Saturday, July 21, 2012

Ramadhan: Istirehat atau isteri rehat?





Satu Ramadhan empat belas tiga puluh tiga hijrah. Umat Islam di Malaysia memulakan ibadah puasa. Alhamdulillah, awal-awal Ramadhan ini saat semangat sedang berkobar-kobar. Alhamdulillah, penuh masjid dan surau malam tadi sebab orang bertarawikh. Maka, tentatif kehidupan kita akan diisi dengan satu bulan yang di dalamnya terkandung dengan keberkatan. Ramadhan ini di awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.

Ramadhan bulan bercuti? Maksudnya? Seringkali kita dengar, ada sesetengah orang yang merungut, "letihlah puasa". Jadi dengan alasan berpuasa kerja itu tak mahu buat, kerja ini tak mahu sentuh. Akhirnya, duduk, menung dan terlopong. Ke mana perginya? Tidur. Kesudahannya banyak sangat tidur, kurang produktiviti kerja bulan puasa. Produk yang terhasil ialah peta di bantal. Itulah hala tuju Ramadhan. Mahu yang macam mana lagi?

Maaf cakap, mungkin tuan-tuan tak setuju. Oleh kerana ada ruang kebebasan bersuara, saya tetap mahu cakap juga! Puasa tak halang seseorang untuk bekerja. Yang berhenti bekerja sekejap ialah perut kita. Asyik-asyik buka kilang untuk proses itu ini. Hadamkan makanan, menyerap zat, sampailah proses penyahtinjaan. Bagilah perut tu rehat pula. Tuan empunya badan, jalankan kerja seperti biasa!

Menurut Haji Kahar (Rasul Melayu), puasa bereti berpuas-puasan. Hah, ini pendapat apa? Sekadar selingan, pendapat dari seorong individu yang telah difatwakan membawa ajaran sesat. Berpuas-puasan menurut hawa nafsu. Umum tahu, syaitan dirantai bila masuk bulan Ramadhan, tapi nafsu tidak. Oleh yang demikian, tanggungjawab syaitan dibereskan oleh sang nafsu. Maka nafsulah yang menghembus-hembus keinginan manusia untuk dipuaskan dalam bulan ini. Nak itu, nak ini. Kalau ke bazar Ramadhan, mungkin tak cukup tangan bawa makanan yang dibeli. Duit orang, bukan duit kita. Jadi, apa aku kesah! Habis ke makan banyak-banyak tu? Apa aku kesah! Bazar jadi bazir. Tak salah berbelanja cuma berpada-pada.

Ramadhan juga patut jadi peluang dalam mendidik anak-anak mengenal erti puasa. Kalau tak dapat sepenuh hari, dapat separuh hari. Tak dapat separuh hari, dapat suku hari. Tak dapat suku hari, tak dapat den nak menolong. Setidak-tidaknya, anak-anak kita dapat belajar sesuatu. Sesekali bagi hadiah sebab berpuasa tak menjadi masalah. Peringkat ini, mereka perlu galakan. Tapi sampai bila? Sebab itu perlu diberi pengetahuan yang sewajarnya, sebab apa umat Islam wajib berpuasa, lama-lama anak itu akan mengerti.

Yang beruntung bulan puasa ialah isteri-isteri. Sebab tak perlu masak tengah hari. Berbuka puasa, beli saja di bazar. Oh, tidak sama sekali! Itu jawapan sesetengah isteri yang komited dengan tanggungjawab mereka. Air tangan mereka wajib. Istimewa untuk suami dan anak-anak. Maknanya, isteri tak rehat?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...