Tuesday, November 30, 2010

Aku Lelaki



“Kau mesti fikir masak-masak Li, ini semua masa depan kau juga”, Ramana bersungguh-sungguh memujuk sahabatnya.
“Kalau aku tak mahu, tak mahulah”.
“Sampai bila?”
“Sampai bila-bila”.
“Gila. Masa depan sendiri, orang lain yang nak kena paksa. Ni masa depan kau juga. Orang lain sanggup, kau…”
“Kau ape?”Jerkah Li.
“Pengecut! Ha ha ha”Derai tawa Ramana menggamatkan perbualan mereka.
Li sugul. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dia asyik memikirkan nasibnya. Rakan-rakannya yang lain semuanya sudah. Sedang dia yang belum. Hari yang berlalu membuatkan dia makin terhimpit. Perasaannya bercampur baur. Benar cakap sahabatnya, Ramana. Meskipun dia tak menempuh, tapi ada benar cakapnya.
“Kau bolehlah, tak kena macam kami”, bidas Li.
“Dah memang nasib kau” Ramana membalas.
“Dah memang nasib kau, dah memang nasib kau, dah memang nasib kau…”. Terngiang-ngiang ayat tersebut sepanjang langkah disusun menuju ke rumah. 
Dalam usia yang sebegitu muda. Sanggup aku korbankan. Gila, mereka tak fikir semuanya. Aku yang menanggung semuanya.
“Orang lain boleh, kau tak boleh pula. Jangan mengada-ngada. Keputusan ayah muktamad. Cuti ni ayah nak semuanya selesai.” tegas. 
Siapa lagi kalau bukan ayah. Semua anak-anak ayah tak berani membantah. Baik Kak Long, Kak Ngah.Adik-adik apatah lagi. Semuanya menikus. Ayah memang garang. Itu tanggapan Li. Pernah dilibasnya budak Li sampai melolong-lolong. Sebab, Li buat bising dekat masjid semasa khatib membaca khutbah. Trauma, banyak lagi sebab musababnya. Tapi kalau dengan orang lain, ayah cukup baik. 
Li termenung sendirian. Berseorangan di muka pintu. Dilihatnya sekeliling. Sunyi. Ke mana yang lain?
“Li!”
Suara emak memanggilnya. “Cepat-cepat siap. Kita ke hospital.”
Kaget. Di dalam mindanya terbayang hospital yang tidak jauh di Bandar. Terbayang simpang jalan untuk masuk ke hospital. Lamunannya jadi haru bila terbayangkan wajah-wajah penuh sesak di hadapan unit kecemasan dan trauma. Sesekali terimbas, rumah mayat di bahagian belakang hospital. Igauan itu terhenti apabila beliau terbayangkan bilik bedah. Kenapa bilik bedah?
Kedengaran bunyi kereta Proton Iswara 1.35 berwarna putih. Ayah. 
“Cepat Li, mak kau mana?”
“Ke mana yah?”
Tiada jawapan sebaliknya arahan.
“Bagitahu mak, cepat sikit kita ke hospital, emergency!”
Emak lekas-lekas menutup pintu. Melangkah pergi meninggalkan rumah. Kak Long, kak Ngah dan dua adiknya semua di hospital, itu sahaja pesan ayah. Mereka tunggu di sana. Sepanjang perjalanan, semuanya diam. Li jadi bingung. Seolah-olah malang sedang berlaku atau menunggu. Apa celaka menimpanya?Apa bala pula?
 Tepat sepertimanaapa yang dibayangnya. Tapi mengapa kita di bilik bedah?
Semua menanti di sana. Raut wajah biasa-biasa sahaja. Seperti tiada apa-apa.
“Ahmad Fadli bin Abdul Rahim”, jurarawat memanggil.
Li menggigil. Namanya dipanggil. Kini dia faham. Segalanya berakhir. Ayah mengotakan janji. Manakala Li…
Skrin matanya memancar fantasi gila. Sepanjang langkah menuju masuk bilik bedah yang gelap gelita, tergambar imaginasi yang tidak munasabah. Pisau belati, gunting, segala macam alat untuk memotong. Ada yang kata guna pemotong kayu, ketam kayu pun ada. Sebab nak bagi cepat siap. Sepintas lalu Li teringat kata-kata Abang Sidi, “Li, nanti sebelum potong tu bagitahu pada doktor, yang kau nak jadi lelaki. Inilah masanya, kau akan kekal jadi lelaki atau perempuan. Kalau potong habis, tukar namalah lepas ni. Fadli jadi Fadilah. Tak pun jadi Faridah, Fa, Fa... macam-macam Fa yang boleh jadi. Hahahahaha”
Tergelak besar Abang Sidi waktu itu. Li nekad, mesti mengekalkan kelakiannya. Aku lelaki. Inilah masanya, jati diri seorang budak lelaki menuju alam dewasa. Di depannya terbayang wajah-wajah rakan yang acap kali mnegusiknya. Lebih-lebih lagi Ramana. Aku sahut cabaran kau!
“Doktor, saya nak jadi lelaki. Jangan potong habis ya”, pinta Li.
Tersenyum Dr. Zainal memandang anak kecil itu.
“Ish, tak penah orang masuk jawi jadi perempuan”, jelas Dr. Zainal.
Li merebahkan badan. Beberapa mata tertumpu ke arahnya. Li diam. Dalam dadanya penuh debar. Tiada apa mampu diucap. Sekadar mengucap, disusul Surah Al-Fatihah, tiga qul dan ayat kursiy. Debarannya membuatkan ayat yang dibaca bersimpang siur jadinya.  
 Saaaaakiiiiiittt!!!!!
Jeritan yang memecah kesunyian bilik bedah. Sayup-sayup suara Li kedengaran. Ayah menggeleng kepala. Maknya tersenyum. Anak-anak ayah yang lain cuba menahan tawa. 
Li keluar. Melangkah kengkang. Menahan pedih. Tangannya memegang hujung kain. Semua tersenyum. Li masih lagi Ahmad Fadli bin Abdul Rahim. Seorang lelaki!
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...