Friday, December 3, 2010

Kepada Anak Derhaka: Lari Dari Rumah.


Dasar tak kenang budi. Kurang ajar. Tak hormat. Pentingkan diri. Ikutkan nafsu. Jiwa muda konon…Darah muda katakan… Bukan itu caranya. Bukan itu langkahnya. Silap sendiri, protes orang tua. Orang sayangkan dia , sedangkan dia dasar tidak sedar diuntung. Pendek akal, ambil keputusan lari. Lari dari rumah.

Hoi… anak tak sedar diri! Kalau engkau yang membaca, rasakanlah! Kalau engkau jiwa yang memberontak fikirkanlah. Tak mahu berkias cakap, berlapik kata sebab, kias cakap, lapik kata untuk orang yang mahu berfikir panjang. Orang Melayu berkias kata sebab memang Melayu itu beradab lagi beradat, bertunjangkan syariat. Sedang kau… adab biadap, adat tak lekat, syariat kau sekat. Kau memang kurang ajar. Dihantar kau ke sekolah biar tahu ilmu. Tahu itu tulis baca. Tahu apa sifir kira. Tapi kau. Kecil kau ditatang, besar kau menentang. Dasar tak sedar diuntung. 

Besar kepala, kepala batu…itu buat kau anak kurang ajar! Tak tahu mengapa, semakin hari banyak cerita yang tak manis didengar. Ya, berita anak lari dari rumah. Cukup memeningkan kepala. Tidakkah kau berfikir betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu yang melahirkan engkau. Titik peluh bapa yang memberi sesuap nasi kepada engkau agar tidak terus berlapar, sedang kau derhaka. Setiap langkah meninggalkan rumah bukti nafsu amarahmu yang memuncak. 

Tepu sudah telinga mendengar alasan, bicara lari dari rumah kerana kurang kasih sayang. Kurang bimbingan agama. Masalah keluarga serta kesempitan hidup. Tapi kali ini tumpukan pada diri anak remaja itu sendiri. Waktu ini semangat yang penuh kobar diiring nafsu yang memuncak memungkinkan segalanya terjadi. Memungkinkan kebarangkalian sesuatu yang buruk terjadi. Siapa sangka. Anak muda sukar dijangka. Hati yang keras. Dibisik lagi hasutan syaitan untuk terus derhaka.

Selagi terus derhaka, takkan dihidu olehmu wangian syurga. Tiada pintu yang terbuka untukmu masuk ke dalamnya. Sebab engkau derhaka. Engkau membiarkan dirimu terus leka dengan tuntutan diri yang belum pasti. Sedang hati kedua orang tuamu memikirkan akan untung nasibmu. Punya peluang bahagia atau celaka. Egomu memuncak menggila. Mereka punya pengalaman seribu kali darimu. Sedangkan, dirimu baru sahaja mengenal dunia. Belasan tahun menjadi manusia, belum tentu berjiwa manusia.Mereka bimbang celaka menantimu di hadapan sana. Benar, malang tidak berbau. Tapi, kalau tiket malang yang kau tempah dengan langkah amarah pasti bala bencana menimpa.

Bimbang pulangmu semula ke rumah membawa celaka. Sesalmu pasti menggila. Terasa diri tiada maruah. Yang dara hilang daranya, mengusung perut membusung. Yang teruna tiada berguna, terhegeh-hegeh jadi penagih. Cukuplah…Moga kau sedar! 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...