Tuesday, December 27, 2011

Menghitung hari


Menghitung hari.

Membilang hari-hari penghujung tahun 2011, pasti kita punyai kerangka berbeza dalam mengisi tahun mendatang. Disebalik pelan yang mahu dilakar, pastinya hamparan pelan 2011 akan disemak terlebih dahulu. Apa yang belum, apa yang sudah?

Hendak tidak hendak, perlu kita akui, bahawasanya ada matlamat yang tidak tercapai sepanjang tahun 2011. Pastinya 2012 menjanjikan satu momentum yang menolak kita untuk berusaha seberapa daya mencapainya. Terlebih dahulu syabas dan tahniah kepada sesiapa yang berjaya mencapai target sepanjang 2011!

Dalam meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini, kita mengakui bahawasanya segala perancangan hidup ini telahpun ditentukan oleh yang Esa. Dan kita sebagai hamba menurutinya.

Laksana sebuah pentas teater. Pengarahnya adalah Tuhan. Skripnya telah tersedia. Jurukamera yang memerhati, krew produksi yang bertugas mengikut aahan. Pelakon tak lain tak bukan adalah kita. Samada pelakon yang berdisiplin atau tidak. Ingkar atau patuh. Ganjarannya setelah teater dipentaskan. Diadili dari segi kualiti.

Siapa pelakon untuk menidakkan skrip atau jalan cerita. Membantah pengarah sebab, pelakon bukan bos! Sama seperti kita, siapa kita untuk menidakkan apa yang telah ditentukan oleh Tuhan. Sebab kita hamba.

Hamba?

Ya, kita adalah hamba. Baik tinggi mana jawatan, pangkat, kedudukan, darjat, ras, keturunan, bangsa, kita adalah hamba. Hamba akan menurut kepada apa yang telah ditentukan oleh tuannya. Dan tuan bagi kita sebagai hamba ini adalah Tuhan yang Esa itu.
Hidup perlu diteruskan, dengan memegang pasport sebagai hamba, teruskan tanggungjwab. Menempuh hari yang mendatang. Muhasabah diri, apa yang belum terlaksana, azam pada hari yang akan mendatang untuk menjayakannya.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...