Tuesday, May 4, 2010

Sabun Tahan Mengantuk



"Betul bang, saya tak tipu. Sabun ni betul-betul mujarab." Lelaki itu cuba mempercayakan aku. Aku memerhati lelaki tersebut. Bukan dengan mata hati, tetapi dari sudut pandang yang berbeza. "Taklah hendsome mana." Rungut hatiku.

"Pakainya begini, sapu seluruh muka, tengkuk dan lengan. Lepas tu bilas. InsyaAllah, boleh tahan mengantuk." Tambahnya.

Aku mengamati pembalut sabun itu. Sesekali aku melihat muka penjual sabun yang cuba meraih simpati. "Betul ni?" Aku sekali lagi bertanya.

Medulla Oblongata ku terus bertindak balas atas pertanya yang aku lemparkan. Lantas persoalan yang berlegar dalam saraf otakku cuba diterjemah. Pantas mengalir laluan saraf kemudian diterjemah dalam fonologi bahasa ibunda." Berapa ramai yang sudah tidak tidur setelah menggunakan sabun ini?" Soalan bodoh. Tetapi cukup lengkap pengisiannya. Bahasa yang tepat. Memartabat Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris, meskipun aku bukan guru bahasa. Memenuhi hasrat Menteri Pelajaran hari ini.

Lelaki tersebut tersenyum sinis. You are trying to dogging me. Sangkaku berbisik di dalam hati. Mengungkap persoalan senyum sinis lelaki tersebut. "Ramai". Ringkas sahaja jawapan lelaki tersebut. Disebalik kata-kata yang singkat dan penuh keyakinan tersebut terselit satu panahan membunuh. Lelaki ini sengaja menikam diri sendiri.

Aku tersengih. "Tak mahu beli la. Nanti tak boleh tidur." Meskipun aku tahu dan sudah mencubanya. Memang berkesan. Sabun Tahan Mengantuk bukan sampai tak boleh tidur, tapi lelaki tersebut tidak faham.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...