Saturday, November 6, 2010

Hari Ini Untuk Esok dan Seterusnya

Untuk mendambakan impian hari esok menjadi kenyataan, kita perlukan hari ini untuk merangkanya. Melihat semalam sebagai sejarah, dan melaksanakannya dengan memandang 1000 tahun ke hadapan!


Impian bukan angan-angan kosong. Impian juga cita-cita. Hal inilah yang mendorong minda bervisi dan bermisi untuk memastikan sesuatu hasrat tercapai. Mana mungkin anak muda hari ini tidak punya sebarang keinginan untuk mendapat sesuatu. Jika tiada, maka sesuatu kerugian yang teramat besar kerana gagal merancang matlamat kehidupan. Hari ini kita yang akan mencorakkan matlamat dan gagasan hari-hari yang akan mendatang. Seorang arkitek pastinya melukis sebuah pelan bangunan yang gah berdiri teguh. Jurutera adalah pelaksana dan pekerja akan saling berganding bahu menjayakannya.

Di mana posisi kita? Baik anda mahupun saya kita pasti akan memenuhi posisi-posisi tersebut. Mahu tidak mahu.Mungkin arkitek atau jurutera. Tapi yang pasti ramai akan menjadi pekerja.

Kita ke arah membina negara yang kini sedang membangun. Hasrat kita melihat negara ini akan menjadi maju bukan sahaja dari aspek fizikal iaitu pembangunan lahiriah, tetapi membangunkan mental dan pemikiran masyarakat mendatang. Pendek kata kita mendidik jiwa dan minda. Kejayaan sesutu tamadun bukan sahaja terletak pada pembangunan lahirah semata-mata. Tetapi aspek pembangunan mentaliti dan rohani perlu dijayakan bersama. Sejarawan barat pastinya mengutamakan pembangunan lahiriah sebagai matlamat ketamadunan. Meskipun ada yang bertentangan pendapat dengannya. Sebagai komuniti Islam, kita perlu mementingkan aspek pembangunan mentaliti dan rohani dalam usaha membangunkan tamadun hari ini.

Ambil pengajaran kaum terdahulu. Mereka bejaya membangunkan satu empayar hebat yang berteraskan kecanggihan teknologi. Buktinya kesan monumen dan artifak yang bisa dilihat sehingga hari ini. Akan tetapi, kegagalan membangunkan pendidikan rohani yang membentuk masyarakat yang harmoni mental dan spiritual mematikan tamadun tersebut. Mereka takjub dan ingkar. Enggan patuh dengan perintah Yang Esa balasannya binasa.

Hari ini, skripnya seolah-olah berulang kembali. Kebejatan sosial melanda umat hari ini. Tidak pasti dialognya, akan tetapi sudah dapat dilihat penceritaannya berulang kembali. Memungkinkan episod baru sebuah filem kehancuran umat. Sedangkan kita hari ini berusaha untuk membina masa depan yang baik. Tetapi usaha tersebut punyai gangguan. Membuatkan binaan kita goyah.

Apapun watak yang dimainkan, pastikan kita mampu membina kesatuan ummah sejagat untuk hari esok dan bakal berdiri kukuh selagi mana mampu bertahan. InsyaAllah, usaha murni ini akan membuahkan hasil.

Andai anda yang menjadi arkitek, pastikan pelan adalah yang terbaik. Sekiranya andalah jurutera, pastikan binaan tersebut menepati piawai dan selamat. Yang pasti, kitalah pekerja yang akan menggerakkannya. Memastikan struktur tapak berdiri kukuh. Merelakan binaan kesatuan ummah berpaksi mentauhidkan Yang Esa. Maka pastinya visi kita bakal tercapai, dengan memandang jauh, jauh ke hadapan!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...