Thursday, December 16, 2010

Episod 2 Parlimen Rimba, Pantun si monyet



Terkejut monyet tidak terkira,
Disangka guruh langit nak runtuh,
Rupanya Belang mengaum bersuara,
Wahai kawan mengapa riuh?

Belang, tersenyum sinis. Membeli pantun.

Pohon tualang pohon bidara,
Ditengah-tengah pohon pulasan,
Sekali sekali aku bersuara,
Bukan salah hilangkan bosan.

Monki menyusun kata.

Ayam serama terkejut melatah,
Disakat itik ditepi pagar.
Bukan hamba mengata salah,
Terkejut seisi rimba mendengar.

Belang termenung, lalu tersenyum.

Sudah mahu katakan mahu,
Jangan sekali dibuat lupa,
Biar seisi alam yang tahu,
Akulah Belang si raja rimba

Monki terkedu. 

Kembang melati hinggapnya lebah,
Melati putih dicelah seroja,
Tiada siapa mengangkat sembah,
Takhta yang mana tuanku beraja?

Tercabar. Cukup tercabar. Berdesing telinga mendengar, balas Monki itu. Tajam pandangan Belang memandang Monki. Tak senang Monki dipandang begitu, bimbang putus nyawanya. Mahu diterkam monyet itu. Monyet itu cukup pandai berkata-kata. Suka berhujah. Suka berdalih. Dasar binatang pemalas. Antara kaum kerabatnya, monyetlah yang paling pemalas. Monki juga begitu. Beruk, kera , monyet. Mereka semua satu keluarga. Ada juga bezanya. Beruk badannya besar, kera dan monyet kecil. Ekornya juga pendek. Bulu beruk jarang-jarang. Bulu monyet macam bulu kucing. Halus. Monyet dan kera lebih kurang sahaja. Bezanya pada ekor, ekor kera panjang dan lurus. Sama lurus dari hujung sampailah ke pangkal. Tapi, ekor monyet penjang mengecil macam ekor cicak. Kera boleh diajar. Begitu juga beruk. Tapi monyet pemalas. Langsung tidak boleh disuruh. Beruk jika digunakan oleh manusia untuk memetik kelapa. Kera memetik petai. Monyet? Memetik bintang.Bukan bintang, tapi tahi bintang. Sebab itulah monyet pemalas.Mungkin kelebihan untuknya.Kelebihan untuk mereka yang abanyak berdalih.Begitulah kata pepatah, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Belang juga bijak berhujah. Berkias membalas pantun.

Bisa bukan sebarang bisa,
Bisa membunuh si ular senduk,
Sungguh aku paling berkuasa,
Semuanya takut rimba ku takluk.


Agak gentar Monki. Manakan tidak berbisa kata Belangg. Benar banyak haiwan yang takut. Bimbang dibaham, kalau-kalau Belang mengamuk. Pendek usianya. Monki memujuk.

Jangan tedung bermain bisa,
Kelak nanti membawa padah,
Sungguh tuan gagah perkasa,
hamba nan hina menjunjung titah. 

"Ha ha ha," Belang tergelak puas.

"Khabarkan Monki, ke seluruh isi rimba ini akulah ketua kepada mereka semua. Kiranya akulah raja. Barang siapa yang ingkar akan aku musnahkan habis-habisan. Engakau akan menjadi orang kanan aku." Titah Belang.

Monki tersenyum. Jawatan untuknya. Dia bakal berpengaruh. Biarlah Belang menabalkan dirinya sebagai raja. Dia tidak peduli. Mudahnya Belang mengangkat diri. Monki menurut perintah. Dipanjatnya dahan pohon cengal. Melompat dari dahan ke dahan. Membawa perintah ketua. Membawa titah belang si raja rimba.

bersambung...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...