Tuesday, December 14, 2010

Episod 1: Parlimen Rimba


Apabila semuanya akur pada perintah, tiap-tiap hukum dan ketetapan, itulah kehidupan buat mereka. Kehidupan yang memenuhi suratan alam. Segala yang ditetapkan oleh pencipta, segalanya berlaku mengikut peraturan. Tiada satu yang tidak terkecuali. Dari sekecil-kecil pasir hinggalah sebesar-besar pohon tualang yang tinggi. Pencipta tidak pernah lupa dan lalai mengaturkannya. Rimba yang luas itu, jadi tempat bergantungnya harapan. Hidupan yang bernawa untuk terus hidup. Begitulah kejadian alam. Hambanya sekadar melihat dengan mata, tetapi bukan dengan mata hati. Yang kuat akan terus bertahan. Sedang yang lemah akan punah, menjadi mangsa. Menjadi santapan dan habuan. Itulah hakikat hidupan bagi mereka. Itulah kehidupan disebalik undang-undang rimba.

Undang-undang diwujudkan untuk dipatuhi. Harapannya tidak berlaku sebarang kekacauan. Undang-undang rimba bukan untuk kroni. Tapi bukti kekuatan mereka yang berkuasa. Merekalah pemangsa. Merekalah yang memegang kuasa. Di rimba itu karnivor dan omnivor mencari kuasa. Mengangkat diri menjadi raja. Menjadi pemimpin rimba. Menguasai seisi rimba bererti, lurah dan bukit, sehinggalah pinggir pantai nun

di sana adalah miliknya. Mungkin juga seisi pulau itu ditadbir dengan gah. Mewujudkan satu kerajaan yang berupaya memerintah. Segala hidupan pasti akan akur terhadap setiap perintah. Melahirkan ketaatan yang tak berbelah bahagi. Itu impian mereka. Kuasa-kuasa pemangsa rimba. Sedang yang menjadi mangsa, akan selama-lamanya menjadi mangsa. Terus akur dengan kehidupan. Puak-puak herbivor ini redha dengan suratan alam. Meski pernah mencemuh diri mereka, bahawasanya celaka menjadi makhluk lemah. Namun mereka tahu, Tuhan itu berkuasa ke atas setiap makhluk. Mereka meneruskan kehidupan. Tidak berdaya juga menentang mereka yang punya kuasa itu.

Inilah masa membuktikan dia berkuasa. Belang mahu kaumnya diangkat menjadi terhormat. Menjadi penguasa penuh berkuasa. Bukan sekadar pemangsa. Mahu segala titahnya menjadi ketetapan. Segala arahannya dipatuhi. Membina empayar tersendiri. Pesan orang tuanya tak pernah dilupa. Mesti bangga dengan kekuatan. Jangan undur sedikitpun menentang musuh. Pada mereka ciri pahlawan! Mereka bangga dengan kekuatan yang ada. Di pulau itu, kerabatnya tidak ramai. Itu hakikat pahlawan. Pasti ramai yang tumbang. Khabarnya kerabatnya kian pupus. Diburu manusia. Diri mereka sangat berguna. Mereka juga mangsa meskipun mereka pemangsa di situ. Belang mengeluh sendirian. Mengenangkan nasib. Tapi, obor cita-citanya tak pernah padam Dia yakin dapat berkuasa. Pengaruh dan kekuatannya mampu membentuk pemerintahan yang tersendiri. Belang yakin dengan tiap apa yang dimilikinya. Tubuhnya yang degap. Lagaknya penuh keyakina. Renungan mata yang tajam membuatkan tiada haiwan yang mahu bertentang mata dengannya. Auuuummmm! Belang memecah kebuntuan.

Semacam dirasuk hantu monyet-monyet mendengar ngauman Belang. Terjerit-jerit, menyelamatkan diri. Bimbang dibaham harimau itu. Semacam suatu bencana mendengar ngauman Belang. Dari dahan ke dahan Monki bergayut. Rakan-rakannya ketakutan. Dengar ngauman belang semuanya kecut perut. Monki beranikan diri. Monyet muda yang baru hendak matang. Dari atas pokok Monki bersuara.
 Bersambung...


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...