Friday, June 10, 2011

Musalman vs S. Ma'rof

Maka peninglah kepala Musalman memikir soalan teka-teki gila S.Ma'rof. Mahu tak mahu, perlu Musalman melangsaikan hutangnya tersebut. Hikayat demi hikayat menjawab teka teki tak pernah Musalman tewas. Inikan pula dengan si S. Ma'rof. Bukanlah apa, jika dikira zaman sekolah-sekolah dulu, Musalman adalah yang paling bijak dalam kelas. Dibandingkan dengan S. Ma'rof yang hanya sekadar reti menyanyi lagu Ada Sang Ulat Bulu. Itu pun puas diajar mengeja oleh cikgu Ghani, yang juga cikgu pengakap.. Tapi itu zaman 70an dulu. Memang S. Ma'rof dungu.Dahla dungu, selalu pula duduk di luar kelas.

Tapi hari ini S. Ma'rof betol-betul mencabar kejantanan Musalman. Musalman bukan sahaja dilabelkan sebagai jejaka genius di Kampung Beruang Kaya malah diangkat sebagai sumber rujukan anak muda malahan orang tua di kampung itu. Jasa Musalmanlah cerucuk di tepi tebing sungai ditanam buat penghadang air bah.Banyak lagi kalu nak diungkit, cuma Musalman ini bukan orang yang kuat mengangkat bakul sendiri. Tapi pantang dibodek, kembanglah hidungnya seluas serombong kapal.


"Binatang apa yang banyak ikut orang lelaki pergi ke masjid? Jawab Man.Hahahaha.Temu Jumaat dekat ni bagi jawapan...",gelak besar S. Ma'rof lepas bertanya Musalman.

Seolah-olah menghentam kotak minda Musalman soalan teka teki itu.

Berkerutlah dahi Musalman. Dipicit-picit, diurut -urut tak juga kendur. Sebaliknya terus berkerut. Celik, pejam, bangun, tidur, pening kepala Musalman memikir jawapan.

Mahu sahaja diseterika dahi Musalman. Biar hilang kedutnya.

"Binatang...ikut orang lelaki.... pergi ke masjid...????"

Itulah yang dizikirkan Musalaman. Dari binatang berkaki empat sampailah berkaki dua, juga tak berkaki berkurung dalam kotak pemikirannya.

Halal ke haram. Semuanya melompat lompat dalam minda Musalman. Hendak dituduh S. Ma'rof gila memberi soalan sedemikian rupa bukanlah sifat Musalman.

Malam demi malam, Musalman ke masjid. Dalam diam dia memerhati sekeliling. Meninjau kot binatang yang datang mengikut. Hendak ditanya pada orang lain, segan lagi malu. Bimbang orang yang mendengar rasa berbulu tengkuk.

Hari Jumaat menjengah. Musalman diburu cuak.

Musalman bersandar di tepi pintu masjid. Termenung, murung, bingung...

Takdir yang Esa menentukan segala-galanya. Masuklah hamba-hamba Allah menanti khatib berkhutbah. Rata-rata ahli sunat dan Jumaat. Maka terpandanglah akan dia...

Tersenyum, senyum, senyum...

"S. Ma'rof,aku tahu jawabnya....Gajah Duduk!"

Mencebik bibir S. Ma'rof. Memang betul Musalman genius!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...