Thursday, May 31, 2012

Ada Kambing Nak Jaga

Bila YB turun ke kampung nak beri sumbangan. Maka melompat-lompatlah pimpinan akar umbi bersiap siaga. Itu tak siap, ini tak cukup. Kudrat dikerah memastikan YB yang turun akan berasa senang hati.


"Ni YB nak turun ni...Semua kena get ready", suara ketua kaum ibu, kak Jah. Sepatah dua bercakap London. Sebab anak ralit nyanyi lagu orang putih. Kata anak baru style! Di sekolah belajar orang putih. Tapi tak faham, belajar bahasa orang putih. Terbeliak mata. Kebas lidah menyebut. Mak ayah tak kata anak yang tak pandai. Cikgu tak pandai mengajar. Mujur cikgu-cikgu penyabar.


"YB yang datang nak pastikan kawasan kampung kita ni maju, membangun, rakyat tiada yang miskin, orang-orang muda boleh bersial.. Eh, ber..so..sial. ", tersilap cakap ketua kaum ibu, kak Jah.


" Kak Jah, YB ni datang nanti kita dapat apa?Kain batik dengan duit 10 ringgit dapat tak?", Saenah bertanya.



" YB kita ni bagus, nanti dia bagi. Dia tahu sumbangan kita, dia mesti balas balik. Sebab itu mesti bagi sokongan. Apa yang dia janji mesti dapat. Engkau tengok Saenah, longkang dia buat, jalan kampung dah berturap, balairaya dapat yang baru. Dia tak pernah janji bulan bintang. Eh, eh. Kamu semua ingat, tunggu sampai majlis habis, baru balik ya!" tegas kak Jah.

Saenah mengangguk, dua tiga orang lagi mengangguk sama. Saenah tahu yang sebenarnya bukan YB yang buat jalan, buat longkang tapi pekerja jabatan kerja raya. YB yang ditunggu tak kunjung tiba. Resah gelisah membadai. Ketua kampung mundar mandir. Peluh, mula memercik. Persediaan yang cukup rapi sebelum sudah dibuat. Dalam sibuk orang ramai, ada suara-suara sumbang menghembus angin khabar pak menteri tak jadi datang.

"Sebab apa tak datang?" Saenah bertanya kak Jah.
" YB, banyak urusan", jawapan bertahan.

Kak Jah sebagai ketua kaum ibu cuma mampu tersengih. Dipanjangkan leher mencari ketua kampung yang tenggelam dalam ramai orang.

Bunyi sekumpulan motosikal memecah suara orang ramai yang menanti. Kumpulan anak muda penunggang motosikal. Dibelakangnya diikat tiang bendera parti kebanggaan. Rasa megah memuncak. Hero-hero dah samapai. YB pun menyusul. Dengan kereta mewah. Turun bersalaman. Gaya pemimpin politik. Orang ramai berkerumun mahu bersalam.

Saenah menunggu saat YB memberi kain batik
dengan duit 10 ringgit. Selesai makan, duit dan kain batik tetap tak sampai. Begitu juga dengan rakan-rakannya.

"Saenah, kalau aku tahu, baik tak payah datang", rungut Liza.
" Tahu tak pe, kak Jah suruh orang ramai datang, dia pula entah ke mana", Hamidah menambah.
Saenah mempertahankan kak Jah. "Tapi kata kak Jah, YB nak bagi kain batik dengan duit 10 ringgit".
"Kak Jah mana?" pintas Hamidah.

Mereka berpandangan.

"Kak Jah dah balik. Kain batik sahaja yang dapat." Suara Kak Nani, timbalan ketua kaum ibu tiba-tiba hadir.


"La.. pulak. Kak Jah mana?"

Kak Nani bersahaja, " Kak Jah balik, tolong laki bagi makan kambing".



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...