Wednesday, July 11, 2012

Bahagian 1: Berlari Dan Terus Berlari


Antara maruah dan pengorbanan. Mungkin tak sesuai dijadikkan matlamat. Suram-suram hatinya kelam, diam-diam menjengah malam. Bukan mimpi indah diminta singgah, jauh lagi yang buruk-buruk. Hai nasib badan. Malang nasib, harap sabut timbul, tenggelam batu sampai dasar. Harap mengilir sampai ke kuala, rupanya sudah ke situ juga. Tak boleh jadi.

Suatu masa dahulu, keturunan haiwan ini pernah malu. Malu besar, tujuh keturuanan tak habis cerita . Habis seisi alam tahu ceritanya. Bukan cerita buat kerja tak baik, tapi sebab perangai tak baik. habis. Malu tak sudah. Alahai nasib. Pernah juga keturunan haiwan ini bertanya sesama mereka, samapai bila habis sumpahan ni? Dulu-dulu bila Sang Arnab berlumba lari dengan Sang Kura-Kura, Arnab kalah teruk. Sebab Sang Arnab tertidur, tercicir dia dia belakang. sampai sudah ceritanya. Malu tak habis.
"Itulah keturunan haiwan sombong," kata ibu kura-kura kepada anaknya. Anak Kura-kura mengangguk.

Bunni memandang Totis kemudian menundukkan kepalanya. Terasa malu yang amat sangat bagi Bunni. Totis anak kura-kura. Mereka berkawan. Tapi bila ibu Totis dapat tahu mereka berkawan, Totis mula berenggang dengan Bunni.
bersambung

Tuesday, July 10, 2012

Belajar Sejarah

Ini George Santayana


Setiap kali bila mula waktu Sejarah, cikgu saya selalu cakap, "apa-apa hal, hidup mesti diteruskan juga. Selain itu, yang selalu beliau ucapkan ialah, siapa yang melupai sejarah dia pasti akan mengulanginya". Sekian.

Itu kata George Santayana, tokoh falsafah barat. Cikgu saya selalu mengulang kata-kata tersebut. Waktu itu cuma masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Masing-masing buat endah tak endah. Tapi ada kala, bila selalu sahaja mendengar, jadi hafal. Boleh dijangka, skrip yang sama.

Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya?Jadi, orang yang lupa kepada kesilapan lalu pasti akan mengulanginya. Kerana dia telah lupa kepada satu sejarah yang telah berlaku dalam kehidupan yang telah ditempuhi olehnya. Tapi bagaimana pula dengan orang yang lupa kepada kejayaan yang pernah dikecapi? Adakah dia akan mengulanginya kejayaan itu? Ini remeh saja. Entah mengapa persoalan sebegini tiba-tiba singgah lalu mengetuk pintu minda.

Pada hemat saya, jika seseorang itu lupa pada kejayaan yang lalu, itu sesuatu yang diliht agak mustahil. Pastinya kejayaan yang pernah diperoleh sentiasa diingati, diulang-ulang hikayatnya, dan dipahat dalam satu ruang dalam fikiran serta disebut-sebut umpama ratiban kerana itulah sejarah yang penuh, sangat dan amat bermakna. Yang timbul pula adalah, bagaimana mahu memastikan kejayaan itu berulang semula atau kejayaan itu datang lagi. Tak semua orang berjaya, ada kala saat jatuh itu hadir dan membuatkan kita terperosok, tersungkur di bawah. Saat yang dinantikan ialah bangkit semula. Saat menelan ubat yang pahit dalam usha mengebalkan antibodi yang tumbang. Inilah saat yang dinantikan.

Siapa kata kita lemah? Musuh senatiasa meracun taman pemikiran kita dan menuba tasik minda agar airnya jadi keruh lagi bahaya. Maka air yang diguna dari tasik itu gagal menyuburkan taman nurani. Maka bunga-bunga yang diharap kembang dengan mekar hilang serinya. kering daunnya, longlai dahannya, dek sakit menahan bisa. Apa yang dimomok oleh musuh-musuh. Segalanya adalah tentang kelemahan yang berpusat dalam kotak fikirn kita. Titik yang mendjadi pemisah antara kejayaan dan kegagalan. Itulah penghalang kepada kejayaan untuk terus tertulis.

Benar, kita bangga dengan kejayaan terdahulu yang senantiasa menaikkan dan membangkitkan semangat. Tapi merelakan titik kelemahan itu ditekan pada saat ini merupakan satu kesilapan yang sepatutnya jangan dilupakan. Titik kelemahan itu sebenarnya diwakili oleh simbol noktah yang menghentikan bait-bait kisah kejayaan. Langsung bermulanya tragedi kejatuhan yang terus menghantui, berlegar dalam mimpi dan menjadi puaka dalam taman pemikiran. Sampai bila ayat yang dipenuhi dengan kalimah-kalimah lemah, sugul dan layu itu menjalar. Perlu kepada satu titik baru yang menghentikannya. Ya, noktah baru untuk ayat kegagalan!

Cerita sejarah yang tertulis. Lupa kegagalan kesannya berulang kegagalan. Duduk dalam kegagalan, tanpa noktah, tanpa kebangkitan, maka kekal dalam kegagalan. Asyik dengan kejayaan, boleh jadi tenggelam dan kelemasan.

Monday, July 9, 2012

Kreatif?



Ramai yang... Tapi kurang yang...!
Hari ini ramai orang yang cerdik dan pandai. Persaingan menjadi semakin sengit. Contoh mudah, pelajar yang lulus cemerlang dalam UPSR sem
akin bertambah tahun ke tahun. PMR dan SPM juga begitu temponya.In
i perkara biasa. Maka, ramai orang semakin cerdik. Selain itu, dapat juga kita lihat perkara positif ini berterusan sehingga ke institut pengajian tinggi. Nyata kita dapat melahirkan ramai orang yang cerdik. Keluaran menara gading setidak-tidaknya segulung diploma atau ijazah. Ini perkara biasa. Bila senario ini berterusan, pasti tempo pada masa akan datang, lebih ramai pemegang sarjana malah pemegang ijazah doktor falsafah dapat dilahirkan dan mungkin nanti ini jadi satu kebiasaan. Kesannya perlukah satu tahap akademik yang lebih tinggi lagi daripada pHD. (Pengajian Habis Dah)

Kebiasaan ini membuatkan alam persaingan jadi berkecamuk dan padat. Padat dengan pesaing dengan masing-masing mempamerkan deretan A pada slip keputusan peperiksaan begitu juga pointer 4.0. Ramai bukan orang cerdik? Bila kita fikir kembali, betul ramai orang yang cerdik, tapi tetap tidak juga mendapat tempat.

Maaf tuan, kalau pendapat saya ini bercanggah. Dunia hari ini perlukan kepada individu yang KREATIF. Jadi orang yang cerdik hari ini mesti menjadi kreatif. Itulah bezanya orang yang kreatif + cerdik berbanding dengan orang yang cerdik semata-mata. Orang yang kreatif dapat memanipulasikan kecerdikannya dalam menyelesaiakan sesuatu masalah. Berhadapan dengan sesuatu masalah bukan punyai satu jalan kira yang perlu menurut skema semata-mata seperti menjawab soalan peperiksaan di atas kertas akan tetapi memerlukankepada satu langkah penyelesaian yang terkandung di dalamnya unsur emosi, strategi, dan spiritual yang tersusun. Pada saya itu erti kreatif. Kita tak mahu melahiran orang yang memanipulasikan kecerdikan untuk kerosakan sebaliknya kita mahu kepada orang yang memanfaatkan kreativiti yang ada panya untuk penambahbaikan dan pembangunan.

Kreatif- didikan atau semulajadi?
Peroalan sama ada kreativiti itu satu kelebihan yang hadir secara semula jadi dan khusus untuk orang terpilih. Benar, manusia lahir dengan kepelbagaian kemahiran. Malah setiap individu mempuyai kelebihan dan kemampuan kemahiran yang berbeza. Sengaja memetik, mengikut Teori Kecerdasan pelbagai Howard Gardner (1983) terdapat lapan jenis keplbagaian kecerdasan iaitu kecerdasan verbal linguistik, logik-matematik, visual ruang, kinestetik, muzik, interpersoal, intrapersonal dan naturalis. Anda bagaimana? Dimanakah anda?
Ilmuan Islam yang lahir mengukir nama dalam membina tamadun ilmu bukan sekadar menguasai satu bidang semata-mata. Sebaliknya mereka menguasai lebih daripada satu bidang. Sekiranya kita membandingkan dengan masyarakat hari ini, boleh kiranya jarang sekali yang memiliki pelbagai kelebihan. Tapi bagi ilmuan Islam mereka mampu menguasai sesuatu bidang ilmu dan menjadi seorang tokoh yang cukup disegani malah dalam pada masa yang sama dapat menguasai bidang lain dengan jayanya. Al Farabi seorang tokoh falsafah, saintist malah seorang ahli muzik. Apa ahli muzik? Persis kata Nyonya Mansor menidakkan anaknya Sabariah bercinta dengan Kasim Selamat.


Al Farabi pemain gambus yang hebat. Petikan gambusnya mampu buat orang yang mendengar ketawa, menangis malah langsung tertidur. Hebat! Bukan mudah bagi seorang pemuzik menyampaikan mesej agar dapat terus sampai terus ke lubuk sanubari. Bukan dengan bahasa manusia, tapi bahasa jiwa. Muzik.Tapi alFarabi membuktikan kemampuannya.Nyata beliau amat kreatif. Seorang saintis dan tokoh falsafah. Itulah kelebihannya. Kreatif itu hadir bersama waktu kelahirannya atau didikan?


Hari ini
Manusia berlumba-lumba mahu jadi cerdik.Ibu bapa galak mahu anaknya mengumpul A sebanyak mungkin. Jangan ada cacat huruf yang melengkung. Semuanya mesti berbucu ke atas. Maka bergegarlah jiwa raga anak mereka bertarung dengan masa, belajar dan terus belajar, bagi menggapai impian dan harapan ibu bapa dan kepuasan, mengumpul A. Menerapkan kekreatifan dalam diri anak, bagaimana pula ya? Maka persoalan ini mesti perlu dijawab segera. Siapa lagi kalau bukan guru yang mesti menjawab tindakan selanjutnya. Aduh Saliha, cikgu pun kena buat kerja ini juga?
Membentuk satu pemikiran kreatif yang dapat menyumbang kepada pembangunan nilai tambah individu. Kerja apa itu? Kerja cikgu tanpa gaji. Perlu dibeban kepada cikgu di sekolah dalam membentuk murid yang kreatif? Ya, sebab tugas cikgu yang sepatutnya mendidik secara holistik. Pastinya menitik beratkan aspek kognitif, jasmani, emosi dan rohani. Tapi kreatif itu datang dari sudut mana pula ya?

Dan Bagiku
Kreatif itu datang dari seorang individu yang berjiwa pendidik, tidak perlu memegang jawatan sebagai seorang guru di sekolah semata-mata, tapi punyai rasa untuk sama membantu melihat insan yang memerlukan untuk sama bangun dan melangkah. Kretif dalam menyampaikan ilmu, menggalak minat insan lain untuk berfiki, pantas kreativii itu akan berbuah dalam laman minda. Jadi lahirlah insan yang bermanfaat dan mampu menongkah kehidupan yang makin mencabar. Pakej yang hampir sempurna, kreatif tapi ikut syariat. Wallahualam.

Friday, July 6, 2012

tujuan dan keperluan

Antara tujuan dan keperluan. Persoalan yang perlu kepada satu pemahaman yang jelas. Terutama dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Sebut fasal duit, jarang sekali orang menolak jika diberi. Sebab duit hari ini merupakan keperluan. Untuk hidup keperluan asasi seperti makan, minum, tempat tinggal merupkan keperluan. Kalau dulu ramai yang menyatakan kereta itu bukan keperluan, tapi kehendak, akan tetapi pada pandangan saya, kereta kini menjadi satu keperluan. Perlu bagi ssebuah keluarga mempunyai kereta bagi memudahkan pergerakan keluarga itu sendiri.
Balik semula kepada persoalan tujuan dan keperluan. Kadang jadi keraguan dalam menyusun frasa ini sama ada meletakkan tujuan terlebih dahulu atau keperluan terlebih dahulu kerana masing-masing punyai nilai dan erti dalam kehidupan kita.
Persoalan untuk saat ini.

Wednesday, July 4, 2012

Bahagian 1: Teropong Alam?


Yang kita belajar
Kaitan kehidupan manusia dengan alam. Maaf ini bukan penulisan desertasi ataupun penulisan akademik yang terangkum di dalamnya fakta dan rujukan buku setebal sejengkal lebih. Tapi ini conteng-conteng penulis tengah malam yang cuma mahu memahat idea, mana tahu boleh diterima. Jika kurang molek, usaha untuk perbaiki. Betul kan?

Semasa sekolah dulu, bila belajar Sains kita mesti terhimpit dengan desakan soalah peperiksaan yang mahukan kita membuat hipotesis. Jadi, bergegarlah puncak otak memikirkan hipotesis eksperimen. Keluarlah ayat keramat...

semakin.............. semakin................

ataupun

jika........... maka.........................

Hah!? Banyak soal pula!
Sebab apa? Di situlah kita nak tunjukkan perkaitan di antara pemboleh ubah yang dimanipulasi dengan pemboleh ubah yang bergerak balas. Senang cakap, bahan yang diuji dengan keputusan kajian. Jadi sama seperti kehidupan. Antara apa yang diambil dan respon Seperti satu hubungan yang cukup kuat.

Hipotesis kehidupan
Allah menjadikan alam ini terdiri daripada manusia, jin, haiwan tumbuhan serta bermacam lagi hidupan. Manusia tak dapat melihat jin. Tapi manusia dapat melihat haiwan dan tumbuhan. Makhluk-makhluk ini diberikan roh dan menjalani kehidupan mereka mengikut aturan yang ditetapkan oleh Pencipta.
Bila sebut perangai dan sifat haiwan, mesti kita akan jadikannya seperti satu perumpamaan. Molek juga kalau saya katakan seperti peribahasa Melayu. Sebab orang Melayu mengambil contoh-contoh alam sebagai perbandingan dan perumpamaan. Unsur alam seperti haiwan dan tumbuhan inilah yang menjadi contoh kepada manusia. Malah dalam al-Quran pun ada memberikan perbandingan manusia dengan binatang ternakan.

Tapi betulkah, kalau makan ikan perangai macam ikan, makan lembu nanti jadi seperti lembu? Musykil pula.. Ada satu kisah di mana seorang lelaki berbual dengan rakannya. " Aku suka makan daging lembu. Sebab itu aku kuat!"
Jawab rakannya, "aku suka makan ikan, tapi samapai sekarang aku tak pandai berenang".
Hmm...
Apa yang saya bawa bukanlah sifat binatang yang akan membentuk kepandaian seseorang. Akan tetapi alam yang terdiri daripada tumbuhan dan haiwan ini memberikan satu petunjuk kepada kita bahawa, apa yang disuakan ke dalam mulut, itulah yang akan menjadi darah daging. Maka sedikit sebanyak ada juga unsur-unsur yang ada aakan memberikan impak kepada perilaku dan tindakan. Bukan kepandaian.
Oleh itu, ada haiwan yang haram dimakan Impak jika memakannya, perilaku dan tabiat akan melekat pada pemakan... Mesti kita tak mahu. Begitu juga bagi sesetengah haiwan yang makruh di makan. Sudah tentu ada keburukannya. Jelas sekali Islam bagi kita panduan dalam memilih makanan ini. Sebab mahu kualiti umatnya terpelihara.

Tumbuhan sebagai penawar
Ada penyakit, mesti ada penawar. Cuma mati yang tiada penawar. Sifat tumbuhan juga menentukan penyakit dan kesesuaian dengan pesakit.. Ahh...bagaimana pula begitu.. Samada perubatan tradisional ataupun moden saling mengakui bahawasanya peranan tumbuhan sebagai penawar. Perubatan Islam juga membuktikan penggunaan tumbuhan dalam perubtan. Tanpa meragui khasiat yang tertentu bagi tumbuhan, ifat pada tumbuhan seperti sama mengiyakan kesesuaian tumbuhan dengan penyakit yang perlu dirawat. Mungkin perlu kepada bukti yang lebih terpeinci..
insyaAllah bersambung

Wednesday, June 20, 2012

Rendah Hati, Terima Teguran


Subhanallah...
Maha besar Allah yang berkuasa ke atas setiap hamba-hambanya. Hebatnya Allah S.W.T bukan?

Mood penggemar kuliah-kuliah di masjid hari ini pasti terarah kepada Israk dan Mikraj. Perjalanan yang diaturkan oleh Allah kepada kekasihnya, Nabi Muhammad S.A.W. Banyak perkara yang kita belajar daripada kisah ini.
Sayangnya ada pula yang membahaskan adakah benar Nabi Muhammad benar-benar di Israkkan yakni diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Siapa lagi kalau bukan golongan musyrikn Mekah. Mengapa? Sebab mereka memang tidak mahu beriman. Mereka menidakkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jadi mereka pun mempersoalkan, bagaimana baginda boleh ke Palestin hanya dalam satu malam sahaja. Oleh itu mereka pun bertanya kepada baginda, bagaimana Masjid al Aqsa?
Nyata Allah S.W.T maha berkuasa. Allah mengilhamkan kepada Nabi Muhammad keadaan Masjid Al-Aqsa. Maka dapatlah baginda menjawab persoalan golongan kafir ini. Tapi mereka tetap tak beriman.Mengapa mereka tak tanya tentang sidratul muntaha? Mereka hanya mahu kepastian berdasarkan apa yang pernah mereka lihat. Itulah sifat musyrikin.
Banyak lagi pengajaran kisah Israk Mikraj ini. Nyata, peristwa ini satu mukjizat serta kelebihan buat baginda sendiri. Di sinilah kayu pengukur keimanan seseoang muslim.
Lazim kita mendengar kisah Israk Mikraj ini. Sampai kepada persoalah, sejauh mana penghayatan kita?
Salah satu pengajaran yang mesti diambil berdasarkan kisah Israk Mikraj ini ialah, bersedia menerima teguran!

Bagaimana?
Setelah nabi Muhamammad menerima anugerah daripada Allah berkenaan tuntutan mendirikan solat 50 waktu, baginda ditegur oleh Nabi Musa. Nabi Musa meminta agar nabi muhammad mempertimbangkan semula peintah tersebut dan mencadaangkannya agar dikurangkan. Nabi Muhammad menerima teguran tersebut dan memnta agar perintah tersebut dikurangkan. Kurang 5 waktu kepada 45, Nabi Musa menegur lagi. Umatnya yang gagah dan kuat tidak mampu melaksankan ibadah, apatah lagi umat Nabi Muhammad yang jauh lebih kecil fizikalnya. Hinggalah perintah solat yang perlu didirikan hanya tinggal lima waktu sahaja. Nabi Musa masih menegur. Namun bagi nabi Muhammad, ini adalah anugerah, dan baginda berasa malu untuk meminta dikurangkan lagi. Benar, kata-kata nabi Musa. sedangkan 5 waktu ini, sukar untuk dijaga, bagaimana mahu kita melakukan 50 waktu.

Nabi Musa menegur penghulu segala Rasul?
Ya, Nabi Muhammad merupkan penghulu segala Rasul. Baginda Rasul terakhir dan bagindalah penutup segala Rasul. Baginda insan yang paling mulia. Tapi Nabi Muhammad tetap menerima teguran dan cadangan Nabi Musa. Tidak sesekali baginda menolak cadangan yang diberikan oleh nabi Musa mentah-mentahan, melainkan setelah waktu solat yang tinggal cuma lima waktu sahaja. Bagaimana pula dengan kita?
Kisah ini wajib, saya ulang sekali lagi WAJIB! Dijadkan sebagai panduan bagi setiap individu terutama insan yang mempunyai jawatan. Tak kira apa posisi mahupun pangkat, sedarlah dan bersedialah untuk ditegur. Merelakan diri ditegur adalah lebih baik daripada membiarkan diri dibelenggu dengan kejahilan. Kesannya, setiap tindakan yang diambil boleh jadi tindakan yang tidak wajar dan menyusahkan.

Mengapa saya beriya-iya sangat?
Sebab saya merupakan seorang muslim dan sekiranya anda juga merupakan seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, pasti sahaja anda mengiyakan kisah Israk dan Mikraj ini bukan. aka tidak dapat tidak, penghayatan setiap inci kisah ini mestilah dipetakan dalam bentangan minda seorang muslim. Hala tuju dan juga panduan berteraskan iman pasti merelakan diri ini senantiasa berada pada tahap rendah diri. Satu perkaitan yang ingin saya jalinkan di sini adalah, kesediaan menerima teguran adalah didorong oleh kerendahan hati, dan sikap merendah diri.

Percayalah!
Percayalah, hebatnya para ulama yang terdahulu atas kelebihan ilmu adalah keranakerendahan diri mereka. Mulianya seorang hartawan di mata pengemis jalanan adalah kerana kerendahan hati untuk membantu.
Percayalah, takkan pangkat yang tinggi itu akan jatuh sekiranya bersikap merendah diri dan sentiasa menerima teguran. Takkan hilang atau punahnya kekuasaan seorang pemerintah andainya ditegur malah akan ditingkatkan dan diteguhkan lagi kedudukan oleh Nya!

Saturday, June 9, 2012

Ajal dan Maut


Sejuk dan nyaman. Mentari yang mendaki langit memancarkan sinarnya. Dicelah-celah naungan pohonan, cahaya itu sampai ke lantai hutan. Tujahan sinar mentari menghentam mata. Perit dan pedih. Hukum alam yang tidak dapat ditolak. Alam saling memerlukan. Kebergantungan tumbuhan hijau pada mentari. Juga isi rimba yang lain. Pepohon hijau perlu pada sinar mentari untuk menjalankan proses fotosintesis. Tanpanya, tumbuhan tidak boleh mendapatkan makanan. Tumbuhan hijau yang membebaskan oksigen memberi kesegaran kepada penghuni rimba. Bakti penghuni rimba kepada tumbuhan sekitar juga, membebaskan karbon dioksida. Sungguh mereka saling memerlukan.

Kebergantungan penghuni rimba sesama mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup juga jangan disangkal. Ada yang jadi mangsa, ada yang jadi mangsa. Adat kuat untuk hidup, dan yang lemah menjadi lauk. Yang makan rumput dimakan yang dimakan daging. Iyulah karnivor. Hidangannya herbivor. Dan sang kancil dalam golongan yang menjadi mangsa. Herbivor. Puak-puak lemah, kecil dan kurang berdaya. Adat menjadi lauk pada si gagah dan kuat. Sesekali jadi buruan manusia. Senjata api yang berbunyi bingit. Senjata panjang yang mengeluarkan butir yang membunuh. Haiwan hutan menjadi buruan. Namun segalanya sudah ditetapkan. Mana mungkin untuk diingkari. Sejak dari zaman terciptanya alam, hidupan saling bergantungan.

“Untuk apa terus hidup kalau ditekan dan menjadi mangsa. Hidup dalam buruan dan tanpa keadilan. Sedangkan kita juga perlukan kepada perlindungan.” Si Tupai haiwan kecil yang merintih.

Mereka saling berpandangan. Mereka? Ayam Hutan, Si Tupai, Sang Kancil juga Pak Landak.

Pintas Ayam Hutan berkata, “Sang Kancil bijak, panjang akal dan banyak muslihat. Mudah untuk menyelamatkan diri. Pak Landak juga kebal, duri-duri dapat jadi benteng pertahanan. Tupai juga pandai lompat-lompat.”.

Jeling kancil, “Aku bukan seperti hikayat nenek moyang. Masa sudah berlalu. Aku bukan mereka.”

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”, cepat sahaja Si Tupai menidakkan pujian Ayam Hutan.

Pak Landak bersuara, “sungguh aku katakan kehidupan kita makin terancam. Sampai bila mahu kekal begini kawan-kawan”.

“Sampai kiamat.”Serentak bersuara.

“Membiarkan diri kita terus terhukum dan dicengkam oleh binatang buas yang bernafsu ganas. Cukuplah hidup ini menderita. Pupus puak dan keturunan aku. Dan aku bimbang tiada lagi keturunan ayam hutan di muka bumi ini.” Si Tupai mencelah.

“Mana kamu tahu. Pasti ada. Kalau bukan di sini, mungkin ada di tempat lain.” Sangkal Pak Landak. Lalu menambah,“Mujur kalau ada, jika tidak?”

Ranting patah. Bunyinya semacam. Bunyinya sekali sahaja. Pantas mereka diam. Bimbang-bimbang pergerakan dan perjumpaan mereka diintip. Saling memerhatikan sekeliling. Suasana yang tadi penuh dengan bicara kini diam seribu bahasa. Ayam Hutan terus duduk. Sang Kancil membongkok., Pak Landak juga bagai mahu menyorok. Semuanya diserang penyakit berjangkit. Trauma yang hadir menikam naluri tubuh kecil. Siri pertumpahan darah yang menyayat hati atas nama hukum hutan kini sedang bermain dalam pentas teater jiwa mereka. Mungkin ini penghujung hayat.

“Hah!”

Suara yang menyergah. Kera Muda. Gelak besar. Terus haiwan-haiwan ini mencuka. Menarik muka masam. Penuh bengang dan geram.

“Apa kau ingat main-main Kera Muda?” Pak Landak diicucuh api kemarahan.

Kera Muda mengelak tuduh, “aku bergurau. Salahkah. Tak gurau tak ceria. Bukan begitu?”

“Begitu salah, begini baru betul”. Si tupai pantas mencubit Kera Muda.

Kera Muda menahan derita. Terpacul soalan darinya “Perbincangan apa kalian di sini? Mesyuarat tergempar atau ada majlis makan-makan?”

“Ya, ada majlis korban. Korban seekor kera yang kurang siuman kepada Pak Belang lapar.” bingkas Ayam Hutan bersuara.

“Bila?” Kera seakan-akan mencabar.

Bagai disentap kesabaran mereka. Cuma Sang Kancil yang mampu bersabar.Kumat kamit Si Tupai menyumpah. Ayam Hutan juga begitu. Pak Landak landak hendak bertindak. Cucuk saja dengan duri..

Persoalan dari Sang Kancil, “Bukankah hari ini ada pesta makan-makan puak engkau kera.? Beruk dan monyet semua ke seberang sungai. Kaata mereka, kalau terus kea rah barat ada kebun manusia di sana. Pisang-pisang bermacam jenis. Buah yangsegar sedang masak ranum. Apa kamu tidak mendapat khabar?”

Tanya Kera Muda, “Bagaimana kamu tahu kancil? Tahu sahaja aku sedang lapar.”

“Firasatku tinggi Kera Muda. Aku dapat melihat sebalik hutan ini. Jangan ditanya ilmu apa.. Untuk ke seberang sungai kamu mesti berjumpa dengan Sang Bedal. Dia akan membawamu ke seberang sungai di sana kamu akan bertemu ajal. Kemudian maut akan menjemput.”

“Menarik!Bagaimana rupa ajal.”, bersemangat Kera Muda bertanya.

“Oh, sukar untuk aku ceritakan. Sang bedal akan ceritakan segalanya. Dia lebih pakar tentang ajal dan maut. Molek engkau bertanya padanya. Engkau masih muda, belum pernah berjumpa ajal. Selepas jumpa ajal baru engkau akan berjumpa dengan maut. Itu yang aku tahu. Kemudian terbanglah kamu ke dunia penuh keindahan.maksudku pesta itu. Hebat bukan?” Kancil menambah.

“Katamu maut akan menjemput. Bagaimana?” bertanya lagi.

“Engkau jangat bimbang. Sebaik maut menjemput engaku akan merasa bahagia. Kehidupanmu akan berubah dan pastinya engkau akan merasakan dirimu seperti di awang-awangan.”Sang Kancil menambah lagi.

Masing-masing berpandangan. Sukar untuk mereka mengerti falsafah tinggi sang kancil. Falsafah haiwan bijak pandai. Falsafah tipu helah penuh muslihat. Falsafah membunuh dalam diam. Falsafah ajal dan maut yang menjemput.

Kera muda disampuk syaitan lapar. Syaitan yang meniupkan nafsu binatangnya untuk memenuhkan perut dengan santapan yang enak. Kera terus berlalu pergi meninggalkan kancil dan haiwan lain. Melompat-lompat riang. Sambil bernyanyi. Dan bertempik

Hoorey!, hoorey!

“Aku mahu bertemu ajal! Maut akan datang jemput. Aku mahu ke pesta, berpesta!. Hoorey!”, mahu seisi hutan mendengar.Lagu ria yang didendangkan kera, nyata mengejutkan penghuni rimba. Pak Belang yang mundar mandir, menahan derita pedih dan lapar tersentak mendengar jerit Kera.

“Haiwan gila. Bimbang berjangkit nanti. Tapi kalau lapar semuanya enak.” Pak belang ketawa sendiri. Hilang selera Pak Belang mahu membaham kera. Riang di hati kera tiada terkira, akhinya sampai juga ke tepi sungai. Tempat yang ingin dituju berada di seberang sana. Kera menjengah, sambil bertenggek di dahan pohon ara. Dia meninjau sekitar sungai. Pantas berfikir, bagaimana mahu ke sana?

Dilihat sekitar sungai. Mahu turun se sungai, Kera tidak pandai berenang. Bimbang lemas di tengah. Pesan Sang Kancil tentang Sang Bedal membuatkan Kera tersenyum. Pasti ajal menunggu. Kera beranikan diri turun ke tepi sungai, sengaja kakinya dihulur menyentuh air.

Tenang air jangan disangka tiada buaya.

Timbul sepasang mata dengan muncung panjang. Memandang tepat ke arah Kera. Tersentak dengan pandangan. Mahu sahaja kera menjerit. Sang Bedal.

Dengan rendah hati dan penuh hormat Kera menyapa.” Wahai tuan yang budiman, bolehkah hamba bertanya?”

Entah mengapa ,Sang Bedal seperti tidak bersedia membaham kera muda. Dibiarkan sahaja kera itu berkata-kata.

“Untuk apa kamu ke mari?”

Dalam gentar ditimpa cuak, soalan membunuh diri yang diajukan.

Bersuara Kera Muda, “Tuan, dalam khabar yang hamba terima, diseberang sungai sana beruk dan monyet berpesta. Makan buah-buah enak. Manis dan ranum. Sungguh hajat hamba mahu juga ke sana. Bersama saudara. Oleh itu besarlah hajat hamba kiranya tuan membawa hamaba ke sana. Bolehlah hamba bertemu ajal. Moga-moga juga maut akan menjemput dan membawa hamba ke sana pula”

Bingung Sang Bedal mendengar. Diam sejenak. Setelah ditafsir sedalam-dalam, akhirnya Sang Bedal mengerti, hidangannya kini berada di hadapan.

Tak pernah haiwan pemangsa sepertinya berbahasa sopan dan tertib. Menyambut permintaan Kera dengan penuh horamt, serta cuba memenuhi permintaannya.

Tanya Sang Bedal, “Mahu hamba bawa tuan ke sana?

“Ya, jika tuan tidak keberatan. Besarlah hajar hamba untuk ke sana. Seandainya maut sudah menunggu pasti itu lebih baik,” menjawab.

“Benar, maut pasti sedang menunggu kamu. Maut itu cepat sifatnya. Jarang mengambil masa yang lama. Tambahan pula tidak mahu maut mengambil masa yang panjang dalam berurusan. Molek benar andai kamu dapat ke sana. Lekas, lekas aku bawakan kamu ke sana.” Pesan Sang Bedal.

Pantas kera melompat ke belakang Ajal. Gembira dalam hatitidak terkira. Mahu menjamu rezeki di seberang. Jangan dilengahkan lagi. Nyata dalam benak Kera tebayang buah psang yang sedang enak dimakan. Buah ceri. Mungkin juga betik yang masak ranum atau tembikal yang sedang bergolek di atas tanah.

Sang Bedal juga apa kurangnya. Dalam pengiraannya Kera Muda ini pasti sahaja manis dagingnya. Sedap dimakan begitu saha, atau boleh disimpan untuk bekal makan malam. Namun sekarang yang perlu difikirkan pula, bagaimana mahu disuakan daging kera ini ke dalam mulutnya. Itu lebih mustahak.

Kera masih lagi dalam mimpi. Meski jasadnya kini benar-benar akan berpisah dengan nyawa. Namun segalanya tetap tidak dapat disedari. Baginya, biarkan mimpi menjadi satu kenyataan, dengan perut diisi dengan buah-buahan yang enak. Berterima kasihlah kepada Sang Kancil. Dari gurau senda, dan hampir dimaki Ayam Hutan, Si Tupai dan Pak Landak, hari ini, Kera Muda akan berpesta.

“Sudah mahu sampai. Naiklah ke tebing sungai,” sopan Sang Bedal di luar kebiasaan.

Lalu bertanya Kera Muda, “Terima kasih tuan. Beruntung hamba dapat bertemu dengan tuan. Tapi di mana maut? Bukankah maut itu sifatnya cepat dan tidak lama menunggu. Ajal juga?”

Sang Bedal memerhati sekeliling. Dibuka mulut seluas-luasnya.Kemudian menutup kembali.

Kera kehairanan, “Mengapa tuan begitu.”

“Ini senaman. Untuk pengetahuan tuan hamba, ajal dan maut sedang menunggu di dalam mulut hamba. Jika tuan sudah sedia boleh hamba khabarkan kepada maut dan tuan dijemput masuk dengan penuh hormat,” terang Sang Bedal

Membuka mulut seluas-luasnya

Kera tanpa teragak-agak mengiayakan sahaja kata-kata ajal. Dijengah kepalanya ke dalam mulut buya. Gigi tajam yang memagar sungguh menyeramkan.

Gelap. Pantas saja Sang Bedal merapatkan mulut. Terpisahlah nyawa dari badan Kera Muda. Bertemu ajal. Bertemu maut yang sebenar.

Mereka memandang dari seberang sungai. Ayam Hutan, Si Tupai, Pak Landak dan Sang Kancil.

Pesan Sang Kancil.“Hukum alam, itu kepastian. Tapi jika nafsu dan kebodohan yang menguasai diri, maka kebinasaan yang menanti”

Semua mengangguk bersetuju.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...