Wednesday, December 15, 2010

Makna tersirat, fikirkan~ P.Ramlee.Mengagumkan!


Pernah saya menghadirkan diri ke satu seminar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada Ogos 2009. Bertempat di Dewan Besar IKIM ketika itu, Forum Genarasi Y Ke Arah Kejayaan. Generasi Y, adalah generasi mutakhir kini. Generasi milenium!

Antara slot yang paling menarik pada hemat saya ialah ketika pembentangan yang disampaikan oleh Datuk Aziz Sattar. Seniman yang cukup terkenal hari ini. Kenapa P.Ramlee Berjaya? Itulah persoalan yang dirungkaikan oleh beliau. Dan audiens yang menjadi tumpuan adalah kami, Generasi Y.

Sebut sahaja namanya, agak sukar rakyat Malaysia untuk mengatakan,"eh, siapa?", ataupun "tak kenal la". Namanya tersohor. Cukup terkenal. Hatta, seisi rantau nusantara ini mengenalinya. Namanya cukup terkenal di Singapura. Brunei juga, tak lupa Indonesia. Oleh sebab itu, Pertandingan Bintang P.Ramlee 2010, turut disertai oleh peserta dari rantau nusantara ini.

Kembali semula, Kenapa P.Ramlee berjaya? Menurut Pak Aziz Sattar, P.Ramlee orangnya cukup hebat. Kata-kata orang tuanya dijadikan panduan.Meskipun mereka tidak berpelajaran tinggi, itulah kata-kata hikmah yang menjadikan beliau orang yang hebat, berguna sehingga beliau berjaya dalam karier seninya.

Seni sebati dengannya. Meskipun hidup keluarganya susah, juga kekurangan , bapanya sedaya upaya mendapatkan sebuah biola( masih disimpan di Pustaka Peringatan P.Ramlee).Biola hadiah dari bapanya dijadikan inspirasi untuk menterjemah bakat yang dimilikinya. Ilmu muzik dipelajari oleh P.Ramlee dari seorang tokoh muzik dari Pancaragam Polis Pulau Pinang. Dari situ, muncul lagu bertajuk "Azizah".Kemudian, beliau mendapat tawaran di Studio Malay Film Production, Jalan Ampas. Ke pentas Bangsawan kemudian kembali semula ke Jalan Ampas. Filem dan lagu-lagunya bertambah maju. 

Perjalanan seninya, menghasilkan sesuatu yang amat bermakna. Setiap apa yang disampaikan ada kesan dan mesej yang tersendiri. Sekadar contoh yang ingin saya ambil, dari filem Seniman Bujang Lapok. Ketika Ramlee, Ajis dan Sudin mula-mula pergi ke Studio Jalan Ampas. Waktu itu Sudin bertanya kepada jaga(pengawal keselamatan berbangsa Sikh).

"Oii, sini wayang gmabar pusing ka?Ooo...lu pon tersampuk ka?"...Berjalan meninggalkan jaga.

"Eh, sudahlah, mari kita baliklah. Ini diorang semua banyak anginlah."

"Nama saja orang Melayu, sikit adab pon tak tau. Orang ada ka panggil, hoi, hoi,hoi. Saya ni apa ka? Batu ka? Kayu ka?" 

"Alamak, benggali tu bahasakan kite la!"Tersentak Sudin.

"Memang betul dia cakap. Engkau tu mana ada bahasa. Panggil orang hoi, hoi, hoi... Bahasa menunjukkan bangsa tau!" Pintas Ramlee.

Nampak bersahaja bukan? Tapi disitulah letaknya pengajaran. Bukan sahaja erti sopan santun kemelayuan itu sendiri, tapi adab Islam yang saling menghormati. 

Begitulah P.Ramlee. Bukan seni semata-mata yang dipandang. Malah mendidik bangsa sendiri menjadi tanggungjawab. Cuma diterjemahkan dalam seni. Begitu juga, apa yang ingin disampaikan melalui Filem Semerah Padi. Tanggungjawab mengangkat hukum Islam itu sendiri. P.Ramlee mahu kita berfikir. Lagi? banyak lagi. Pelbagai mesej yang ingin disampaikan.

Lagu-lagunya bukan hiburan kosong. Lagu-lagunya memartabatkan bahasa Melayu sendiri. Lagu disusun melodi yang medamaikan. Penuh erti dan cukup bermakna. Rangkap pantun yang tersusun, sehingga hari ini jadi hiburan dan nyanyian. Terutama tatkala menjelang kenduri kendara, meraikan majlis perkahwinan. Lagu gubahannya, Selamat Pengantin Baru, dan Pukul lah tabuh. 

Sekadar meminjam kata P.Ramlee, dalam Filem Semerah Padi.

"Biar busuk daging ku mamah, asal kau terhidar cemar"

Makna tersirat, fikirkan~ P.Ramlee.Mengagumkan!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...