulut seluas-luasnya.Kemudian menutup kembali.
Kera kehairanan, “Mengapa tuan begitu.”
“Ini senaman. Untuk pengetahuan tuan hamba, ajal dan maut sedang menunggu di dalam mulut hamba. Jika tuan sudah sedia boleh hamba khabarkan kepada maut dan tuan dijemput masuk dengan penuh hormat,” terang Sang Bedal
Membuka mulut seluas-luasnya
Kera tanpa teragak-agak mengiayakan sahaja kata-kata ajal. Dijengah kepalanya ke dalam mulut buya. Gigi tajam yang memagar sungguh menyeramkan.
Gelap. Pantas saja Sang Bedal merapatkan mulut. Terpisahlah nyawa dari badan Kera Muda. Bertemu ajal. Bertemu maut yang sebenar.
Mereka memandang dari seberang sungai. Ayam Hutan, Si Tupai, Pak Landak dan Sang Kancil.
Pesan Sang Kancil.“Hukum alam, itu kepastian. Tapi jika nafsu dan kebodohan yang menguasai diri, maka kebinasaan yang menanti”
Semua mengangguk bersetuju.