Saturday, June 9, 2012

Ajal dan Maut


Sejuk dan nyaman. Mentari yang mendaki langit memancarkan sinarnya. Dicelah-celah naungan pohonan, cahaya itu sampai ke lantai hutan. Tujahan sinar mentari menghentam mata. Perit dan pedih. Hukum alam yang tidak dapat ditolak. Alam saling memerlukan. Kebergantungan tumbuhan hijau pada mentari. Juga isi rimba yang lain. Pepohon hijau perlu pada sinar mentari untuk menjalankan proses fotosintesis. Tanpanya, tumbuhan tidak boleh mendapatkan makanan. Tumbuhan hijau yang membebaskan oksigen memberi kesegaran kepada penghuni rimba. Bakti penghuni rimba kepada tumbuhan sekitar juga, membebaskan karbon dioksida. Sungguh mereka saling memerlukan.

Kebergantungan penghuni rimba sesama mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup juga jangan disangkal. Ada yang jadi mangsa, ada yang jadi mangsa. Adat kuat untuk hidup, dan yang lemah menjadi lauk. Yang makan rumput dimakan yang dimakan daging. Iyulah karnivor. Hidangannya herbivor. Dan sang kancil dalam golongan yang menjadi mangsa. Herbivor. Puak-puak lemah, kecil dan kurang berdaya. Adat menjadi lauk pada si gagah dan kuat. Sesekali jadi buruan manusia. Senjata api yang berbunyi bingit. Senjata panjang yang mengeluarkan butir yang membunuh. Haiwan hutan menjadi buruan. Namun segalanya sudah ditetapkan. Mana mungkin untuk diingkari. Sejak dari zaman terciptanya alam, hidupan saling bergantungan.

“Untuk apa terus hidup kalau ditekan dan menjadi mangsa. Hidup dalam buruan dan tanpa keadilan. Sedangkan kita juga perlukan kepada perlindungan.” Si Tupai haiwan kecil yang merintih.

Mereka saling berpandangan. Mereka? Ayam Hutan, Si Tupai, Sang Kancil juga Pak Landak.

Pintas Ayam Hutan berkata, “Sang Kancil bijak, panjang akal dan banyak muslihat. Mudah untuk menyelamatkan diri. Pak Landak juga kebal, duri-duri dapat jadi benteng pertahanan. Tupai juga pandai lompat-lompat.”.

Jeling kancil, “Aku bukan seperti hikayat nenek moyang. Masa sudah berlalu. Aku bukan mereka.”

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”, cepat sahaja Si Tupai menidakkan pujian Ayam Hutan.

Pak Landak bersuara, “sungguh aku katakan kehidupan kita makin terancam. Sampai bila mahu kekal begini kawan-kawan”.

“Sampai kiamat.”Serentak bersuara.

“Membiarkan diri kita terus terhukum dan dicengkam oleh binatang buas yang bernafsu ganas. Cukuplah hidup ini menderita. Pupus puak dan keturunan aku. Dan aku bimbang tiada lagi keturunan ayam hutan di muka bumi ini.” Si Tupai mencelah.

“Mana kamu tahu. Pasti ada. Kalau bukan di sini, mungkin ada di tempat lain.” Sangkal Pak Landak. Lalu menambah,“Mujur kalau ada, jika tidak?”

Ranting patah. Bunyinya semacam. Bunyinya sekali sahaja. Pantas mereka diam. Bimbang-bimbang pergerakan dan perjumpaan mereka diintip. Saling memerhatikan sekeliling. Suasana yang tadi penuh dengan bicara kini diam seribu bahasa. Ayam Hutan terus duduk. Sang Kancil membongkok., Pak Landak juga bagai mahu menyorok. Semuanya diserang penyakit berjangkit. Trauma yang hadir menikam naluri tubuh kecil. Siri pertumpahan darah yang menyayat hati atas nama hukum hutan kini sedang bermain dalam pentas teater jiwa mereka. Mungkin ini penghujung hayat.

“Hah!”

Suara yang menyergah. Kera Muda. Gelak besar. Terus haiwan-haiwan ini mencuka. Menarik muka masam. Penuh bengang dan geram.

“Apa kau ingat main-main Kera Muda?” Pak Landak diicucuh api kemarahan.

Kera Muda mengelak tuduh, “aku bergurau. Salahkah. Tak gurau tak ceria. Bukan begitu?”

“Begitu salah, begini baru betul”. Si tupai pantas mencubit Kera Muda.

Kera Muda menahan derita. Terpacul soalan darinya “Perbincangan apa kalian di sini? Mesyuarat tergempar atau ada majlis makan-makan?”

“Ya, ada majlis korban. Korban seekor kera yang kurang siuman kepada Pak Belang lapar.” bingkas Ayam Hutan bersuara.

“Bila?” Kera seakan-akan mencabar.

Bagai disentap kesabaran mereka. Cuma Sang Kancil yang mampu bersabar.Kumat kamit Si Tupai menyumpah. Ayam Hutan juga begitu. Pak Landak landak hendak bertindak. Cucuk saja dengan duri..

Persoalan dari Sang Kancil, “Bukankah hari ini ada pesta makan-makan puak engkau kera.? Beruk dan monyet semua ke seberang sungai. Kaata mereka, kalau terus kea rah barat ada kebun manusia di sana. Pisang-pisang bermacam jenis. Buah yangsegar sedang masak ranum. Apa kamu tidak mendapat khabar?”

Tanya Kera Muda, “Bagaimana kamu tahu kancil? Tahu sahaja aku sedang lapar.”

“Firasatku tinggi Kera Muda. Aku dapat melihat sebalik hutan ini. Jangan ditanya ilmu apa.. Untuk ke seberang sungai kamu mesti berjumpa dengan Sang Bedal. Dia akan membawamu ke seberang sungai di sana kamu akan bertemu ajal. Kemudian maut akan menjemput.”

“Menarik!Bagaimana rupa ajal.”, bersemangat Kera Muda bertanya.

“Oh, sukar untuk aku ceritakan. Sang bedal akan ceritakan segalanya. Dia lebih pakar tentang ajal dan maut. Molek engkau bertanya padanya. Engkau masih muda, belum pernah berjumpa ajal. Selepas jumpa ajal baru engkau akan berjumpa dengan maut. Itu yang aku tahu. Kemudian terbanglah kamu ke dunia penuh keindahan.maksudku pesta itu. Hebat bukan?” Kancil menambah.

“Katamu maut akan menjemput. Bagaimana?” bertanya lagi.

“Engkau jangat bimbang. Sebaik maut menjemput engaku akan merasa bahagia. Kehidupanmu akan berubah dan pastinya engkau akan merasakan dirimu seperti di awang-awangan.”Sang Kancil menambah lagi.

Masing-masing berpandangan. Sukar untuk mereka mengerti falsafah tinggi sang kancil. Falsafah haiwan bijak pandai. Falsafah tipu helah penuh muslihat. Falsafah membunuh dalam diam. Falsafah ajal dan maut yang menjemput.

Kera muda disampuk syaitan lapar. Syaitan yang meniupkan nafsu binatangnya untuk memenuhkan perut dengan santapan yang enak. Kera terus berlalu pergi meninggalkan kancil dan haiwan lain. Melompat-lompat riang. Sambil bernyanyi. Dan bertempik

Hoorey!, hoorey!

“Aku mahu bertemu ajal! Maut akan datang jemput. Aku mahu ke pesta, berpesta!. Hoorey!”, mahu seisi hutan mendengar.Lagu ria yang didendangkan kera, nyata mengejutkan penghuni rimba. Pak Belang yang mundar mandir, menahan derita pedih dan lapar tersentak mendengar jerit Kera.

“Haiwan gila. Bimbang berjangkit nanti. Tapi kalau lapar semuanya enak.” Pak belang ketawa sendiri. Hilang selera Pak Belang mahu membaham kera. Riang di hati kera tiada terkira, akhinya sampai juga ke tepi sungai. Tempat yang ingin dituju berada di seberang sana. Kera menjengah, sambil bertenggek di dahan pohon ara. Dia meninjau sekitar sungai. Pantas berfikir, bagaimana mahu ke sana?

Dilihat sekitar sungai. Mahu turun se sungai, Kera tidak pandai berenang. Bimbang lemas di tengah. Pesan Sang Kancil tentang Sang Bedal membuatkan Kera tersenyum. Pasti ajal menunggu. Kera beranikan diri turun ke tepi sungai, sengaja kakinya dihulur menyentuh air.

Tenang air jangan disangka tiada buaya.

Timbul sepasang mata dengan muncung panjang. Memandang tepat ke arah Kera. Tersentak dengan pandangan. Mahu sahaja kera menjerit. Sang Bedal.

Dengan rendah hati dan penuh hormat Kera menyapa.” Wahai tuan yang budiman, bolehkah hamba bertanya?”

Entah mengapa ,Sang Bedal seperti tidak bersedia membaham kera muda. Dibiarkan sahaja kera itu berkata-kata.

“Untuk apa kamu ke mari?”

Dalam gentar ditimpa cuak, soalan membunuh diri yang diajukan.

Bersuara Kera Muda, “Tuan, dalam khabar yang hamba terima, diseberang sungai sana beruk dan monyet berpesta. Makan buah-buah enak. Manis dan ranum. Sungguh hajat hamba mahu juga ke sana. Bersama saudara. Oleh itu besarlah hajat hamba kiranya tuan membawa hamaba ke sana. Bolehlah hamba bertemu ajal. Moga-moga juga maut akan menjemput dan membawa hamba ke sana pula”

Bingung Sang Bedal mendengar. Diam sejenak. Setelah ditafsir sedalam-dalam, akhirnya Sang Bedal mengerti, hidangannya kini berada di hadapan.

Tak pernah haiwan pemangsa sepertinya berbahasa sopan dan tertib. Menyambut permintaan Kera dengan penuh horamt, serta cuba memenuhi permintaannya.

Tanya Sang Bedal, “Mahu hamba bawa tuan ke sana?

“Ya, jika tuan tidak keberatan. Besarlah hajar hamba untuk ke sana. Seandainya maut sudah menunggu pasti itu lebih baik,” menjawab.

“Benar, maut pasti sedang menunggu kamu. Maut itu cepat sifatnya. Jarang mengambil masa yang lama. Tambahan pula tidak mahu maut mengambil masa yang panjang dalam berurusan. Molek benar andai kamu dapat ke sana. Lekas, lekas aku bawakan kamu ke sana.” Pesan Sang Bedal.

Pantas kera melompat ke belakang Ajal. Gembira dalam hatitidak terkira. Mahu menjamu rezeki di seberang. Jangan dilengahkan lagi. Nyata dalam benak Kera tebayang buah psang yang sedang enak dimakan. Buah ceri. Mungkin juga betik yang masak ranum atau tembikal yang sedang bergolek di atas tanah.

Sang Bedal juga apa kurangnya. Dalam pengiraannya Kera Muda ini pasti sahaja manis dagingnya. Sedap dimakan begitu saha, atau boleh disimpan untuk bekal makan malam. Namun sekarang yang perlu difikirkan pula, bagaimana mahu disuakan daging kera ini ke dalam mulutnya. Itu lebih mustahak.

Kera masih lagi dalam mimpi. Meski jasadnya kini benar-benar akan berpisah dengan nyawa. Namun segalanya tetap tidak dapat disedari. Baginya, biarkan mimpi menjadi satu kenyataan, dengan perut diisi dengan buah-buahan yang enak. Berterima kasihlah kepada Sang Kancil. Dari gurau senda, dan hampir dimaki Ayam Hutan, Si Tupai dan Pak Landak, hari ini, Kera Muda akan berpesta.

“Sudah mahu sampai. Naiklah ke tebing sungai,” sopan Sang Bedal di luar kebiasaan.

Lalu bertanya Kera Muda, “Terima kasih tuan. Beruntung hamba dapat bertemu dengan tuan. Tapi di mana maut? Bukankah maut itu sifatnya cepat dan tidak lama menunggu. Ajal juga?”

Sang Bedal memerhati sekeliling. Dibuka mulut seluas-luasnya.Kemudian menutup kembali.

Kera kehairanan, “Mengapa tuan begitu.”

“Ini senaman. Untuk pengetahuan tuan hamba, ajal dan maut sedang menunggu di dalam mulut hamba. Jika tuan sudah sedia boleh hamba khabarkan kepada maut dan tuan dijemput masuk dengan penuh hormat,” terang Sang Bedal

Membuka mulut seluas-luasnya

Kera tanpa teragak-agak mengiayakan sahaja kata-kata ajal. Dijengah kepalanya ke dalam mulut buya. Gigi tajam yang memagar sungguh menyeramkan.

Gelap. Pantas saja Sang Bedal merapatkan mulut. Terpisahlah nyawa dari badan Kera Muda. Bertemu ajal. Bertemu maut yang sebenar.

Mereka memandang dari seberang sungai. Ayam Hutan, Si Tupai, Pak Landak dan Sang Kancil.

Pesan Sang Kancil.“Hukum alam, itu kepastian. Tapi jika nafsu dan kebodohan yang menguasai diri, maka kebinasaan yang menanti”

Semua mengangguk bersetuju.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...