Thursday, March 24, 2011

Analisis Regresi



Setelah menjalankan tugasan ini, kami memperoleh satu keputusan yang memuaskan. Hal ini kerana, tanggapan kami terhadap jumlah tidak hadir ke kuliah akan mempengaruhi purata mata gred bagi seseorang individu. Nyata, tanggapan kami adalah benar.

Berdasarkan kepada tugasan yang telah dijalankan, kami dapat membuat satu kesimpulan, bahawa jumlah jam tidak hadir ke kuliah yang tinggi akanmenyebabkan purata mata gred bagi seseorang pelajar jatuh. Hubungan ini dibuktikan melalui graf-graf yang telah disediakan.  

Menggunakan jumlah jam tidak hadir sebagai pemboleh ubah yang tidak bersandar dengan menghubungkait pemboleh ubah yang bersandar iaitu purata mata gred, kami dapat membuat satu kesimpulan, sekiranya seseorang pelajar tidak hadir ke kuliah dalam tempoh masa yang panjang ataupun kerap, prestasi pencapaian akademik pelajar tersebut akan merudum.

Sememangnya kehadiran ke kuliah bagi menjalani interaksi pembelajaran dan pengajaran akan memberi kesan terhadap penguasaan dan pemahaman individu. Pelajar menggunakan masa kuliah tersebut untuk memperoleh pengetahuan baru mereka. Malah mereka boleh berinteraksi dengan pensyarah bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka berkenaan topik atau subjek yang dipelajari.

Jelas di sini, sekiranya sesorang pelajar tidak memanfaatkan waktu yang diperuntukkan bagi interaksi kuliah, maka mereka akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menyebabkan mereka cenderung untuk tidak mendapat keputusan yang baik dalam ujian. Oleh itu, setiap pelajar mesti memastikan masa yang diperuntukkan bagi interaksi kuliah dihadiri dan member fokus yang secukupnya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

*Para responden merupakan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam.



Wednesday, March 23, 2011

Bayu yang bertiup...

bayu yang bertiup,menghembus alunan sayang,menyayi lagu rindu,mengutus irama kasih,mengungkap bait cinta dan cita...


bayu yang bertiup,
kirimkan padanya khabar isi hati ini,
yang sentiasa merindui,
yang dari jauh mengagumi,
yang kini menanti.

bayu yang bertiup,
menggoncang pohonan tepian pantai,
namun tegar dalam lambaian,
utuh dan teguh,
menagih harapan Pencipta,
pada cita dan cinta...  

Tuesday, March 22, 2011

Bahasa?

Baru-baru ini saya ke Bangunan Gunasama daerah(tempat pejabat-pejabat jabatan kerajaan persukutuan), kebetulan menguruskan sesuatu urusan. Sementara menunggu giliran nama dipanggil saya tertarik mendengar seorang wanita berbangsa Cina berbual-bual dengan anak kecilnya dalam bahasa Melayu. Mungkin ini bukan sesuatu yang menarik. Ibu ini sekadar memberikan arahan yang ringkas dan berbual dengan anaknya yang pada pemerhatian saya, mungkin anak kecil itu dalam lingkungan lima dan enam tahun sahaja. Anak-anak wanita tersebut juga berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Tidak menggunakan bahasa Ibunda seperti kebiasaannya. Meskipun ada terdapat slanga bahasa Melayu-Cina dalam pertuturan mereka, namun bagi saya inilah usaha yang sangat baik bagi ibu ini. Melihat kepentingan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, wanita ini menitik beratkan komunikasi bahasa Melayu terhadap anak-anak meraka. Mungkin wanita ini seorang guru. Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris. Hanya telahan saya. 

Sebelum itu, pernah saya berbincang dengan seorang guru Bahasa Tamil, di sebuah sekolah. Beliau amat sedih mengenangkan masalah pelajarnya yang gagal menguasai bahasa Melayu yang dipelajari. Meskipun beliau guru bahasa Tamil, namun demikian penekanan terhadap bahasa Melayu juga amat penting. Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Cukuplah arahan yang ringkas dan mudah. Sedikit sebanyak membantu anak-anak ini memahami bahasa Melayu dengan mudah.
Tak kurang juga orang Melayu kita. Boleh dikatakan lemah dalam menguasai bahasa ibunda dengan betul. Bagaimana mahu mempertingkat pemahaman dan menguasai bahasa lain. Seharusnya kita berusaha berusaha menguasai bahasa lain, setidak-tidaknya mampu berbahasa Inggeris. Itulah kita, sekadar cukup apa yang ada.
Beruntung juga kawan-kawan kita dari bangsa Cina dan India. Setidak-tidaknya dapat mempelajari dan berkomunikasi dalam tiga bahasa. Bahasa ibunda mereka, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sedang kita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat berbahasa Arab. Alhamdulillah, malah ada yang mampu menguasai bahasa Tamil dan Cina dengan baik. Sebagai contoh, Dato Seri Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak. Namun boleh saya katakan, jumlah orang Melayu yang sebegitu sangat-sangat sedikit. Seperti dialog P.Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang, kadang-kadang, sedikit-sedikit. Ya, sedikit-sedikit!
Bahasa merupakan suatu kuasa. Menguasai bahasa memberikan suatu aura yang cukup mendalam dan terkesan. Sungguh terkesan! Kenapa?
Orang yang mampu menguasai banyak bahasa bererti berjaya menjalinkan hubungan diplomatik, membina keserasian dan persefahaman seterusnya menghubungkan rangkaian yang luas dengan orang lain. Kerana dapat berkomunikasi dengan baik. 
Pernah sekali saya ke kedai, yang mana pemiliknya berbangsa India. Sengaja saya berkata, “ye paddi yer kanggie (apa khabar)?”. Lantas lelaki itu menjawab dan tersenyum. Panjang pula jawapannya. Seolah-olah ada juga sesuatu yang ingin ditanya kepada saya. Saya menggeleng kepala dan berkata,
 “ maaf pak cik, tu je yang saya tahu”. Gelak besar lelaki separuh usia itu. 
“Boleh belajar lagi, bagus-bagus”.
Ini cerita lama, dan sayang sekali saya pun tidak mempertingkatkatkan kemahiran itu. 
Dalam konteks warga Malaysia hari ini, bertutur dalam bahasa Melayu merupakan satu kemestian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi seterusnya memudahkan pertuturan dan komunikasi masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Sejarah juga membuktikan kuasa hebat bahasa Melayu sebagai Lingua Franca yang memudahkan pertuturan pedagang luar ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Orang luar belajar bahasa kita? Dan kita?
Kita belajar bahasa mereka , Kebaikan itu adalah untuk kita juga.
Saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain sedang saya juga bukanlah arif dalam menguasai bahasa ini sendiri. Hanya segelintir orang yang diberi kelebihan mempunyai kemahiran menguasai bahasa dengan cepat dan cekap. Cuma mengingatkan sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar dan terus belajar.
-Terima kasih awak, banyak tolong saya dalam bahasa Inggeris.Thank you, Muchasgrasias!.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...