Thursday, May 24, 2012

Soldadu Senja


“Ramai orang mahu Haji Rahim yang bertanding dalam pilihanraya kali

ini. Mereka mahu Haji Rahim jadi wakil rakyat. Haji Rahim calon
utama!”, pinta Dr. Yusri.



“Aku dah tua. Tak mampu dah aku nak bekerja untuk itu ini semua. Bukan
tahap aku lagi.”



“Khidmat Haji Rahim kami perlukan lagi. Masyarakat di sini semua kenal
dengan Haji.    Kami nak cadang nama Haji nanti.” Sidek menambah.



Lelaki itu sekadar berdiam diri. Dalam umur selewat itu, mampukah dia
menjalankan amanah yang bukan taranya sebebabn guni. Malah lebih berat
dari sebuah bukit.Medan ini bukan mainan. Pertandingan ini adalah
harapan. Kemenangan itu satu impian. Tapi amanah yang menanti bukan
bandingan.



“Boleh pilih calon lain? Orang yang lebih layak tiadakah?”, Haji Rahim
cuba menarik diri. Cara terhormat. Nadanya bagai memujuk. Matanya
merayu. Namun mata yang menyambut riak itu jelas kehampaan.
Mereka saling berpandangan. Sidek dan Dr. Yusri. Hela nafas bagai
mengucap kata-kata hampa. Tapi jauh di lubuk sanubari ada suara kecil
yang berteriak mendamba harapan.  Bagaimana mahu diteruskan langkah
ini?



“Haji, bukan kita tiada pilihan lain, tapi ramai yang mahukan Haji
Rahim juga. Baik dari kalangan pemuda ataupun yang sudah tua..err..
maksud saya orang lama”, Sidek bersuara.



“Bukan tua…remaja purba.. hehe., harapan mereka pada Haji Rahim. Haji
Rahim tempat rujukan di sini. Baik dari manapun tahu siapa Haji
Rahim”. Dalam serius Dr. Yusri sengaja mengusik.



“Biar aku fikirkan dulu. Bagi aku ruang. Moga ada petunjuk dari Allah.”



Bangkit harapan bagi mereka berdua. Dari tadi bagai hilang kosa kata
dalam kamus pemikiran mereka. Cuma lafaz tanpa dirancang terucap.



“Terima kasih Haji Rahim”. Sidek dan Dr. Yusri berpandangan. Termenung
sebentar,tersenyum. Lalu beredar mereka, meninggalkan tubuh tua, usal
salam terurai mesra.



Aku sudah tak mampu lagi nak berkejar-kejar. Bukan senang nak jadi YB.
YB memang Yang Berhormat. Tapi lagi tepat Yang Bekerja. Bekerja demi
Allah untuk rakyat. Menjadi wakil rakyat mesti punya kekuatan mental.
Fizikal itu sudah pasti. Mesti kuat! Adak ala musuh mengancam dari
segi psikologi. Rohani perlu kukuh! Jadi perlu tegar hadapi semuanya.
Sedangkan waktu tua ini waktu untuk berehat. Hidup tenang bersama
keluarga. Bersantai tanpa gangguan yang memeningkan. Hidup di
penghujung senja ini dengan menghambakan diri kepada yang Esa. Sebelum
menjelma kelam malam. Mahu dibawa nur menerangi barzakh. Tapi andai
dipilih laluan yang satu lagi ini mampukah aku mendapatkannya? Gelora
kebimbangan membuai minda, sesekali membuat diri bagai dilambung. Jiwa
berkocak!



Dalam diam minda berfikir. Hati kecil berzikir. Mohon ketenangan.
       Mata dipejam rapat. Hati dibiar kosong.
Abu Ayub Al-Ansari. Namanya terlintas dalam kelam mata yang terkatup
itu. Mendengar sabda baginda, bila mana Kota Konstatinople bakal
dibuka oleh raja dan tentera terbaik, bingkas jiwanya bangkit
mempamerkan kesungguhan. Sedang dalam usia sebegitu lewat, jiwanya
tetap tegar mahu melangkah seperti tentera-tentera muda yang lain.
Menuju medan tempur, mengangkat senjata. Berjuang. Mahu jadi tentera
terbaik. Semangatnya tak pernah luntur. Jadi api yang marak. Itu Abu
Ayub Al- Ansari. Sayang bukan beliau yang ke sana. Tapi, nyala
semangatnya yang menghidupkan iltizam tentera Muhammad al Fatih. Maju
dan mara! Jasad yang tertanam di luar tembok, jadi saksi derapan kuda
yang melangkah. Jadi saksi tumbangnya Kota Konstatinople dari musuh
Allah. Tegaklah kalimah tauhid di bumi itu. Berkibarlah panji
kebenaran. Kebenaran yang pernah diucap oleh utusan Tuhan. Sayang
seribu kali sayang, bukan Abu Ayub yang mengibar dan menjulang panji
kemenangan. Oh Abu Ayub!



Ya Rabb. Haji Rahim membuka mata. Jiwanya bakai terpukul. Dari dulu
lagi dia bersama gerakan ini. Atas perjuangan Islam. Atas nama
kebenaran.  Mahu ditegakkan syariat Allah bersama. Baik dari setiap
peringkat. Menyemai dan menyuburkan fikrah Islami baik di segenap
peringkat. Dan bersama-samanya masyarakat luar bandar yang perlu
dididik dengan ilmu. Sungguh negeri ini masih dijajah penjajah minda.
Jiwa warganya bukan jiwa merdeka. Islam belum didahulukan.Sungguh
tanah ini belum merdeka. Impian mahu melihat tertegaknya syariat
Allah. Impian orang yang beriman. Medannya di hadapan. Majukan
langkahmu Abdul Rahim. Pentas siasah di hadapan memerlukan para
tentera yang rela bergalang jiwa demi melihat bumi ini diberkati.  Dan
kamu perlu jadi orang yang mendahului dan memimpin mereka.



Terbayang akan wajah-wajah pimpinan. Dalam kalangan mereka juga
berusia. Lebih berusia daripadanya. Namun semangat dan iltizam mereka
tak pernah kelam. Malah merekalah inspirasi anak muda. Di peringkat
nasional. Apa salahnya menabur bakti di wilayah kecil ini.



Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Haji Rahim termenung lagi. Dadanya
berombak. Apa sudahnya? Mahu tetap mengundurkan diri. Menghampakan
harapan rakan-rakan perjuangan.



Perjuangan ini takkan terhenti selama mana cita-cita tidak tercapai.
Bukan untuk kepentingan diri tapi untuk masyarakat seluruhnya.
Kerana Islam itu cita-cita kami, biar usia dimamah, semangat takkan
terpadam. Legasi ini tetap akan diteruskan, pejuang muda akan bersama.
Terima kasih Abu Ayub. Bakarkan semangat untuk tentera al Fatih.
                        * disiar dalam Sastera dan Budaya Harakah, 22-25 Jamadil akhir 1433 h/14-17 Mei 2012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...