Saturday, December 17, 2011

Hujan...



Titis rahmat yang membasahi bumi, sememangnya menyegarkan. Dari dahaganya tumbuhan, kini segar menghijau. Dan atas segala rahmatNya, tiap makhluk yang bernyawa merasa akan nikmat yang tidak terhingga. Tumbuhan hijau dapat terus berbakti pada bumi, demi keseimbangan alam. Juga haiwan yang dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Sedang manusia perlu meneruskan penghidupan. Mencari rezeki di bumi sendiri. Mengapa bukan hujan emas yang mencurah, membasahi segenap negeri? Biarkan negeri ini banjir dengan lautan emas yang mengkayakan umat seisi negeri. Tapi yang turun hujan. Yang turun dengan kadar tiada kira banyaknya menyebabkan bumi enggan mampu menelan sebanyak-banyaknya diluahkan paa dasar bumi. Titis rahmat itu bergenang jadi air yang mengalir. Membasahi bumi. Segenap umat mengeluh. Habis musnah segenap harta. Kediaman pula rosak binasa. Apa ini fenomena atau bala?

Baik para petani yang membanting tulang empat kerat. Nelayan yang gagah memukat hasil. Timbul juga rasa resah. Bagaiman mahu mengisi masa ini untuk mencari sesuap nasi. Bergantung harap akan penghidupan dengan tulang empat kerat, mengharap ehsan Ilahi, mencari rezeki. Bergantung pada alam. Molek hari boleh ke sawah padi, ke ladang mahupun kebun, turun ke laut. Itu golongan marhean. Baik yang berada turut mengeluh. Mana mungkin projek berjuta dapat dibereskan. Kontraktor mega turut terkesan. Urusan korprat sedikit terganggu.

Titis rahmat tetap turun. Turun dan turun. Apa pernah kita fikir?

Hebatnya Yang Esa dengan kuasa Maha Pencipta menurunkan hujan tanpa ditimpa mencurah sebanyak-banyaknya. Mencurah seperti air terjun yang menjunam. Nescaya punahlah umat manusia yang menanti dibawahnya. Diturunkan titis rahmat itu pada kadar tertentu, pada kawasan yang tertentu, kerana pada kuasa Yang Maha Esa, segala penguasaan dan pengetahuannya, tiap makhluk memerlukannya. Sukatan yang ditetapkan. Maka benarlah akan turunnya titis rahmat itu adalah bagi nikmat bagi tiap hambanya. Sungguh Maha Bijaksana Yang Maha Esa.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...