Wednesday, December 12, 2012

Durian Dan Erti Sebuah Keberanian

Iyuuu...bedebuk!
Bunyi durian gugur. Jatuh tak jauh di belakang. Kalau jatuh tepat atas kepala? Boleh berlubang rasanya. 
Persoalan bila pagi-pagi makan durian di rumah bersama-sama teman serumah pagi tadi. Mengapa durian ada duri? Saya bagi jawapan yang tak seberapa logik. Supaya bila jatuh terus melekat di atas tanah. Sebenarnya tak tahu. Hakikatnya tak juga. Sebab kalau durian yang di tanam di lereng bukit, mesti akan bergolek. Tunggu di bawah bukit saja kemudian kutip. 


Antara durian yang jatuh ke tanah dengan letupan senapang yang menggegarkan,mana satu yang lebih mengejutkan? Realitinya, bila berada dalam keadaan tak berjaga-jaga dan kemudiannya tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat begitu mesti terkejut. Bohonglah kalau tak terkejut! Sambil buat muka tak kisah tanpa sebarang reaksi. Hanya orang yang pekak sahaja  yang tahan bunyi letup. Betul kata bidalan, yang buta datang bertongkat, yang capek datang berensot, yang kurap membawa buluh,yang pekak membakar meriam. 



Bagi yang sempurna, patutnya bersyukur. Sebab yang normal, bila terdengar begitu, sudah pasti terkejut. Tandanya alat pendengaran  masih sempurna. Dapat dengar ayat-ayat Allah. Dapat dengar nasihat dan teguran. Dapat hayati keindahan kicauan unggas dan hidupan ciptaan Allah. Tapi yang biasanya, bila terkejut, pastinya melatah tak tentu hal. Hilang kiblat bicara, hilang sopan bahasa. Habis dicarutnya. Yang tak patut disebut, lancar dicakap, yang tak patut diucap, terus diluah. Bila terkejut ada yang cakap "terkejut beruk". Bayangkan, beruk yang terkejut! Bagaimana rupanya ya? 



Entah-entah, boleh jadi, beruk tak terkejut, tapi kesan sampingan orang yang mendengar lebih teruk daripada beruk. Beruk juga yang jadi mangsa! Mana tidaknya, bunyi yang berdentum menyebabkan perasaan bagai dihentak, jantung bergegar, dan nafas bagai terhenti. Melampaunya!



Hakikatnya bila mendengar durian yang jatuh ke tanah, ertinya, satu rezeki kurniaan Allah sudah sampai. Segera dapatkannya. Memandangkan kini musim durian, pasaran durian yang dilihat sepi dan diniagakan sedikit lembab akibat lebihan pengeluaran durian, telah menyebabkan harga durian jatuh mendadak. Membuatkan para pemilik durian berasa semangat untuk mengutip durian itu jadi pudar. 



Beza bukan? Dentuman yang kuat dan mengejutkan itu rezeki di sini. Kalau letupan senapang di kebun-kebun itu tak lain tujuannya adalah untuk mengahalau musuh. Tapi lain ertinya di Gaza sana. Bunyi letup senapang, ledakan meriam itu ertinya berhadapan dengan musuh. Yang diperangi adalah musuh-musuh Tuhan. Bagi mereka, barangkali sudah masak benar.  Barangkali mereka sudah bersedia mengahadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Merelakan setiap nyawa yang lahir dan tumbuh membesar di tanah itu akan membesar kemudiannya mengangkat panji-panji mempertahankan tanah air, mempertahankan kesucian Islam. 



Refleksi: Beranikah kita? Kalau durian yang jatuh pun dah sibuk terkejut. Dengar bunyi senapang terus melatah. Mampu jadi seperti mereka? Ya Allah kurniakan kekuatan kepada saudara-saudara kami di Palestine. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...