Tuesday, August 14, 2012

Detektif Ramadhan



Aku jumpa bungkusan makanan. Belakang bengkel sana. Kata Izham sambil tangannya di tunjuk ke arah belakang bengkel kemahiran hidup. Mulutnya sedikit dimuncungkan.
Jufri bersuara, “siapa yang tak puasa ni? Tak tahu dosa..”
“Jom kita bagi tahu ustaz Ramli. Dia guru disiplin.” Cadang Fadhli.
“Jangan. Aku rasa lebih baik kita siasat”, Izham pintas memotong kata.
“Kita?” Serentak nada hairan terpacul dari mulut Fadli dan Jufri.
“Siapa?”. Serentak lagi mereka bersuara.
“Engkau aku, dan Fadhli” , terang Izham.
“Tak kuasa aku. Buat letih saja.Aku malas. Kalau kamu mahu pergi, pergilah. Aku tak kisah”, Jufri member alas an.
“Kalau kita tak siasat tak tahu siapa yang tak puasa. Ini tanggungjawab kita.”. kata Izham.
Fadhli hanya mengangguk. Izham betul-betul bersemangat kali ini.
“Pengawas sekolah sahaja. Bukan jabatan hal ehwal agama. Kenapa kita pula yang mesti beriya-iya.” Jufri sekali lagi member alas an. Jufr yakin alasannya kali ini lebih kukuh dan munasabah.
“Engkau mahu ikut atau tidak?” Pertanyaan Fadli buat Jufri tersentak.
“Baiklah aku ikut. Jawapan Jufri seperti terdesak. Memaksa diri mengikut kehendak rakannya. Merelakan sahaja kehendak dua rakan baiknya. “Apa kita perlu buat?”
“Jom pergi semula ke tempat sana”. Izham mengajak kedua-dua orang rakannya itu. Izham sekali lagi menunjukkan jari telunjuknya ke arah belakang bengkel kemahiran hidup. Mereka melangkah pergi menuju belakang bengkel sana. Dalam hati mereka terbit rasa debar dan sangsi. Misteri yang perlu dirungkai. Jalan penyiasatan terbentang. Perlu dipacu langkah segera.
Tiada apa yang pelik. Semuanya seperti biasa. Bengkel kemahiran hidup yang terletak di bahagian belakang sekolah kampung itu. Berhampiran dengannya ada pohon rambutan.
“Kau tengok, tiada apa-apa. Kau syak wasangka sahaja. Mahu tuduh sesiapa?” Jufri bersuara.
“Sekarang ini tiada sesiapa. Hanya kita saja. Aku bukan menuduh kawan. Tapi ada yang tak puasa. Bayangkan kalau ada orang lain yang tahu. Malu sekolah kita.” Izham mempertahankan tindakannya.
“Siapa lagi yang tahu?” Jufri kembali bertanya. Izham menggaru-garu kepala.” Ah, sesiapa saja.”
Dibiarkan Fadhli terpusing-pusing di situ berseorangan. Jufri duduk. Merungut seorang diri. “Tak jumpa apa-apa kan? “Kita tengok esok sahajalah. Mana tahu ada jumpa sebarang bukti.
“Aku tak puas hati. Kita mesti selesaikan kes ini. Lebih baik kita cegah sebelum lebih parah.”
“Wah, bersemangat kamu Izham! Kalau kes ini selesai aku bayar dua puluh sen.” Jufri berseloroh.
“Dua puluh sen sahaja?”
“Eh, dua puluh percent!” Jufri membetulkan kata. Dua jari dianggkat. Tersengih-sengih Jufri, macam kerang busuk.
Selesai solat tarawih. Mereka berjumpa. Merancang strategi. Memasang perangkap. Dengan harapan serta matlamat. Mereka yakin benar usaha mereka ini akan membuahkan hasil. Jika berjaya, mereka dapat mengharumkan nama badan pengawas.
“Ingat, esok kita bersedia.”
“Kalau kita jumpa, mahu kita tangkap terus?”
“Tak perlu. Kita akan pastikan dulu suspek in betul-betul bersalah. Untuk tangkap suspek kita akan ajak Ustaz Ramli!” Tegas Izham memberi penerangan.
“Wah makin menarik aktiviti kita ni. Macam cerita detektif pula. Ada siasatan, ada suspek ada tangkap-tangkap! Cuma tiada pistol. Kalau ada kan seronok. Boleh tembak macam ni.” Jari Jufri di acu ke arah Fadhli seperti mahu menembak.
“Beng, beng!” Jufri meniup hujung jari. Meskipun tiada asap. Pistol alam ria kanak-kanak.
“Kau jangan nak berangan. Nanti aku beng engkau baru tahu,” Fadhli menarik muka.
“Kita nak selesaikan masalah, sekrang nak buat masalah lagi. Ingat, esok seperti yang dirancang!”. Izham meninggikan suara.
“Baik bos!” Fadhli dan Jufri lekas memberi tabik hormat. Tabik ahli pengakap kanak-kanak. Hari esok seperti satu debaran. Dalam masa yang sama satu penantian. Mereka seperti tidak sabar-sabar lagi.
Seperti yang dirancang. Mereka menanti waktu rehat. Loceng yang berdering. Isyarat penting bagi mereka. Jufri, Izham dan Fadhli. Mereka bertiga sekelas. Memang mereka sekepala dari dahulu. Di sekolah itu mereka cukup popular. Ke mana sahaja, mereka bertiga mesti bersama. Tak lengkap kalau salah seorang yang terpisah.
“Cepat Jufri! Kau selalu lambat. Badan besar sangat. Sebab itu pemalas.” Fadhli mengusik.
“Perlahan sikit sebut besar. Aku bukan besar. Aku comel. Habis puasa tahun ni kuruslah aku.” Jufri termengah-mengah mengejar Fadhli dan Izham. Izham di depan sekali. Mereka seperti mahu mengejar sesuatu. Mengejar orang yang tak berpuasa. Bagi mereka, kejahatan perlu dibendung segera! Ayuh pasukan penyiasat!
Izham sampai dahulu. Sedikit kecewa. Disangkanya dia yang lebih pantas, rupanya tidak sama sekali. Suspek jauh lebih licik. Yang tinggal cuma bungkusan makan. Sisa makanan bersepah. Tulang-tulang ikan seperti bertaburan.
“Aduh, lepas pula.” Rungut Izham.
Fadhli sampai kemudian. Jufri yang tercicir tadi baru nampak batang hidungnya.
Ini semua salah kau. Lambat sangat. Fadli memandang Jufri.
Budak berbadan gempal tunduk. Mengah.
“Aku pula yang salah!”. Jufri mahu duduk. Dalam mindanya terbayang air sirap limau dengan ais. Pasti dapat meneygarkan tekak yang kering. Silap besar baginya. Merelakan tubuh gempalnya berlari mengejar jaguh pecut yang lain. Akibatnya dia yang merana. Sekali lagi mindanya terarah pada segelas air sirap limau atau air tebu sejuk seperti yang diperolehnya semalam. Aduh keringnya tekak!hilang bayangan air tebu serta air sirap limau ais, bila terpandang seseorang. Jabir! Budak yang lebih besar daripadanya. Lebih besar dan lebih berat daripadanya. Keluar daripada tandas berhampiran bengkel kemahiran hidup. Tangannya basah. Sangka Jufri, mungkin dia orangnya. Jabir sedikit terkejut melihat Jufri. Jabir mengatur langkah, segera melepaskan pandangan.
Fadhli juga Nampak jabir. Izham mendapatkan teman-temannya. Aku nampak apa yang kamu berdua nampak. Suspek dikenali!
“Apa patut kita buat?”
Loceng sekali lagi berdering. Berakhir waktu rehat. Selepas ini waktu kelas pendidikan Islam. Kelas Ustaz Ramli. Ustaz yang tegas. Memang layak menjadi guru disiplin.
“Baiklah, ustaz nak tanya, siapa yang puasa hari ini, angkat tangan.”
Semua ahli kelas Lima Anggerik angkat tangan. Izham, Fadhli angkat tangan. Jufri yang tadi penat bercampur mengah pantas juga angkat tangan. Penatnya kini sedikit hilang. Bayu kipas yang bertiup sangat menyegarkan.
Mata mereka terarah kepada Jabir yang turut mengangkat tangan. Tinggi. Semacam satu persoalan yang mahu menikam. Nyata pandangan enam mata seakan mahu menikam terus tubuh gempal Jabir. Kaget Jabir bila dipandang sebegitu. Apa dosa yang dibikinnya hingga dipandang sebegitu rupa. Apa dia sudah buat silap besar. Semangatnya mengangkat tangan jadi pudar. Jabir segera jatuhkan tangan. Tundukkan muka. Rahayu yang duduk di sebelahnya seakan sedar. Tapi Rahayu tak kisah.
Seakan geram dan mahu menjerit sekuat hati, Izham, ketua pasukan penyiasat mahu sahaja menjerit, bagi tahu seisi kelas, Jabir tak puasa. Namun jeritan itu hanya bergema dalam dirinya sahaja.
Usai kelas pendidikan Islam. Usai salam, Ustaz Ramli melangkah keluar. Tujuh langkah meninggalkan kelas, terus hingar binger. Bagai pasar riuh rendahnya. Tiga sahabat, laju meluru. Mengejar dan mendapatkan Ustaz Ramli.
Paduan tiga suara, “ustaz, tunggu kami!”
Bahang panas yang memeritkan.
Ustaz Ramli menoleh ke belakang. Tiga budak mengekorinya.
“Ustaz ada orang tak puasa!” Izham bersuara.
“Maksud kamu?”
“ Ada orang makan”, bersahaja jawapan Fadhli. Jufri, mempula membetulkan seluar yang terlondeh.
“ Kamu nampak sendiri yang orang tu tak puasa, atau kamu main tuduh sahaja?” soal Ustaz Ramli bersahaja.
Masing-masIng tunduk, menggoyangkan kaki. Jufri masih membetulkan seluarnya. Ditarik tali pinggang supaya betul pada tempatnya. Baru segak, puji dirinya sendiri. Tapi persoalan Ustaz Ramli juga buat Jufri sedikit tersentak.
“Kami tak nampak, tapi kami tahu siapa, kami jumpa”, jelas Izham.
“Tak nampak, tapi tahu siapa,. Pelik sungguh. Apa yang kamu jumpa?” soal Ustaz Ramli lagi, mahu cari kepastian
“ Bungkusan makanan. Kami nampak... Jabir. Jabir makan belakang bengkel sana”, hanya Izham yang bersuara.
“Saya bukan tak percaya kamu, tapi... beginilah, lebih baik kamu buktikan terlebih dahulu. Baru jumpa saya”, tenang sahaja Ustaz Ramli.
Tiga sahabat berpandangan. Terbit rasa hampa.
“Esok ada lagi, kita tangkap Jabir!” perintah Izham.
“Baik tuan!”
Kali ini mereka keluar lebih awal. Mereka mahu tangkap Jabir. Mereka mahu Ustaz Ramli benar-benar percaya. Mahu buktikan kebenaran berada mereka. Mahu bagitahu mereka penyiasat. Ya, persis detektif.
Mereka berselindung di sebalik kerusi dan meja lama yang tersusun berhampiran bengkel. Tiba saat yang ditunggu. Benar Jabir datang ke situ. Jabir bawa bungkusan. Izham tak mahu terus terburu-buru. Izham mahu Jabir menyuap makanan ke dalam mulu. Dan mereka akan terus bertindak.
“ kau tengok, Jabir tertunduk-tunduk. Dia nakpastikan tiada orang. Kemudia dia ngapla...”, Fadhli berkata kepada Jufri.
“ Hish, diamlah”, sambil jari telunjuk diletakkan di mulut. Jufri membantah.
Izham memandang rakannya. Tajam. Dahinya berkerut.Jufri dan Fadhli, terkedu.
Kali ini Jabir membuka bungkusan makanan. Sekali lagi matanya meliar. Jabi seperti mencari sesuatu. Dan akhirnnya, seekor kucing menghampiri Jabir. Kucing kudung. Tompok-tompok badannya. Bungkusan itu untuk makanan. Untuk kucing cacat itu.
Masing-masung berpandangan sesama sendiri. Jufri bersuara, “entah-entah Jabir makan sama-sama dengan kucing tu”.
Izham tunduk malu. Timbul sesal dalam dirinya. Menuduh jabir tanpa usul periksa. Malu mahu berhadapan dengan Ustaz Ramli lagi. Mereka hanya memerhati Jabir. Kucing kudung itu diusapnya. Kucing kudung yang tiada siapa peduli. Kehadirannya di sekolah itu hanya penghinaan untuknya. Mujur ada Jabir. Ramadhan ini belas untuk kucing kudung. Terima kasih Jabir.
“Apa lagi tuan? Apa tindakan kita?” Fadhli bertanya.
“Siasatan berakhir. Kes ditutup!”


1 comment:

  1. Wah! Dah boleh buat antologi sendiri macam ni. Himpunan cerpen-cerpen karya Ainfayafa. Teruskan menulis. =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...