Saturday, July 9, 2011

Episod 3, Parlimen Rimba: Bisa Ulat Bulu


Dari pokok ke pokok , Monki melompat. Dengan perintah kononnya. Belang dari jauh tersenyum. Mahu menjadi ketua di rimba. Sedang dia tidak sedar, seisi rimba itu belum tentu suka padanya. Belum pasti kekuasaannya tahap mana.

Monki si monyet menjerit jerit, "wahai penghuni rimba, mahukah kamu tahu. Aku ini pembawa utusan. Aku nak bagi tahu semua, yang belang menabalkan dirinya sebagai ketua rimba.

Tupai yang tunduk mendongak hairan, kancil terkedu tak lalu makan, gajah bertempik membunyi semboyan.Berkumpul seisi rimba menghampiri Monki. Monki monyet yang kononnya pembawa utusan.

Rusa, tapir, kancil, tikus, biawak, ayam hutan, ular, dan semuanya ada. Bagai tidak percaya mendengar berita. Berita hairan.

"Apa kau ini tali barut Belang kah Monki?" tanya Filun. Filun ialah seekor gajah. Dalam kalangan gajah dialah yang paling penyabar. Apabila ada gajah naik minyak bergaduh sesama sendiri, dialah yang menenangkannya. Tapi kali ini solannya seolah-olah Filun naik minyak.

"Aku bukan tali barut. Tapi aku ni utusan. Nak bagi tahu kalian semua, yang Belang kini ketua kita".

"Apa kau gila, tiada angin ribut, taufan melayang, tiba-tiba Belang melantik diri sendiri menjadi ketua rimba", Filun membantah.

"Betul juga, tiada perjumpaan dibuat, tiba-tiba gila kuasa!"tambah Rossi sang rusa.

"Kalian mesti fikir baik-baik. Hidup di hutan ini perlu kepada satu kepimpinan. Supaya hidup kita teratur. Urusan-urusan dapat ditadbir dengan baik. Barulah hidup aman damai", Monki bermain kata.

Memang benar kata Monki. Mereka perlu ada pemimpin. Bagi memastikan kelangsungan hidup yang aman. Tidak seperti dulu gajah pernah bergaduh dengan ular sawa. Bertanding siapa lagi kuat. Tapi itu cerita dulu, hikayat binatang-binatang tua.

Dijadikan cerita masing-masing bertemu dalam gelanggang. Seisi hutan jadi penonton. Tapi masa itu, ular sawa ini punya bisa. Antara banyak-banyak ular, bisa ular sawalah yang paling bahaya. Tidak sempat mata berkedip, mati. Jadi dijadikan syarat, ular sawa mesti mengeluarkan bisa dan diletak dalam mangkuk. Maka, bergegar seiri alam rimba, menghentak, melibas, menghempas, menendang, membelit, kedua-dua ekor haiwan yang besar itu. Mereka besar badan tapi pendek akal.

Sedang bergelut terkenalah ekor ular sawa pada mangkuk yang berisi bisa. Maka tumpahlah bisa ular sawa. Bisa yang kuat lagi membunuh itu terpecik pada kala jengking,lebah, penyengat, tebuan, labah-labah, dan yang paling sikit ialah ulat bulu.  Kesan dari itu, masing-masing dapat bisa percuma. Tambah kuasa. Sebab itu siapa yang terkena ulat bulu akan rasa gatal-gatal.Akhirnya gajah menang!

Semua haiwan berfikir.

bersambung

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...