Monday, May 28, 2012

Jumaat Generasiku

Dalam riuh rendah kenderaan meluncur, hadir jasad ke situ. Berduyun yang datang. Sesak ibu kota, bukan sesak dalam jiwa. Melangkah masuk ke pintu gerbang, deret peniaga yang mencari rezeki. Untung-untung orang membeli. Peniaga kopiah, minyak atar. Begitu juga akak penjual nasi lemak, serta abang jual air kelapa laut. Di bahu jalan, ada peniaga nasi beriani. Sebelah penjual cakera padat, peniaga apam balik.

Belum waktu zuhur lagi. Masuk waktu Zuhur nanti, pasti lagi ramai yang datang. Masakan tidak. Hari ini Jumaat. Lelaki yang Islam, berakal, akil baligh tentu ada. Yang peliknya yang tiada mahu niat dalam hati mahu ke masjid. Sekali dua ponteng. Kali ketiga baru datang. Mazhab mana yang diturut?

Dalam kota agam ini, ribuan ragam manusia dapat dilihat. Sama ada memang wataknya sesuci embun, suci dalam debu, atau debu-debu itulah yang membezakan. Yang ada disekiling ini juga ada yang tersirat dalam diri masing-masing. Tapi yakin dengan satu niat, kehadiran ke sini adalah atas perintah yang Esa.

Baju Melayu putih dengan sampin. Jalannya henjut-henjut. Sambil menggalas beg. Duduk berkumpul dalam kalangan mereka. Ada yang bersongkong, sebaliknya juga. Sekolah sesi pagi atau petang? Abaikan sahaja persoalan itu. Budak-budak ini mahu dilihat bagaimana esok hari? Itu yang jadi tanda tanya. Bukan bermakna yang mahu dilihat itu pada hari berikutnya sahaja. Sabtu, Ahad, Isnin Selasa, dan seterusnya, tapi hari mendatang. Jauh 10 atau lebih tahun lagi. 

Akan datang, tanah ini penghuninya adalah mereka. Juga waris darah daging kita. bersediakah mereka berbekalkan formula dan rumus yang diuji di makmal alam pembelajaran, seterusnya digunapakai dalam medan pasaran semasa sedangkan laluan ujiannya ditokok dengan rencam yang mengerikan. 

Henjut-henjut, goyang-goyang, lompat-lompat. Tidak tahu gerak apa yang mengiring tempo. Baju kurang kain? Sama ada dijemput, diimport dari barat atau timur itu yang merisaukan. Budaya pandang ke luar, menjengah timur, mengintai barat sebenarnya menjemput kekusutan nilai budaya generasi hari ini. Kalau dasarnya ilmu yang bermanfaat pasti nilainya dapat diteladani sebaik mungkin. Sayangnya, bukan itu lagi!

Di Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur. 

Dapat dikira waktu ini kita berada dalam saat genting. Sama ada merelakan pasukan muda terus tewas atau kembali bangkit untuk berjuang sebenarnya jadi tanggungjawab semua. Mahu lihat generasi ini kekal bangga dengan dunia dan alam fantasi suka ria yang akan mengheret kepada kehancuran menara minda atau membina semula asas jati diri dunia realiti. Singkap tabir sejarah, hakikatnya Melaka runtuh kerana leka!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...