Tuesday, May 29, 2012

Melayu Jangan 'melayu'

Saya bukan profesor, bukan juga kalangan pemegang doktor falsafah juga sarjana. Bukan tokoh pemikir dan penulis agung. Mungkin ini pandangan sempit, seorang budak.

Seingat saya, ini nukilan guru saya sewaktu di bangku sekolah dahulu.Melayu jangan 'melayu'. Susunan kata yang ringkas tapi pada hemat saya dalam maksudnya.

Dari bangku sekolah rendah, melangkah ke alam sekolah menengah, majoriti di sekeliling saya merupakan masyarakat sebangsa, bumiputera yang berbangsa Melayu. Cuma waktu di sekolah menengah interaksi dengan rakan dari bangsa India dan Cina bermula. Di situ kumpulan mereka hanya minoriti. Seingat saya dalam ambilan yang sama dengan saya kurang daripada 10 orang.Minoriti. Tiada apa masalah bagi kami, cuma yang agak memberikan impak adalah apabila melihat keputusan peperiksaan. Rasa malu jika bukan budak Melayu yang mendapat nombor satu dalam 'batch' ketika itu. Tapi kami terima hakikat bahawasanya kita bersaing secara sihat. Mujurlah ada beberapa nama rakan yang lebih cerdik dan terkehadapan jika dibandingkan dengan kami yang duduk di kelas pertengahan ini. Selesa dengan apa yang ada. Bukan mahu menghidupkan sentimen perkauman di sini. Mungkin ini satu sergahan minda. Balik semula pada apa yang ternukil tadi. Melayu.

Persembahan pesanan ini memberi satu tekaan yang memusatkan kepada satu jawapan yang tetap. Bangsa Melayu jangan melayu. Layu dalam erti kata hilang segar, tiada bermaya dan lemah. Kalau kering menanti jatuh ke tanah. Tuan, kalau daun itu layu, kering dan gugur ke tanah baktinya tetap ada. Daun yang kering jatuh ke tanah dan mampu jadi baja pada pokok. Lihat baktinya berterusan meskipun buruk zahir yang terlihat. Layu dalam konteks kumpulan masyarakat ini saya kira luas pandangannya. Maafkan saya jika pandangan ini dilihat tempang dan pincang.  

Benarkah Melayu hari ini 'melayu'? Realitinya kita dapat melihat beberapa contoh nama tokoh orang Melayu yang maju dan terkehadapan. Berjaya dalam bidang yang diceburi. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita punya orang yang mampu memimpin anak bangsa dari segi ekonomi dan pendidikan. Melayu juga cenderung tentang politik. Kerana bumiputera masih majoriti di sini.Sayangnya kita juga jaguh kalau dihitung dari perkiraan negatifnya. Kita jaguh masalah sosial, kemiskinan tegar, kemunduran pendidikan dan banyak. Tak perlu saya hitung dan nyatakan, kecaman yang menyusul pasti hadir. 

Kekecewaan mengenangkan bangsa Melayu yang 'melayu' ini dapat dilihat dengan situasi anak Melayu hari ini yang pelik dan jelik. Jarang yang kita jumpa, tapi kalau sekali kita jumpa pasti ini merupakan sesuatu yang pelik. Jalan-jalan di pekan kecil jika terserampak dengan kumpulan anak muda Melayu tak ubah gaya mereka seperti berada di bandar metropolitan Kuala Lumpur. Sama dan serupa. Sepatutnya di pekan-pekan kecil sebegini, pastinya tatasulila dan cara pakai adalah lebih hormat dengan sentuhan busana  molek mata memandang, beradab dan berbudaya kemelayuannya. Tapi congak kira, tambah tolak dari segi jarak dan jurang masa, sama sahaja. Malah lebih KL dari KL. Itu telahan saya. Saya cenderung untuk mengatakan anak Melayu kini 'melayu'. Layu nilai budi dan apresiasi budaya. Taksub dan takjub dengan budaya kain singkat dan baju sendat atau topi senget serta rambut belang. Dari mana budaya ini datang.?Masihkah penjajah menawan Tanah Melayu ini dari Perlis sampai ke Sabah? Kehadiran budaya nyanyi tari, joget henjut ini tak perlu kepada satu kuasa undang-undang yang mengarahkannya. Mudah saja tersebar kerana bagi anak Melayu yang 'layu' ini  pada mereka ini adalah 'trend' semasa.

Lebih malang jika kehadiran pembudayaan ini ditaja. Dalam erti kata, kebenaran dan kebebasan yang dilakukan adalah dihalalkan. Secara tidak langsung, ini dijadikan sebagai satu budaya yang biasa kerana kehadiran pembawa 'revolusi' budaya ini mendapat sokongan yang cukup kuat. Inilah yang menjadikan Melayu ' melayu'. Timbul satu persoalan, adakah ini generasi Melayu yang mahu ditinggalkan dan mewarisi tanah pusaka ini. Yang dibimbangi adalah tanah ini menjadi puaka dek ketaksuban semaian fikrah yang taksub pada budaya hantu dan jembalang. Inilah yang menjadikan Melayu 'melayu'! Bila cerita yang menjadi tontonan yang menhgitung minggu adalah cerita hantu berkapan, polong dan pocong. Realitinya minda siapa yang berhantu? 

Ini baru sekelumit. Belum lagi bicara masalah sosial lain. Yang lain panjang lagi bicaranya. Sampai bila kita mahu duduk dalam kepompong yang layu ini? Tanpa mahu tuding-tuding jari menyalahkan siapa. Ayuh kira-kira rumus memulihkannya!
                                                                                                                                            Bersambung... 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...